Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2025: Rakyat SG bakal terima baucar hingga S$800; rebat cukai pendapatan & Hadiah Bayi SG60

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Feb 2025 06:44PM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 11:22PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas akan menerima baucar sehingga S$800 setiap seorang bagi meraikan ulang tahun ke-60 negara ini, umum Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (18 Feb).

Sebagai sebahagian daripada pakej SG60, rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 60 peratus juga akan diberikan untuk Tahun Taksiran 2025, berserta hadiah bayi untuk bayi yang dilahirkan pada tahun ini, menurut beliau semasa membentangkan Belanjawan 2025.

Pakej tersebut bertujuan untuk "mengiktiraf sumbangan semua rakyat Singapura, dan untuk berkongsi manfaat kemajuan negara kita", kata PM Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Baucar SG60 sahaja dijangka menelan belanja sebanyak S$2.02 bilion bagi pemerintah pada tahun kewangan ini.

Setiap rakyat dewasa Singapura akan menerima S$600, manakala warga emas berumur 60 tahun ke atas akan menerima tambahan S$200, iaitu sebanyak S$800.

Baucar itu akan diagihkan pada Julai dan tamat tempoh pada 31 Disember 2026.

Ia juga akan memberi manfaat kepada sekitar tiga juta rakyat.

"Warga emas akan menerimanya terlebih dahulu, dan yang lain akan dapat kemudian," kata PM Wong.

Serupa dengan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar tersebut boleh didapatkan secara digital dan digunakan di pasar raya dan peniaga serta penjaja kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.

Pakej SG60 juga termasuk rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 60 peratus, dengan had maksimum S$200, agar ia lebih memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan pertengahan, kata PM Wong.

Bayi Singapura yang dilahirkan tahun ini akan turut menerima Hadiah Bayi SG60 - inisiatif yang pertama kali diumumkan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada November tahun lalu.

MEMPERTINGKATKAN BUDAYA DAN MASYARAKAT

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 Singapura juga, gerai-gerai di pusat penjaja dan pasar yang diuruskan oleh pemerintah dan pengendali yang dilantik oleh pemerintah akan menerima bantuan sewa sekali sahaja sebanyak S$600 tahun ini.

"Pusat penjaja dan pasar kita adalah bahagian penting dalam kehidupan kita," kata PM Wong.

"Tahun ini menandakan lebih setengah abad sejak kita membina pusat penjaja dan pasar pertama kita, dan ulang tahun kelima penyenaraian Budaya Penjaja kita dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO."

Sehingga S$1 bilion juga akan dibelanjakan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang untuk menaik taraf pusat penjaja yang 'menua' dan membina yang baharu, untuk memenuhi keperluan peniaga dan pelanggan yang berubah-ubah.

PM Wong turut mengumumkan S$100 dalam kredit SG60 ActiveSG, untuk semua ahli ActiveSG menikmati sukan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebanyak S$100 juga akan diberikan melalui Pas Budaya SG yang baharu untuk menggalakkan rakyat Singapura menghadiri kegiatan seni dan warisan.

Bermula September tahun ini, rakyat Singapura berusia 18 tahun ke atas akan turut menerima kredit ini, yang boleh digunakan bagi persembahan budaya, pameran muzium dan banyak lagi.

Kredit itu boleh digunakan sehingga hujung 2028.

MENGGALAKKAN SIFAT MEMBERI

Pemerintah dan Lembaga Tote juga akan menyediakan lebih S$600 juta dalam bentuk dana pemadanan, sebagai bantuan yang dipertingkatkan bagi usaha pengumpulan dana untuk badan-badan amal dan sebab-sebab sosial.

Dana Pemadanan Kebudayaan akan menerima tokokan S$100 juta dan akan dilanjutkan selama lima tahun hingga hujung Tahun Kewangan 2029.

Selain itu, Program Mengumpul Dana yang Dipertingkat akan menerima tokokan S$270 juta dan dilanjutkan selama tiga tahun hingga akhir Tahun Kewangan 2027, kata PM Wong.

Geran pemadanan SG Gives bernilai S$250 juta juga akan diperkenalkan, untuk memadankan sumbangan dolar ke dolar yang dibuat melalui Dana Masyarakat (Community Chest), Collective for a Stronger Society dan Cabaran Presiden – platform yang membolehkan para penderma menyumbang kepada pelbagai program.

"Untuk menggalakkan pemberian berterusan dalam kalangan penyumbang besar, kami akan memberi pemadanan lebih tinggi iaitu S$1.50, bagi sumbangan dengan komitmen sekurang-kurangnya tiga tahun sebanyak sekurang-kurangnya S$250,000 setahun," kata PM Wong.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita