Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2026: Dr Faishal seru masyarakat rebut peluang dalam AI, usaha MMO saling melengkapi inisiatif pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam digalak untuk manfaatkan segala bantuan dan sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 untuk membina asas yang kukuh dalam menempuhi dunia yang telah berubah.

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, menyeru masyarakat untuk rebut peluang tersedia bagi pertingkat diri dan kemahiran dalam bidang-bidang yang semakin berkembang dan penting seperti kecerdasan buatan (AI).

Dalam wawancara bersama wartawan Nurfazirah Azman, Dr Faishal menekankan cabaran global yang semakin rumit.

“Inilah peluang untuk kita membina asas yang lebih kukuh sambil mengekalkan jati diri dan akar budaya kita, dalam usaha kita untuk menjadi versi terbaik diri kita di setiap peringkat kehidupan,” kata Dr Faishal.

“Belanjawan tahun ini mencerminkan keprihatinan terhadap cabaran semasa. Sejak beberapa bulan lalu, saya berjumpa dan berbincang dengan para peniaga, ibu bapa, belia dan pekerja. Saya mendengar kebimbangan mereka tentang pekerjaan, kos sara hidup, dan mereka risau, khuatir tentang masa depan anak-anak mereka," tambahnya.

Beliau menyifatkan pendekatan Belanjawan tahun ini sebagai usaha jangka panjang yang berterusan.

"Saya gembira Belanjawan ini, ia secara ringkas dan juga dengan keprihatinannya mahu menangani kebimbangan seharian ini secara langsung. Jika saya boleh ringkaskan Belanjawan ini, 'bak kita menyemai dari awal' dan terus 'menyuburkan sawah," kongsi Dr Faishal yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri.

"Ada satu isu semasa saya turun padang, ramai ibu bapa berkongsi kebimbangan mengenai perbelanjaan sekolah dan keperluan harian, inilah sebabnya sokongan untuk keluarga yang mempunyai anak kecil dan baucar CDC amat praktikal. Mereka membantu dengan keperluan harian, sedang kita terus melabur dalam pekerjaan yang lebih baik dan laluan yang lebih kukuh di masa hadapan," tambahnya lagi.
AI SEBAGAI STRATEGI NASIONAL

Dr Faishal juga menarik perhatian kepada Kecerdasan Buatan (AI) menjadi antara tumpuan utama dalam Belanjawan kali ini.

Beliau berharap masyarakat dapat mengubah perspektif mereka tentang AI – usah takut terhadapnya tapi sebaliknya rebut peluang dan dakapi AI.

"Ramai ibu bapa juga berkongsi kebimbangan mereka tentang kecerdasan buatan atau AI, khususnya bagaimana membimbing anak-anak agar menggunakan AI dengan bertanggungjawab di rumah dan di sekolah dan juga bagaimana boleh menggunakan AI untuk membangunkan diri, keluarga, perusahaan, pekerjaan jadi banyak peluang mereka tahu.

"Ini membuat saya merenung sejenak. Kita mahu anak-anak kita bukan hanya menggunakan AI, tetapi memanfaatkannya dengan bijak dan beretika," kata Dr Faishal.

Beliau menyokong sepenuhnya usaha nasional untuk memperkukuh keupayaan AI.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Melayu/Islam tidak harus ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi ini.

"Saya tidak mahu masyarakat kita ketinggalan dalam aspek ini kerana ini adalah salah satu laluan daripada banyak laluan dalam pembangunan penggunaan teknologi dan ia adalah satu aliran yang sangat pesat," kata Dr Faisal.

Menurutnya, usaha “memasyarakatkan AI” merupakan antara tunggak utama Belanjawan tahun ini agar manfaat pembangunan dapat dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat.

USAHA AI YANG DIJALANKAN PERTUBUHAN MELAYU/ISLAM (MMO)

Di peringkat masyarakat pula, Dr Faishal senang melihat beberapa inisiatif sudah mula dirintis badan-badan Melayu/Islam untuk menggalak penggunaan AI dalam kalangan masyarakat.

Ini seperti Langkah Digital Yayasan Mendaki yang akan terus diperkukuh bagi meningkatkan literasi digital dan penggunaan AI dalam kalangan pelajar, pekerja dan perniagaan.

PPIS juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperhebat usaha literasi AI untuk pelajar serta latihan kakitangan.

AMP Singapura juga menjalankan program “Kopi with AI” yang bertujuan memperkasa karyawan muda Muslim untuk memanfaatkan AI untuk merangsang pembangunan kerjaya.

Usaha-usaha tersebut melengkapkan pendekatan nasional dengan memastikan penerapan AI dilakukan secara inklusif dan merangkumi semua.
SOKONGAN BAGI PERNIAGAAN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Dalam aspirasi menyokong perusahaan tempatan untuk menebarkan sayap ke luar negara dan teroka pasaran baharu, Dr Faishal berharap peniaga-peniaga Melayu/Islam tidak terlepas untuk merebut peluang tersedia untuk mereka lakukan demikian.

"Saya gembira pemerintah akan mempertingkatkan sokongan supaya perniagaan-perniagaan kita dapat berkembang ke luar Negara. Skim seperti 'Market Readiness Assistance Grant' akan membantu perniagaan membina kehadiran mereka yang lebih kukuh di pasaran antarabangsa," kata Dr Faishal.

Beliau berkata langkah itu penting bagi perniagaan Melayu/Islam yang ingin memperluas jangkauan mereka melangkaui Singapura, sejajar dengan perubahan ekonomi global.

PEMBUKAAN SEMULA TAMAN WARISAN SINGAPURA

Di samping penekanan terhadap teknologi dan ekonomi, Dr Faishal turut menegaskan kepentingan untuk mengekalkan identiti budaya.

Beliau juga menzahirkan keterujaannya dengan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TMW) kira-kira dua bulan lagi iaitu pada 25 April 2026.

"Taman Warisan Melayu akan dibuka semula di akhir April 2026 dengan program-program baru. Ia akan terus menjadi wadah untuk kita mengetengahkan kisah-kisah kita, memelihara seni dan warisan, serta menjadi sebuah ruang kepada generasi baharu pengkarya untuk mengasah bakat dan potensi mereka. Ramai penggiat seni dan budaya yang saya temui menantikan pembukaan Taman Warisan Melayu untuk meneruskan usaha mereka," kongsi Dr Faishal.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, PM Wong berkata seni dan warisan memainkan peranan penting dalam usaha membina identiti yang dikongsi bersama.

Dengan institusi-institusi budaya dan warisan seperti TMW diperkukuh dan diperkasakan, warga negara boleh sama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti yang menyatukan rakyat Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita