Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2025: DPPMS sambut baik sokongan pemerintah, rancang bantu syarikat Melayu/Islam teroka teknologi nuklear

Rebat cukai boleh meringankan beban kos operasi dan kakitangan yang dipikul syarikat-syarikat dan perusahaan tempatan di tengah-tengah ketidakstabilan ekonomi dan inflasi.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rebat cukai boleh meringankan beban kos operasi dan kakitangan yang dipikul syarikat-syarikat dan perusahaan tempatan di tengah-tengah ketidakstabilan ekonomi dan inflasi.

Oleh itu, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 50 peratus pada tahun taksiran 2025 dan sokongan-sokongan lain untuk syarikat-syarikat dan perusahaan tempatan yang diumumkan pemerintah dalam Belanjawan 2025.
"Kami rasa ini satu inisiatif yang baik di mana syarikat dapat mengurangkan kos mereka, kos sewa mereka dan kos gaji pekerja dan setiap penjimatan yang diraikan adalah satu keuntungan untuk syarikat, untuk syarikat tersebut. Di sini, rebat cukai itu adalah amat diperlukan untuk syarikat terus maju," kongsi Timbalan Presiden DPPMS, Azhar Othman kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Malah, pemerintah juga akan memperkukuh ekosistem perniagaan dengan menyediakan sokongan bagi mereka meningkatkan skala, melaksanakan rancangan pertumbuhan agar dapat bersaing di persada antarabangsa.

"Salah satu strategi syarikat untuk berkembang maju adalah dengan berkembang sayap mereka ke luar negara dan peringkat global ini adalah amat penting bagi syarikat untuk memahami bahawa pasaran di Singapura ada hadnya dan mereka harus melakarkan strategi rancangan mereka untuk berkembang ke rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah dan pemerintah telah mengadakan program-program untuk membantu syarikat dan Dewan juga boleh membantu syarikat di pasaran luar dengan program yang kami adakan juga," menurut Encik Azhar.

PERLU MELABUR DALAM TEKNOLOGI, TINGKAT DAYA SAING & PRODUKTIVITI

Dalam pembentangan Belanjawan tahun ini, PM Wong berkata perusahaan mesti melabur dalam teknologi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti mereka.

Pemerintah akan menyokong mereka menerusi dana S$150 juta untuk Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan.

"Kecerdasan Buatan (AI) adalah satu teknologi yang tidak dapat kita elakkan. Ia akan datang dan akan lebih berkembang pesat. Justeru, syarikat harus bersiap-sedia dan juga menggunakan AI sebagai salah satu wadah untuk mereka melakukan operasi perusahaan mereka," jelas Encik Azhar.

"Dari segi Dewan juga, kami telah melakarkan penggunaan AI di mana di SME Centre @ SMCCI penasihat perniagaan kita telah menggunakan AI seperti ChatGPT Deepseek, miGenie. Ini adalah agen-agen AI yang kita boleh gunakan sekarang kerana dengan menggunakan AI, kita dapat meningkatkan produktiviti kita dalam melakukan kerja-kerja harian kita," tambahnya.

Selain itu, Dana Pertumbuhan Kredit Swasta bernilai S$1 bilion yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk pembiayaan bagi perusahaan tempatan yang berkembang maju, turut dialu-alukan Encik Azhar.

"Dana Pertumbuhan Kredit Swasta S$1 bilion adalah penting untuk mereka menjanakan kewangan yang diberikan untuk melakarkan strategik syarikat mereka. Ini bukan sahaja dari segi operasi tetapi lebih penting adalah kepada pertumbuhan kepada strategik untuk berkembang maju ke luar negara. Dengan ini, saya berharap syarikat mengambil peluang (dengan) inisiatif yang diumumkan perintah dalam Belanjawan 2025 kerana setiap bantuan yang diberikan, kami amat berterima kasih dan mengalukan-alukannya di mana syarikat dapat meraikan inisiatif ini," ujarnya.
DPPM LAKAR PROGRAM LATIHAN, PENGETAHUAN TENTANG TEKNOLOGI NUKLEAR

Dalam pada itu, PM Wong turut umumkan bahawa pemerintah akan mengkaji penggunaan tenaga nuklear di Singapura.

Encik Azhar yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Enercon Asia, berkongsi bagaimana DPPMS dapat menyokong perniagaan Melayu/Islam untuk teroka industri tersebut.

"Ini ialah satu teknologi bersih untuk memberi janakuasa yang lebih padat untuk Singapura. Jadi, saya rasa ia telah berkembang maju juga dan syarikat harus mengambil peluang dari segi teknologi ini dan sekiranya dilancarkan dan dilancarkan dengan baik dan berjaya, dapat kita memahami teknologi ini," menurut Encik Azhar.

"Dari segi pihak Dewan, kita boleh melakarkan program-program dari segi latihan, pengetahuan tentang teknologi ini. Mengapa kita harus (ada pengetahuan) tentang teknologi ini ialah kerana dengan adanya pengetahuan ini dan apabila ada kemungkinan keluarga negara jiran kita yang melakarkan teknologi nuklear ini, kita akan lihat peluang peluang yang baharu, di mana kita (dapat) memberi sokongan pada mereka, dan dapat kita menjanakan perniagaan yang baharu untuk melakarkan teknologi nuklear," tambahnya.

Untuk menyokong pembangunan prasarana kritikal Singapura untuk beralih kepada tenaga elektrik rendah karbon, pemerintah akan menokok S$5 bilion kepada Dana Tenaga Masa Hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita