Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2025: Had yuran prasekolah akan diturunkan; lebih banyak sokongan untuk keluarga bergaji rendah beli rumah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Feb 2025 05:16PM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 11:49PM
SINGAPURA: Ibu bapa di Singapura akan mendapat lebih banyak bantuan untuk yuran prasekolah anak mereka.  Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong keluarga dalam Kenyataan Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Selasa (18 Feb).

Yuran bulanan bagi penjagaan anak di prasekolah pengendali utama akan dihadkan kepada S$610, manakala prasekolah pengendali rakan kongsi tidak akan melebihi S$650.

Jumlah itu turun daripada had S$640 bagi pengendali utama dan S$680 bagi pengendali rakan kongsi – tahun kedua berturut-turut PM Wong menurunkan had yuran prasekolah dalam Kenyataan Belanjawannya.

Selepas subsidi, keluarga dengan dua pencari nafkah akan membayar kira-kira S$300 bagi setiap kanak-kanak, dengan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana membayar lebih rendah daripada itu selepas subsidi tambahan, kata PM Wong.

"Pengurangan ini akan mengekalkan perbelanjaan prasekolah sepenuh hari, sama dengan yuran untuk penjagaan murid sekolah rendah dan penjagaan pelajar selepas sekolah digabungkan," tambahnya.

PM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah dan keluarga rentan supaya mereka boleh mencapai kestabilan dan berdikari.

Di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkatkan, keluarga dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa akan menerima geran S$75,000 untuk membeli Flat Fleksi 2 Bilik standard baharu atau flat tiga bilik dengan pajakan lebih pendek, katanya pada Selasa (18 Feb).

Buat masa ini, keluarga yang layak di bawah skim itu, yang dilancarkan pada 2016, boleh mendapat geran sehingga S$50,000.

Keluarga sedemikian merujuk kepada isi rumah yang sebelum ini mendapat satu subsidi perumahan.

Keluarga dengan anak yang tinggal di flat sewa, yang tidak mendapat manfaat daripada subsidi perumahan, akan dibenarkan membeli flat bersubsidi dengan pajakan lebih pendek melalui skim yang sama, kata PM Wong.

"Mereka biasanya menghadapi cabaran yang lebih besar dalam hidup, seperti menangani masalah perubatan keluarga, atau membesarkan anak sebagai ibu bapa tunggal," tambahnya.

Keluarga-keluarga ini mungkin menghadapi kesukaran untuk membeli flat dengan pajakan penuh selama 99 tahun, walaupun dengan subsidi perumahan yang tersedia untuk pemilik rumah kali pertama, kata PM Wong.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee akan mengumumkan butiran lanjut semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya, kata PM Wong.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita