Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2026: Isi rumah warga SG akan terima Baucar CDC S$500 pada Jan 2027

Bayaran Khas Kos Sara Hidup antara S$200 dan S$400 akan diberikan kepada rakyat Singapura yang layak, bersama dengan baucar CDC bernilai S$500 untuk isi rumah rakyat Singapura bagi membantu meringankan kos perbelanjaan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (12 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 Feb 2026 08:00PM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 08:49AM

SINGAPURA: Bayaran Khas Kos Sara Hidup antara S$200 dan S$400 akan diberikan kepada rakyat Singapura yang layak, bersama dengan baucar CDC bernilai S$500 untuk isi rumah rakyat Singapura bagi membantu meringankan kos perbelanjaan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (12 Feb).

"Pemerintah akan terus berusaha untuk membantu rakyat Singapura menguruskan tekanan kos - selagi ia diperlukan," kata Encik Wong dalam kenyataan Belanjawan 2026 beliau.

"Walaupun inflasi sudah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami tahu bahawa ramai rakyat Singapura masih menghadapi keresahan dan tekanan."

Bayaran Khas Kos Sara Hidup adalah bayaran tunai sekali saja untuk rakyat Singapura berumur 21 tahun ke atas pada 2026, yang memperoleh sehingga S$100,000 bagi pendapatan boleh ditaksir dan yang tidak memiliki lebih daripada satu hartanah. Mereka juga mesti menetap di Singapura.

Jumlah yang diterima akan ditentukan oleh pendapatan boleh ditaksir dan nilai tahunan kediaman mereka.

Skim bayaran khas itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 2.4 juta rakyat Singapura, dengan bayaran akan diagihkan pada bulan September.

Baucar CDC, yang akan dibahagikan sama rata untuk perbelanjaan di penjaja makanan, peniaga kawasan perumahan dan pasar raya yang mengambil bahagian, akan diagihkan pada Januari 2027 dan boleh digunakan sehingga akhir tahun tersebut.

Baucar tersebut akan memanfaatkan sekitar 1.4 juta isi rumah Singapura.

Skim baucar CDC dilancarkan pada Jun 2020 dan Januari 2021 untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mengurangkan kos sara hidup mereka, dan untuk menyokong penjaja dan peniaga di kawasan perumahan yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Sejak Belanjawan 2021, baucar tersebut diberikan setiap tahun dan kepada semua isi rumah Singapura.

Dalam tiga agihan terakhir, isi rumah menerima S$300 pada Januari 2025, S$500 pada Mei 2025 dan S$300 pada Januari 2026. Baucar terbaharu tahun ini akan tamat tempoh pada 31 Disember 2026.

REBAT TAMBAHAN

Encik Wong juga mengumumkan rebat U-Save tambahan untuk membantu isi rumah dengan perbelanjaan api air.

Keluarga rakyat Singapura yang layak dan tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dan anggota keluarganya tidak memiliki lebih daripada satu hartanah, akan menerima 1.5 kali ganda jumlah Baucar GST (GSTV)-U-Save biasa dalam tahun kewangan 2026.

Jika flat tersebut sebahagiannya disewakan atau tidak disewakan, mesti ada sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuni rakyat Singapura dalam isi rumah tersebut untuk layak menerima U-Save.

Bagi flat yang disewakan sepenuhnya, mestilah ada sekurang-kurangnya seorang penyewa rakyat Singapura.

Rebat GSTV-U-Save akan mengurangkan kesan bil api air yang lebih tinggi akibat kenaikan cukai karbon, menurut Kementerian Kewangan.

Secara keseluruhan, isi rumah HDB yang layak akan menerima sehingga S$570 dalam rebat U-Save pada tahun kewangan 2026.

Ini akan meliputi sekitar lima bulan perbelanjaan utiliti bagi mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik, dan kira-kira dua bulan perbelanjaan utiliti bagi mereka yang tinggal di flat tiga atau empat bilik.

Rebat U-Save dan GSTV-U-Save biasa Belanjawan 2026 akan memberi manfaat kepada lebih daripada 1 juta isi rumah rakyat Singapura.

U-Save Belanjawan 2026 akan dimasukkan ke akaun bil api keluarga yang layak dengan SP Services bersama-sama dengan GSTV-U-Save biasa pada April 2026 dan Julai 2026.

Encik Wong berkata bahawa pemerintah akan terus mengkaji dan meningkatkan sistem sokongan sosial merangkumi perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan persaraan, dan untuk kumpulan masyarakat yang berbeza.

Sumber : CNA/AT/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita