Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2026: Dana Kerjasama SG bernilai S$50 juta dilancar bagi sokong inisiatif akar umbi

Anggaran Waktu Membaca:
BELANJAWAN 2026: Dana Kerjasama SG bernilai S$50 juta dilancar bagi sokong inisiatif akar umbi
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata bahawa "sikap memberi, kesukarelawanan dan kebaikan" mempamerkan usaha rakyat Singapura dalam memupuk rasa perpaduan yang kukuh.
Diterbitkan : 12 Feb 2026 10:53PM Dikemas Kini : 12 Feb 2026 10:54PM
SINGAPURA: Dana Kerjasama SG (SGPF) baharu bernilai S$50 juta akan dilancarkan untuk menyokong inisiatif akar umbi dan membantu mereka membina keupayaan dan impak yang berterusan, menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (12 Feb).

Dana tersebut akan menyediakan peringkat pembiayaan yang berbeza dalam jangka masa yang berbeza, termasuk geran sehingga S$1 juta untuk projek yang lebih besar dan berbilang tahun, kata Encik Wong dalam kenyataan Belanjawan 2026 beliau.

Langkah itu menyusuli maklum balas mengenai peningkatan Dana Singapura Kita yang sedia ada, yang menyokong lebih daripada 800 projek sejak 2016, merangkumi usaha membangunkan masyarakat, sukan, dan inisiatif kesediaan perbandaran dan digital.

Tahun lalu, ia menerima lebih 250 permohonan.

"Kami telah menerima maklum balas tentang bagaimana dana itu boleh dipertingkat - termasuk keperluan untuk jumlah geran yang lebih besar, tempoh pembiayaan yang lebih panjang dan kelayakan yang lebih luas," kata Encik Wong.

Beliau menyebut contoh inisiatif kesedaran keselamatan kebakaran oleh dua adik-beradik - Kaizen berusia tujuh tahun dan Kay berusia sembilan tahun - yang mereka poster dan bekerjasama dengan Majlis Bandaran Nee Soon untuk mempamerkannya di lobi lif HDB.

Mereka juga menganjurkan lawatan ke Balai Bomba Yishun bersama kanak-kanak lain dan keluarga mereka, di mana mereka menyampaikan bungkusan 'care pack' dan hadiah buatan sendiri kepada pegawai yang bertugas.

"Ini adalah contoh yang hebat yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja, tidak kira betapa muda, boleh tampil untuk membuat perbezaan," kata Encik Wong.

Pusingan seterusnya Panel Belia juga akan dilancarkan pada akhir tahun ini, memberi peluang kepada belia Singapura untuk bekerjasama dengan pemerintah mengenai isu-isu yang penting bagi mereka.

Maklumat lanjut akan dikongsikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya.

LANJUTAN POTONGAN CUKAI 250%

Secara berasingan, individu dan perniagaan akan terus menerima potongan cukai 250 peratus bagi derma yang layak kepada Institusi-Institusi Bertaraf Awam (IPC) sehingga akhir 2029.

Skim potongan yang dipertingkat, yang mula diperkenalkan pada 2009, sepatutnya tamat pada akhir tahun ini.

Skim Sukarelawan Korporat, yang menawarkan potongan cukai 250 peratus apabila pekerja menjadi sukarelawan atau dipinjamkan kepada IPC, juga akan dilanjutkan sehingga akhir 2029.

Encik Wong berkata bahawa "sikap memberi, langkah menjadi sukarelawan dan kebaikan harian" mempamerkan usaha rakyat Singapura dalam memupuk rasa perpaduan yang kukuh.

Selain sumbangan kewangan, meluangkan masa dan berkongsi kemahiran secara sukarela juga sama penting, tambah beliau.

"Semangat memberi ini boleh diperkukuhkan apabila syarikat-syarikat memudahkan pekerja mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

PENINGKATAN UNTUK BUDAYA, WARISAN DAN SUKAN

Encik Wong berkata kekuatan Singapura bukan hanya terletak pada dasar dan perancangannya, tetapi pada semangat rakyatnya.

"Kita telah mengatasi rintangan - bukan secara kebetulan, tetapi dengan berdiri bersama, terutamanya pada saat-saat yang paling mencabar, sama ada ia pemisahan atau krisis kewangan atau ketidakpastian geopolitik semasa," katanya.

Sedang masyarakat lain menjadi semakin berpecah-belah, Singapura mesti terus melabur dalam ikatan yang menyatukan rakyatnya, tambahnya.

Sektor seni dan warisan memainkan peranan penting dalam usaha ini.

"Kerencaman budaya adalah sebahagian penting daripada identiti kita. Kita menghargai dan merangkul tradisi dan warisan budaya kita yang berbeza, sambil terus membina asas bersama dan identiti yang menyatukan kita sebagai rakyat Singapura."

Taman Warisan Melayu yang diubah suai akan dibuka semula pada akhir tahun ini, dan pemerintah akan bekerjasama dengan Pusat Kebudayaan Cina Singapura untuk meluaskan jangkauan dan pelibatannya. Pusat Warisan India, yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-10, juga akan menerima sokongan lanjut untuk meningkatkan jangkauan dan atur caranya, katanya.

Sukan adalah satu lagi daya penyatuan, kata Encik Wong.

"Melalui sukan, kita belajar daya tahan, kerja berpasukan, dan tekad untuk terus maju walaupun peluang tidak memihak kepada kita," katanya.

Pelan Induk Kemudahan Sukan akan terus dilaksanakan, dengan kemudahan-kemudahan baharu dibuka di Punggol, Toa Payoh, Farrer Park dan Tengah, bersama-sama dengan pusat-pusat sukan yang diubah suai di Hougang dan Queenstown.

Skim Dua Kegunaan (DUS), yang membolehkan orang awam mengakses kemudahan sukan di sekolah-sekolah, akan diperluaskan.

Lebih banyak program sukan inklusif juga akan diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan merentasi umur dan kebolehan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita