Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2026: Akses percuma selama 6 bulan bagi alat premium AI untuk warga SG ikuti kursus AI terpilih

Rakyat Singapura yang mengikuti kursus latihan kecerdasan buatan terpilih akan mendapat akses percuma selama 6 bulan bagi alat premium AI, menurut Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (12 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
BELANJAWAN 2026: Akses percuma selama 6 bulan bagi alat premium AI untuk warga SG ikuti kursus AI terpilih
Orang ramai di Raffles Place pada 6 Oktober 2022. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Diterbitkan : 12 Feb 2026 06:14PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura yang mengikuti kursus latihan kecerdasan buatan terpilih akan mendapat akses percuma selama 6 bulan bagi alat premium AI, menurut Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (12 Feb).

Langkah itu bertujuan membantu para pekerja mengubah pembelajaran di bilik darjah menjadi latihan amali, sedang AI semakin membentuk semula tempat kerja.

"AI akan mengubah cara kita bekerja," kata PM Wong yang juga menteri kewangan semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan 2026.

"Rentak perubahannya mungkin membimbangkan, terutamanya apabila mata pencarian menjadi taruhan."

Beliau akur terhadap keresahan yang semakin meningkat dalam kalangan pekerja tetapi berkata perubahan teknologi tidak akan menimbulkan bahaya terhadap mereka.

"Kita akan terus maju dengan AI kerana ia satu keperluan. Pada masa yang sama, kita akan menyediakan sokongan kukuh bagi membantu para pekerja kita menyesuaikan diri dan maju, kerana kita akan menjaga diri sendiri," kata Encik Wong.

Akses premium itu membolehkan para peserta kursus untuk berlatih menggunakan model AI yang lebih canggih, yang lazimnya memerlukan langganan berbayar.

"Ini membolehkan mereka untuk berlatih, bereksperimen dan menerapkan apa yang sudah dipelajari," kata Encik Wong.

Inisiatif itu melibatkan beberapa kementerian dalam apa yang Encik Wong sifatkan sebagai usaha "merentas".

Lebih banyak butiran akan diumumkan semasa perbahasan mengenai peruntukan pemerintah.

PERMINTAAN SEMAKIN MENINGKAT BAGI KEMAHIRAN AI

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah pemintaan yang semakin meningkat bagi keupayaan AI merentas pelbagai industri.

SkillsFuture Singapore menyatakan pada Januari lalu bahawa permintaan bagi kemahiran berkaitan AI meningkat lebih daripada dua kali ganda antara 2022 dengan 2025.

Bidang seperti prinsip dan aplikasi AI, penilaian model dan amalan AI yang bertanggungjawab berkembang pesat, mencerminkan peralihan daripada peranan IT tradisional kepada aplikasi yang dipacu AI.

Encik Wong menggesa rakyat Singapura supaya mengambil insiatif untuk mempelajari dan mengasah kemahiran berkaitan AI, sambil menarik perhatian bahawa chatbot seperti ChatGPT dan Gemini tersedia secara meluas dan mudah untuk digunakan.

Menggunakan AI dengan baik perlukan pembelajaran, latihan dan sokongan yang betul, katanya.

Walaupun terdapat pelbagai kursus berkaitan AI di laman SkillsFuture, mengemudi pilihan-pilihan yang ada adalah mencabar, katanya.

Bagi menangani isu itu, laman itu akan direka semula supaya laluan pembelajaran AI lebih jelas dan lebih mudah untuk diakses, supaya rakyat Singapura dapat mencari kursus yang sepadan dengan keperluan pekerjaan dan tahap kemahiran mereka.

"Singapura tidak akan bersikap pasif dalam menghadapi perubahan pesat di sekeliling kita. Kita akan menyesuaikan diri, kita akan bersaing dan kita akan terus maju ke hadapan dengan penuh yakin," kata Encik Wong.

"Dengan memanfaatkan AI sebagai kelebihan strategik, kita akan membentuk masa depan kita sendiri dan menjamin kedudukan kita dalam dunia yang semakin berubah."
Sumber : CNA/AT/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita