Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2023: Warga SG bakal terima bayaran tunai lebih tinggi di bawah Pakej Jaminan, skim Baucar GST

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Feb 2023 05:08PM Dikemas Kini : 14 Feb 2023 11:08PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura akan menerima bayaran tunai lebih tinggi di bawah skim baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Pakej Jaminan.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2023 pada Selasa (14 Feb).

Kenaikan tersebut akan membantu rakyat Singapura mengharungi tempoh kenaikan inflasi sekarang, dan mengimbangi kesan kadar GST yang lebih tinggi, kata Encik Wong di Parlimen.

Kadar GST naik kepada 8 peratus tahun ini dan akan dinaikkan lagi kepada 9 peratus pada 2024.

Skim Baucar GST (GSTV) membantu menampung perbelanjaan GST secara tetap bagi warga Singapura bergaji rendah dan sederhana.

Di bawah skim tersebut, kuantum tunai akan diberikan kepada warga Singapura berusia 21 dan ke atas dengan taksiran gaji tahunan sehingga S$34,000.

Bayaran tunai akan meningkat daripada S$500 kepada S$700 tahun ini dan kepada S$850 mulai tahun depan bagi warga Singapura yang layak dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan sebanyak S$13,000 atau lebih rendah. Ia meliputi semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan sebilangan hartanah privet nilai lebih rendah.

Bagi mereka yang tinggal dalam hartanah dengan nilai tahunan lebih S$13,000, sehingga S$21,000, bayaran tunai ditambah daripada S$250 kepada S$350 tahun ini, dan kemudian kepada S$450 mulai 2024.

Bayaran tunai Baucar GST yang dipertingkatkan itu akan memanfaatkan sekitar 1.5 juta warga dewasa Singapura setiap tahun, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Ini akan memastikan kebanyakan pesara dan isi rumah berpendapatan rendah tidak akan terjejas dek kenaikan kadar GST, menurut Encik Wong.

"Di bawah sistem GST kami - yang merujuk kepada GST dan GSTV - pengguna yang lebih berkemampuan termasuk pelancong dan penduduk asing, akan menampung kadar GST yang lebih tinggi berbanding warga Singapura bergaji rendah.

"Ini memastikan bahawa mereka yang lebih berkemampuan menyumbang melalui cukai dan secara tidak langsung mengurangkan beban cukai bagi rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan lebih berkesan.

Komponen lain dalam skim Baucar GST tidak berubah, yang merangkumi manfaat serta perkhidmatan MediSave dan U-Save serta rebat penyenggaraan.

PAKEJ JAMINAN

Pakej Jaminan pertama kali diumumkan semasa Belanjawan 2020 untuk membantu mengimbangi perbelanjaan tambahan GST. Bayaran tunai diagihkan sepanjang lima tahun, dari 2022 hingga 2026.

Menyusuli semakan semula pemerintah terhadap pakej tersebut, bayaran tunai akan ditambah bagi menampung inflasi yang lebih tinggi, kata Encik Wong.

Sekitar 2.9 juta warga deawasa Singapura akan menerima jumlah antara S$700 dengan S$2,250 secara keseluruhan dari pakej tersebut sepanjang lima tahun , iaitu kenaikan sehingga S$650 daripada bantuan yang diumumkan sebelum ini.

Jumlah tersebut bergantung kepada gaji dan jumlah hartanah yang dimiliki.

Misalnya, mereka yang menerima gaji sehingga S$34,000 setahun dan memiliki sehingga satu hartanah boleh menerima kuantum tertinggi sebanyak S$2,250 dalam tempoh lima tahun, manakala, mereka bergaji lebih S$100,000 setahun atau memiliki lebih daripada satu hartanah akan menerima kuantum terendah bernilai S$700.
Sumber : CNA/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita