Belanjawan 2024: Sokong majikan dan pekerja harungi cabaran ekonomi, pekerja digalak tingkatkan diri
SINGAPURA: Pelbagai skim sokongan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, jika dimanfaatkan, dapat membantu syarikat-syarikat dan para pekerja mengharungi cabaran ekonomi yang tidak menentu, serta kos perniagaan yang semakin meningkat.
Ia juga membolehkan para pekerja, termasuk mereka yang bergaji rendah, mempertingkat diri dengan merebut peluang-peluang latihan yang disediakan.
Demikian pandangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) sebagai reaksi kepada Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong pada Jumaat (16 Feb).
Pemerintah telah memperkenalkan Pakej Bantuan Perusahaan bernilai S$1.3 bilion untuk menyokong firma, terutamanya yang sedang berusaha untuk menyusun semula syarikat mereka, menjalani transformasi di tengah-tengah kos perniagaan yang semakin meningkat.
Pakej itu merangkumi Rebat Cukai Pendapatan Korporat (CIT) sebanyak 50 peratus sehingga $40,000 untuk syarikat, dengan faedah minimum $2,000 dalam pembayaran tunai bagi syarikat yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan pada 2023.
Untuk membantu perniagaan mengharungi kenaikan kos, rebat CIT sebanyak 50 peratus cukai akan diberikan untuk tahun taksiran 2024.
Ini selain tambahan S$2 bilion ke dalam Dana Produktiviti Nasional dan pelaburan sebanyak S$3 bilion dalam Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2025 bagi memperkukuh kelebihan daya saing.
"Bagi pihak SNEF, kami teruja dengan sokongan yang diberi pemerintah kepada kedua-dua syarikat dan pekerja untuk membantu mengharungi cabaran ekonomi yang kini tidak menentu dan juga kos perniagaan ang semakin meningkat. Pada masa yang sama, sokongan yang telah diberi dapat memberi keupayaan untuk jangka panjang demi mengekalkan lagi daya saing dan juga kelestarian ekonomi.
"Contohnya, tokokan sebanyak S$2 bilion yang diberi Dana Produktiviti Nasional. Contoh selanjutnya tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000 seorang bagi pekerja yang berusia 40 tahun ke atas," kata anggota majlis SNEF, Cik Kohe Hasan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
MAJIKAN HARUS SENTIASA BERINOVASI DAN TINGKATKAN PRODUKTIVITI - MANFAATKAN TEKNOLOGI & KEMAHIRAN PEKERJA
SNEF turut mengalu-alukan lanjutan Kredit Perusahaan SkillsFuture sehingga Jun 2025.
Langkah itu, menurut SNEF, akan akan membantu majikan mengatasi kos untuk memulakan tenaga kerja dan transformasi perniagaan sedang mereka menyusun semula operasi mereka untuk kekal berdaya saing dan meningkatkan daya penghasilan.
"Majikan harus sentiasa berinovasi dan meningkatkan lagi produktiviti mereka dengan memanfaatkan teknologi dan juga meningkatkan kemahiran pekerja mereka. Sebagai persekutuan kebangsaan majikan, SNEF akan terus menyokong majikan untuk mengubah perniagaan mereka dan meningkatkan lagi kemahiran tenaga kerja mereka. SNEF kini menyokong majikan dalam membentuk semula peranan pekerjaan dan melatih semua pekerja yang ada melalui beberapa program," kata Cik Kohe.
Ia juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan tiga pihak, yakni Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan NTUC dalam usaha itu.
"SNEF merupakan salah satu pentadbir skim pemerintah seperti Program Penukaran Kerjaya (CCP) di mana sokongan diberikan buat pekerja pertengahan kerjaya dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran atau kelayakan baharu, untuk membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan baharu. Dengan mengambil kursus-kursus terutama di sektor-sektor penumbuhan utama seperti Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber, Teknologi Hijau dan Perkilangan Maju, pekerja pertengahan kerjaya boleh lebih bertanggungjawab atas tindakan dan laluan kerjaya mereka," tambah beliau.
PELBAGAI SOKONGAN DIPERTINGKAT MANFAATKAN PARA PEKERJA, TERMASUK PEKERJA BERGAJI RENDAH
Para pekerja bergaji rendah pula akan menerima lebih banyak bayaran pendapatan daya kerja tahunan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan kepada skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja.
