Belanjawan 2024 menyeluruh, utamakan keperluan masyarakat: AP Melayu
SINGAPURA: Menyeluruh dan menitikberatkan masyarakat untuk bantu mereka menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan bagi mereka.
Demikian pandangan para Anggota Parlimen Melayu/Islam yang ditemui BERITA Mediacorp tentang Belanjawan 2024 yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (16 Feb).
Antara yang paling menarik perhatian mereka termasuk Pakej Jaminan yang dipertingkat, sokongan buat lulusan Institut Pengajian Teknikal (ITE) serta pelaburan terhadap Kecerdasan Buatan (AI).
Pakej Jaminan yang bernilai S$1.9 bilion misalnya dilakarkan bagi menyediakan lebih banyak sokongan untuk rakyat Singapura.
Selain itu, lebih banyak baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), Bayaran Khas Kos Sara Hidup serta rebat juga disediakan untuk bantu rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan keprihatinan kos sara hidup.
PAKEJ JAMINAN YANG DIPERTINGKAT DAPAT BANTU RAKYAT TANGANI INFLASI
Langkah itu dialu-alukan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat.
"Kesan kos sara hidup dan peningkatan kos hidup itu masih ada. Jadi pakej yang dipertingkat dalam Belanjawan ini sedikit sebanyak untuk menangani peningkatan kos akibat inflasi buat tahun ini dan tahun depan juga," kongsi Encik Saktiandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) untuk Pengangkutan dan anggota GPC untuk Kewangan dan Perdagangan.
"Pertolongan dari segi pakej kos sara hidup yang meningkat dan kedua dari U-Save dan rebat untuk pertolongan umpamanya buat empat bulan akan datang, pertolongan untuk pembayaran utiliti mereka yang akan dipertingkatkan. Semua ini akan menolong mengurangkan kos inflasi buat masa akan datang," jelasnya kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
DORONGAN UNTUK LULUSAN ITE DAPATKAN DIPLOMA
Usaha mendorong rakyat mempertingkatkan kemahiran supaya boleh mendapatkan pekerjaan dan gaji yang lebih baik juga dianggap para AP sebagai satu langkah boleh mendatangkan manfaat jangka panjang.
Antaranya termasuk sokongan untuk menggalak para lulusan ITE meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
"Ini memberi satu dorongan saya rasa kepada mereka yang sudah mengambil diploma daripada ITE dan juga untuk menghabiskan diploma mereka untuk meningkatkan kemahiran. Saya rasa kemahiran memberi landasan yang baik untuk pekerja-pekerja Singapura dan juga anak-anak muda Singapura terutama sekali dalam masyarakat Melayu/Islam kita untuk masa depan," kongsi Encik Saktiandi.
Bagi AP GRC Jalan Besar dan anggota GPC Kesihatan dan Pendidikan, Dr Wan Rizal pula, beliau berharap golongan tersebut akan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk dapatkan kelayakan lebih tinggi.
"Dengan adanya tokokan untuk mereka untuk terus belajar ke politeknik dan untuk mendapat diploma mereka, itu adalah satu wadah yang penting kerana ini boleh memberi mereka satu peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka lebih lanjut. Saya juga berharap mereka dapat menggunakan wadah ini untuk menyumbang balik kepada masyarakat," kata Dr Wan Rizal.
Lulusan ITE berusia 30 tahun dan ke bawah yang memilih untuk mengambil diploma, layak menerima tokokan sebanyak $5,000 dalam akaun pendidikan posmenengah.
Mereka juga akan dapat tokokan kedua sebanyak S$10,000 dalam Akaun Biasa CPF mereka.
"Skim seperti Anugerah Kemajuan ITE sungguh bagus kerana mereka yang ada lulusan NITEC dapat mempertingkatkan kemahiran mereka dan mengambil diploma mereka dan diberikan bantuan bukan sahaja dalam yuran pendidikan malah mereka juga diberikan bantuan dalam sumbangan CPF mereka," menurut AP GRC Pasir Ris-Punggol, Mohamed Sharael Taha.
PELABURAN LEBIH S$1 BILION UNTUK AI DAPAT MEMACU INOVASI
Selain mempersiapkan rakyat dari segi kemahiran, penambahbaikan prasarana dan daya inovasi juga didorong pelaburan lebih S$1 bilion sepanjang lima tahun ini untuk Kecerdasan Buatan (AI).
"Pelaburan ini merangkumi pelaburan dalam infrastruktur dan juga pelaburan kemahiran pekerja-pekerja kita. Ini adalah satu (bidang) yang masyarakat kita harus mengambil kesempatan kerana ini adalah industri baharu, berkembang dan yang boleh memberikan lebih banyak pendapatan," tambahnya.
Ini selain mempertingkatkan khidmat jalur lebar internet sehingga 10 kali lebih laju berbanding kelajuan internet ^di kebanyakan rumah sekarang untuk menyokong teknologi sedang membangun seperti AI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.