Belanjawan 2025 diluluskan, bantu SG harungi cabaran baharu: Indranee Rajah
Belanjawan tahun ini berjumlah S$143 bilion, yang tertinggi bagi penggal pemerintahan sekarang dan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Singapura akan datang.

Ketua Dewan, Indranee Rajah berucap di Parlimen pada 10 Mac 2025.
SINGAPURA: Belanjawan yang diluluskan bagi penggal pemerintah kali ini berhasil "mengemudi Singapura mengharungi keadaan yang sukar dan tidak menentu, dengan perancangan yang tegas dan berpandangan jauh", kata Ketua Dewan Indranee Rajah pada Isnin (10 Mac).
Beliau berkata demikian selepas Parlimen meluluskan Belanjawan bernilai S$143 bilion bagi tahun kewangan akan datang selepas membahaskannya selama sembilan hari.
Belanjawan 2025 merupakan belanjawan terbesar yang diluluskan pemerintah dalam penggal ini, dan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (GE2025) yang harus diadakan menjelang November tahun ini, kata Cik Indranee dalam ucapan yang biasanya disampaikan oleh Ketua Dewan pada hujung proses belanjawan.
Beliau menyifatkan tempoh lima tahun sebelum ini sebagai "tempoh yang penuh cabaran" bagi pemerintah, sedang ia memulakan penggalnya di tengah-tengah pandemik COVID-19 pada 2020.
Ia juga terpaksa bergelut dengan kesan perang di Eropah dan Timur Tengah serta inflasi yang meningkat dengan begitu pantas, selain cabaran-cabaran jangka lebih panjang seperti mengekalkan daya saing dan memperbaharui kompak sosial negara ini.
Belanjawan dari 2021 hingga 2025, bersama-sama dengan empat yang diluluskan pada 2020 di bawah penggal pemerintah sebelumnya untuk memerangi wabak itu, berhasil membantu Singapura bertindak balas terhadap cabaran-cabaran itu dan membuat "pilihan yang sukar", kata Cik Indranee.
Beliau turut menarik perhatian bahawa sepanjang tempoh lima tahun lalu, Jawatankuasa Peruntukan (COS) - di mana Parlimen meneliti rancangan dan belanjawan setiap kementerian - "bekerja lebih keras".
"Penggal ini, secara purata kita menerima lebih 600 soalan yang difailkan bagi setiap COS, dengan perbahasan secara purata selama tujuh jam dan 45 minit bagi setiap sidang sepanjang musim Belanjawan dan COS."
Ia juga merupakan jumlah soalan paling tinggi dan tempoh perbahasan paling panjang berbanding mana-mana penggal sebelum ini, dedah Cik Indranee.
Sedang Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-60 tahun ini, Cik Indranee berkata negara ini "boleh berbangga dengan sejauh mana (ia telah) dicapai melalui usaha generasi terdahulu dan rakyat Singapura sekarang ini".
Beliau juga menarik perhatian bagaimana Singapura baru-baru ini dinamakan sebagai negara paling inovatif di dunia dalam ranking dwitahunan melibatkan 74 negara dan bagaimana pasport Singapura "secara konsisten disenaraikan antara yang paling diiktiraf di dunia".
Koefisien Gini Singapura, selepas mengambil kira cukai dan pemindahan pemerintah, juga "pada tahap terendah dalam tempoh dua dekad", sedang negara ini terus "mengekalkan tempat teratas di peringkat global dalam pemilikan rumah, skor Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), jangka hayat yang sihat dan metrik-metrik penting yang lain".
"Semasa kita memulakan perjalanan kita sebagai sebuah negara pada 1965, tiada seorang pun yang menyangka kita akan mencapai kemajuan seperti ini," kata Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara.
"Kita tidak sampai ke tahap ini secara kebetulan atau secara tidak sengaja, sebaliknya ia dicapai melalui perancangan jangka panjang yang teliti, membina kepercayaan dan kerjasama antara rakyat Singapura dan pemerintah,” tambahnya.
"Ia juga adalah hasil Belanjawan-Belanjawan dahulu dan sekarang, yang menjadi sumber dan membiayai dasar-dasar yang membolehkan kita mencapai kemajuan-kemajuan ini."
Semasa menggulung ucapannya, Speaker Parlimen Seah Kian Peng mengucapkan terima kasih kepada Dewan atas "perbahasan yang sengit, bertenaga dan bermakna" yang menyaksikan 61 Anggota Parlimen memfailkan 600 soalan untuk dibahaskan dalam belanjawan pelbagai kementerian tahun ini.
"Sedang kita memikirkan tentang perbahasan-perbahasan ini, kita juga perlu mengingatkan diri kita sendiri bahawa membahaskannya dengan jelas dan bernas adalah sesuatu yang penting. (Ucapan) yang jelas dan fokus memastikan perbincangan dan perbahasan kita dapat berjalan dengan berkesan dan bermanfaat buat semua," kata beliau.
“Parlimen berada pada tahap terbaik apabila kita dapat membentangkan pandangan kita dengan jelas, apabila kita sudah membuat persiapan yang rapi dan apabila kita membahaskannya dengan fakta dan alasan yang munasabah,” tambah Encik Seah.
"Yang penting, tidak kira apa sahaja matlamat politik kita, kita mesti menegakkan sikap saling hormat-menghormati kerana ia menjadi asas kepada wacana dan perbahasan yang bermakna."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.