Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2024: Lulusan ITE bakal terima tokokan CPF S$10,000 jika raih diploma

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lulusan Institut Pengajian Teknikal (ITE) akan mendapat insentif kewangan untuk melanjutkan pendidikan mereka, umum Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (16 Feb).

Di bawah Anugerah Kemajuan ITE, lulusan berusia 30 tahun dan ke bawah yang memilih untuk mengambil diploma, layak menerima dua tokokan daripada pemerintah.

Tokokan pertama sebanyak S$5,000 akan dimasukkan ke dalam akaun pendidikan posmenengah apabila mereka mendaftar bagi program diploma. Tokokan kedua sebanyak S$10,000 akan diberikan sekiranya mereka meraih diploma dan ini akan dimasukkan ke dalam Akaun Biasa (OA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

"Kami ingin menggalakkan dan membantu lebih ramai lulusan ITE dalam usaha mereka menimba kemahiran baharu, supaya mereka berjaya dalam kerjaya yang latihannya sudah mereka jalani dan mendapatkan kerjaya dan gaji yang lebih baik," kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat.

Prospek gaji dan kerjaya graduan ITE tidak sepatutnya terlalu jauh daripada mereka yang daripada politeknik atau universiti, tambahnya.

Semasa latihan Melakar Hala Tuju Singapura tahun lalu, kebanyakan warga Singapura mengalu-alukan pentakrifan kejayaan yang lebih luas, kata Encik Wong.

Dengan laluan kerjaya yang pelbagai, setiap individu boleh "menjadi versi diri mereka yang terbaik", tambahnya.

Meskipun purata gaji asas graduan ITE dinaikkan sebanyak S$570 dalam sedekad lalu, gaji yang diberikan masih separuh berbanding rakan-rakan mereka di universiti.

Demikian menurut tinjauadalam kalangan graduan.

Mulai 2027, penuntut ITE Nitec Lanjutan yang meraih purata nilai gred (GPA) 3.5 akan dijamin kursus politeknik yang berkaitan dengan kursus diambilnya, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada Julai tahun lalu.
 
Syarat GPA minimum itu akan memanfaatkan kira-kira 1,000 penuntut, atau 10 peratus lulusan Nitec Lanjutan teratas, umum Kementerian Pendidikan ketika itu.

Buat masa ini, sekitar 900 lulusan daripada Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) layak bagi tempat di politeknik.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita