BELANJAWAN 2025: Penting untuk belia SG teroka kemahiran baharu, harungi cabaran masa hadapan
Pembangunan perwatakan, kemahiran untuk menghuraikan masalah serta inovasi antara ciri-ciri yang perlu ada bagi belia menghadapi cabaran masa hadapan.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman antara lain menyentuh hal itu dalam sesi dialog pasca Belanjawan anjuran M³@Bedok pada Ahad (24 Feb).
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Lawrence Wong yang juga merupakan Menteri Kewangan menekankan tentang kepentingan untuk persiapkan diri dengan kemahiran baharu untuk ekonomi masa depan.
Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan turut menarik perhatian bahawa kemahiran-kemahiran tersebut sudahpun diterapkan dalam sistem pendidikan Singapura.
"Apa yang kita lakukan ialah memberi mereka suasana pembangunan yang menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran-cabaran hadapan. Kita mahu anak-anak muda kita yakin bahawa kebolehan mereka dalam semua aspek pembangunan mereka penting untuk masa depan mereka dan kita akan mengasuh dan menggilap segala potensi mereka," kata Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Ehwal Luar.

BELIA PRIHATIN AKAN CABARAN PEKERJAAN MASA HADAPAN
Antara keprihatinan yang disuarakan juga ialah cabaran pekerjaan masa hadapan di tengah-tengah keadaan dunia yang tidak menentu.
"Mereka telah diberikan berita mungkin bahawa keadaan negara kita berkaitan langsung dengan keadaan dunia semakin mencabar dan keadaan ini merunsingkan mereka. Mereka bertanya sama ada masa depan mereka secerah yang mereka jangkakan.
"Apa yang kita harus lakukan ialah memberi mereka peluang untuk mencari kemahiran-kemahiran baharu yang relevan dengan jawatan-jawatan dan pekerjaan-pekerjaan yang akan kita wujudkan dalam masa hadapan," jelas Dr Maliki.

Beliau berharap para belia boleh mengambil peluang skim-skim serta inisiatif-inisiatif yang dilakarkan pemerintah.
"Masa depan mereka boleh cerah jika mereka mengambil manfaat daripada apa yang telah disediakan pemerintah menerusi kursus-kursus atau skim-skim seperti SkillsFuture. Apa yang mereka dapati hari ini ialah pembelajaran bukan sahaja terhad kepada pembelajaran di waktu persekolahan mereka tetapi peningkatan kemahiran begitu penting apabila mereka memasuki dunia pekerjaan," tambahnya.
BELIA ALU-ALUKAN SOKONGAN PEMERINTAH
Antara peserta yang menghargai peluang dan sokongan yang sudah diberikan pemerintah ialah mahasiswa tahun kedua, Ritzkey Pelasuri, 23 tahun.

"Saya juga berharap ia akan terus memberi lebih banyak peluang dari segi peningkatan kemahiran dan mungkin juga mempelajari sesuatu yang lebih daripada jurusan anda atau apa sahaja yang anda pelajari," kata Ritzkey yang sedang menuntut di Institut Pengurusan Singapura - Universiti Buffalo (SIM-UB).
Sesi dialog itu diadakan di Kelab Masyarakat Siglap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.