Pekerja bergaji rendah yang berusia, akan layak mendapat bayaran tahunan sebanyak S$4,900 berbanding S$4,200 sekarang.
"Dengan Skim Pendapatan Tambahan Daya Kerja dan juga Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS), ia memberikan peluang kerana kebanyakan pekerja dari sektor-sektor kebersihan, landskap dan juga pengurusan sampah yang berbual dengan saya mengatakan kalau ada lebih wang tunai dalam tangan, lebih bagus. Jadi ini memberikan mereka rasa ada maruah, rasa sangat dihargai oleh masyarakat dan juga pemerintah," kongsi Pengarah Sekretariat Operasi dan Divisyen Mobilisasi NTUC, Fahmi Aliman kepada BERITA Mediacorp.
Encik Fahmi juga berpendapat bahawa siling gaji Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) yang dinaikkan kepada S$3,000 pada tahun depan akan saling memanfaatkan pekerja dan majikan.
"Itu memberikan satu wadah yang bagus sekali untuk pekerja-pekerja menangani masalah kos kehidupan sekarang ini. Jadi saya rasa ini adalah satu usaha yang baik untuk memberikan situasi 'win-win' atau saling menguntungkan kedua-dua majikan dan juga pekerja terutama sekali kepada pekerja yang bergaji rendah. Dan juga pekerja-pekerja bergaji rendah yang sudah berusia, yang saya kadangkala risaukan juga. Dengan adanya PWCS ini, ia dapat membantu pekerja-pekerja tersebut untuk terus bekerja dalam sektor-sektor yang ada sekarang ini," ujar Encik Fahmi.
SKIM SOKONGAN KEWANGAN SEMENTARA DAPAT BANTU PEKERJA YANG DIBERHENTIKAN JALANI LATIHAN DAN CARI PEKERJAAN LEBIH SESUAI
Beliau turut mengalu-alukan skim sokongan kewangan untuk membantu mereka menjalani latihan atau mendapatkan kerja baharu yang akan diperhalusi.
"Ramai yang saya jumpa kalau mereka hendak mencari pekerjaan yang lebih stabil atau yang memerlukan bayaran lebih, mereka rasa susah sedikit kerana ramai yang bekerja makan pagi kais pagi. Ada yang bekerja mendapat wang itu setiap hari. Jadi untuk bertukar kepada pekerjaan yang lebih tetap, mungkin gajinya hanya akan diberikan pada akhir bulan atau pertengahan bulan. Jadi mereka tidak tahu bagaimana untuk membuat perubahan-perubahan tersebut," kongsi Encik Fahmi.
Sokongan tersebut akan memberi sedikit ruang buat para pekerja yang berhasrat untuk membuat perubahan.
Para pekerja berkenaan, kata Encik Fahmi, akan lebih berkeyakinan untuk mempertingkatkan diri dan mencari kursus-kursus yang lebih baik dan sesuai untuk mereka agar dapat mencari pekerjaan yang lebih baik.
"Jadi apabila berlatih selama dua bulan, enam minggu dan seterusnya, mereka ada wang di tangan untuk terus membeli makan dan susu untuk anak-anak mereka dan sebagainya. Jadi mereka tidak rasa susah atau sempit. Jadi ini adalah satu yang saya memang alu-alukan kerana dalam Bidang Tumpuan 4, ini adalah masalah-masalah yang saya (terima) apabila berbual dengan para pekerja seperti pekerja platform ini. Mereka rasa sempit sedikit," kata beliau.
REBUT PELUANG; MANFAATKAN SOKONGAN YANG DISEDIAKAN
"Mereka (pekerja) diberikan lagi wadah untuk terus mempertingkatkan diri dan bukan sahaja dapat membantu pekerja yang bergaji rendah malah pekerja-pekerja yang dalam pertengahan kerjaya juga untuk bertukar sektor bagi mencari pekerjaan yang lebih bagus.
"Saya berharap masyarakat kita di Singapura ini akan menggunakan setiap dolar yang diberikan pemerintah untuk terus mengasah dan meningkatkan kemahiran mereka dan terus mencari kursus-kursus yang lebih bagus lagi untuk berlatih dan mendapat pekerjaan yang lebih bagus lagi," kata beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.