Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2025: Ibu bapa dengan anak ketiga atau lebih akan dapat sokongan tambahan hingga S$16,000

Anggaran Waktu Membaca:
BELANJAWAN 2025: Ibu bapa dengan anak ketiga atau lebih akan dapat sokongan tambahan hingga S$16,000

Sebuah keluarga yang sedang bermain layang-layang di Bendungan Marina. (Gambar fail: CNA/Goh Chiew Tong)

Diterbitkan : 18 Feb 2025 06:22PM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 06:24PM
SINGAPURA: Bagi setiap anak ketiga dan seterusnya yang dilahirkan mulai Selasa (18 Feb), ibu bapa warga Singapura akan menerima sehingga lagi S$16,000 dalam bentuk sokongan kewangan di bawah skim baharu untuk keluarga besar yang diberi nama Skim Keluarga Besar, umum Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (18 Feb).

Semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan 2025 di Parlimen, PM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata: "Pasangan yang mempunyai lebih ramai anak sering bimbang tentang kos tambahan, kerana permintaan semakin meningkat dengan setiap anak yang dilahirkan."

Skim Keluarga Besar akan menyokong pasangan suami isteri yang mempunyai atau bercita-cita untuk mempunyai tiga atau lebih anak, tambahnya.

Ini terpakai kepada ibu bapa yang telah berkahwin semula dan menyara tiga atau lebih anak daripada perkahwinan lalu atau melalui perkahwinan sekarang, kata Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Pemerintah dijangka akan membelanjakan sekitar S$80 juta untuk inisiatif itu setiap tahun, menurut NPTD.

Ibu bapa akan menerima geran MediSave Keluarga Besar sebanyak S$5,000 untuk setiap anak ketiga dan seterusnya yang dilahirkan mulai Selasa, kata PM Wong.

Geran itu akan dimasukkan ke dalam akaun MediSave ibunya, dan boleh digunakan sama ada untuk menampung perbelanjaan semasa hamil dan sesudah bersalin, atau bagi perbelanjaan penjagaan kesihatan ahli keluarga.

KREDIT LIFESG

Ibu bapa juga akan menerima S$1,000 setiap tahun dalam Kredit LifeSG untuk anak ketiga dan seterusnya antara umur satu dan enam tahun, atau sejumlah S$6,000 dalam tempoh enam tahun, kata PM Wong.

Seperti yang diterima oleh anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen), kredit ini boleh diakses oleh pemegang amanah Akaun Pembangunan Anak melalui aplikasi LifeSG, dan boleh digunakan di mana-mana peniaga online atau fizikal yang menerima pembayaran melalui PayNow UEN QR atau NETS QR.

Keluarga yang sudah mempunyai tiga atau lebih anak berumur bawah enam tahun – yang lahir antara 1 Jan 2019 dan 17 Feb tahun ini – juga akan menerima S$1,000 setiap tahun untuk setiap anak yang layak sehingga mereka berumur enam tahun, kata NPTD dalam kenyataan medianya pada hari Selasa (18 Feb).

Kredit LifeSG akan diagihkan pada bulan September. Pada tahun-tahun berikutnya, kelayakan kanak-kanak akan ditentukan pada 1 Mac, dan kreditnya diagihkan pada bulan April.

Akhir sekali, semua anak ketiga dan seterusnya warga Singapura yang lahir dari Selasa (18 Feb) akan menerima S$10,000 dalam Akaun Pembangunan Anak di bawah Geran Langkah Pertama. Ini adalah dua kali ganda daripada jumlah asal.

Ia boleh digunakan untuk yuran prasekolah dan kos penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak atau adik-beradik mereka, kata PM Wong.

Pemerintah juga berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi korporat untuk menyediakan "julat luas" keistimewaan dan tawaran untuk keluarga besar, kata NPTD. Tiga puluh syarikat dari pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, runcit dan pengangkutan telah menyertainya setakat ini.

KURANG PASANGAN YANG MEMPUNYAI KELUARGA BESAR

Geran untuk keluarga besar yang diumumkan hari ini (18 Feb) menyokong langkah-langkah di bawah Pakej Perkahwinan & Keibubapaan yang dilancarkan oleh pemerintah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia termasuk enam minggu tambahan Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa yang Dibayar Pemerintah (SPL) untuk ibu bapa baharu, mulai 1 Apr; dan 10 minggu tambahan dari tahun selepas itu.

Bonus Bayi juga dinaikkan pada 2023 untuk menggalakkan lebih ramai anak.

Menurut tinjauan NPTD, lebih daripada satu pertiga pasangan suami isteri ingin mempunyai tiga atau lebih anak, tetapi tidak ramai pasangan yang benar-benar berbuat demikian.

Peratusan wanita Singapura yang sudah berkahwin berumur 40 hingga 49 tahun yang mempunyai tiga atau lebih anak merosot daripada 24 peratus pada 2014 kepada 18 peratus pada 2024, menurut Jabatan Statistik.

Tahun lalu, Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduk Singapura juga turun bawah 1.0 buat kali pertama.

Pada Selasa (18 Feb), PM Wong juga mengumumkan langkah bantuan sekali sahaja dalam belanjawan kali ini.

Keluarga-keluarga akan menerima S$500 dalam Kredit LifeSG Anak untuk setiap kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pada tahun ini. Kredit itu akan diagihkan pada Julai untuk kanak-kanak berumur satu hingga 12 tahun pada tahun ini, dan pada April 2026 bagi mereka yang lahir tahun ini.

Kanak-kanak warga Singapura berumur 13 hingga 16 tahun akan mendapat tokokan S$500 pada Akaun Edusave mereka, manakala mereka yang berumur 17 hingga 20 tahun akan mendapat tambahan S$500 pada Akaun Pendidikan Posmenengah mereka.

Keluarga-keluarga dengan sekitar 455,000 kanak-kanak dijangka akan meraih manfaat daripada Kredit LifeSG Anak dan kira-kira 300,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada tokokan pada Akaun Edusave dan Akaun Pendidikan Posmenengah mereka.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita