Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2024: Tokokan SkillsFuture S$4,000 bagi warga SG 40 tahun dan ke atas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Feb 2024 06:05PM Dikemas Kini : 17 Feb 2024 04:36PM
SINGAPURA: Semua warga Singapura berusia 40 tahun dan ke atas akan mendapat tokokan Kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000 pada Mei ini, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong ketika membentangkan Belanjawan pada Jumaat (16 Feb).

MENGAPA IA PENTING

Program SkillsFuture nasional dilancarkan pada 2015. Sejak itu, kadar penyertaan latihan naik daripada 35 peratus pada 2015 kepada kira-kira 50 peratus pada 2022.

Hampir 40 peratus warga Singapura berusia 30-an tahun sudah menggunakan kredit asas mereka sebanyak S$500, berbanding 25 peratus yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Meskipun tenaga kerja Singapura berada di kedudukan tinggi dari segi kemahiran dan kecekapan teknikal, ia terus berubah disebabkan kemajuan teknologi yang pesat, kata Encik Wong pada Jumaat.

Robot dan mesin tidak akan dapat mengggantikan manusia di tempat kerja sepenuhnya, namun ia akan mengubah cara kemahiran ditakrifkan dan bagaimana nilai dihasilkan, tambahnya.

Atas sebab itu Singapura harus membantu pekerjanya memperbahrui dan mengemas kini kemahiran mereka, dan belajar untuk menggunakan teknologi baharu dengan lebih cekap, kata DPM Wong.

Dengan lebih banyak pekerja dijangka diberhentikan tahun ini, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) menggesa diadakan pakej bantuan peralihan bagi pekerja diberhentikan, termasuk dalam mempelajari kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran.

APAKAH PERUBAHAN YANG DIUMUMKAN?

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beberapa kemas kini kepada skim SkillsFuture di bawah Program Peningkatan baharu, untuk membantu pekerja pertengahan kerjaya dengan lebih baik.

Tokokan S$4,000

Semua warga Singapura berusia 40 tahun dan ke atas akan menerima tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000 pada Mei.

Warga Singapura lebih muda akan menerima jumlah yang sama apabila mereka berusia 40 tahun.

Namun tokokan kredit itu hanya boleh digunakan bagi kursus-kursus tertentu yang boleh meningkatkan peluang mereka dalam pekerjaan, kata Encik Wong.

Ia termasuk kursus di peringkat diploma, pos diploma dan ijazah serta kursus bagi sektor Model Gaji Progresif.

Tambah beliau, kredit asas sebanyak S$500 boleh digunakan bagi pelbagai jenis kursus.

Subsidi bagi diploma sepenuh masa

Pemerintah juga akan menawarkan subsidi kepada semua warga Singapura berusia 40 tahun dan ke atas, untuk meraih satu lagi diploma sepenuh masa di politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan institusi kesenian mulai tahun akademik 2025, umum Encik Wong.

Ia bermakna, seseorang yang sudah menamatkan pengajiannya di sebuah institut pengajian tinggi semasa usia muda, boleh kembali selepas mereka berusia 40 tahun untuk mengambil program diploma sepenuh masa, yang diberikan subsidi.

Elaun latihan bulanan

Warga Singapura berusia 40 tahun dan ke atas yang mendaftar dalam kursus sepenuh masa tertentu juga akan menerima elaun latihan bulanan, umum Encik Wong.

Elaun latihan itu sama dengan 50 peratus jumlah elaun purata individu tersebut bagi tempoh 12 bulan terkini, dihadkan kepada S$3,000 sebulan.

Setiap individu boleh menerima elaun latihan sehingga 24 bulan sepanjang hayat mereka, tambah Encik Wong.

Beliau menarik perhatian bahawa ia boleh menampung tempoh penuh program peralihan kerjaya SkillsFuture dan lebih separuh tempoh program ditawarkan Institut Pengajian Tinggi.

Singapura hanya akan dapat meraih manfaat daripada "peningkatan ketara" kepada inisiatif SkillsFuture itu jika pemerintah, majikan, pekerja dan
kesatuan berusaha untuk memperdalam budaya pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kemahiran, kata Encik Wong.

"Ia harus dijadikan komitmen berasama kita, untuk membantu warga Singapura mencapai potensi penuh mereka, dan mempunyai kerjaya yang produktif dan bermakna.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan