BELANJAWAN 2025: Skim sokongan keluarga boleh kurangkan perbelanjaan, terutama keluarga besar
Para anggota parlimen (AP) Melayu/Islam menyambut baik skim-skim sokongan untuk keluarga yang dibentangkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Belanjawan 2025 semalam (18 Feb).
Antaranya ialah skim baharu yang disasarkan untuk bantu keluarga besar.
Ia bertujuan untuk meringankan kos tanggungan bagi pasangan yang mempunyai lebih daripada tiga orang anak.
Bagi anak ketiga dan seterusnya, mereka akan menerima geran MediSave Keluarga Besar sebanyak S$5,000.
Pasangan ibu bapa juga akan menerima sehingga S$6,000 dalam tempoh enam tahun dalam bentuk Kredit LifeSG serta tokokan sebanyak S$10,000 ke dalam Akaun Pembangunan Anak di bawah Geran Langkah Pertama.
AP GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim berpendapat: "Kita tahu perbelanjaan keluarga bagi pasangan yang lebih ramai anak sememangnya lebih tinggi. Dengan adanya lebih peruntukan, lebih banyak bantuan bagi mereka yang ada tiga atau empat anak, mereka akan rasakan kenikmatan bersama dan dapat lebih banyak sokongan padu daripada pemerintah."
Di samping itu, keperluan serta pendidikan anak-anak di bawah 20 tahun ke bawah juga akan disokong.
Antaranya, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun pada tahun ini akan menerima Kredit LifeSG Anak sebanyak S$500.
Selain itu, kanak-kanak dan belia juga akan menerima tokokan S$500 ke dalam Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah mereka.
Bagi menyokong pendidikan kanak-kanak lebih kecil, had yuran prasekolah juga akan diturunkan.
"Saya rasa Skim Keluarga Besar ini betul akan memanfaatkan warga Singapura, khususnya Melayu/Islam. Memang tidak mudah untuk membesarkan ramai anak sekarang jadi saya rasa ini sangat menggalakkan," kata AP GRC Sembawang, Mariam Jaafar.
"Memandangkan saiz keluarga kita selalunya lebih besar daripada yang lain jadi biasanya yang memberi banyak sokongan bagi mereka yang ada anak ketiga dan yang keempat sama ada secara tunai atau tokokan akaun PSEA mereka," tambah beliau.
Lebih banyak bantuan juga akan diberikan bagi keluarga yang memerlukan yang berpendapatan rendah.
Menerusi Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkat, lebih bantuan dalam bentuk geran perumahan akan diberikan bagi keluarga dengan anak-anak yang tinggal di flat-flat sewa untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Geran itu akan dinaikkan daripada S$50,000 kepada S$75,000 untuk keluarga membeli flat-flat jenis dua bilik fleksi atau flat-flat jenis tiga bilik.
Sementara itu, bagi membantu meringankan kos harian mereka yang menjaga golongan warga emas di rumah, bantuan sebanyak S$600 sebulan juga diperuntukkan di bawah Skim Geran Penjagaan Rumah.
Selain itu, kelayakan pendapatan per kapita isi rumah juga akan dinaikkan kepada S$4,800 bagi memastikan lebih ramai penjaga dapat dibantu.
"Kami dapat melihat bagaimana Geran Penjagaan Rumah ini dipertingkatkan daripada S$200 hingga S400 dalam tiga, empat tahun yang lalu. Saya yakin yang Geran Penjagaan Rumah akan bermanfaat untuk ramai keluarga kami," kata Encik Sharael.
PAS BUDAYA SG DIHARAP JALINKAN IKATAN KEKELUARGAAN
Semua isi rumah juga akan menerima Baucar CDC sehingga S$800, baucar U-Save di antara S$440 hingga S$760, potongan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) sehingga 3.5 bulan dan Baucar Iklim sebanyak S$400.
Rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas juga akan menerima baucar sehingga S$800 setiap seorang bagi meraikan ulang tahun ke-60 negara ini.
Ini di samping kredit Pas Budaya SG bernilai S$100.
"Saya lihat ia sebagai satu motivasi untuk keluarga keluar bersama dengan aktiviti-aktiviti yang saya rasa adalah penting seperti budaya dan sukan," kata AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.