Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: Warga SG akan terima hingga S$400, lebih banyak baucar CDC untuk tampung kos sara hidup

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2023: Warga SG akan terima hingga S$400, lebih banyak baucar CDC untuk tampung kos sara hidup

(Gambar: Grace Yeoh/CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2023 05:40PM Dikemas Kini : 15 Feb 2023 09:25PM
SINGAPURA: Pemerintah akan memberi "bayaran khas kos sara hidup" sekali saja dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$300 bagi menangani keprihatinan terhadap kesan inflasi.

Ia adalah antara langkah-langkah sokongan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Selasa (14 Feb).

Bayaran khas kos sara hidup itu akan diberikan kepada warga Singapura yang layak, berusia 21 tahun dan ke atas tahun ini, mempunyai pendapatan tahunan yang ditaksir kurang S$100,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Mereka yang memperoleh pendapatan sehingga S$22,000 setahun akan menerima S$400, manakala mereka yang bergaji lebih dari S$22,000 hingga S$34,000 akan menerima S$300, dan mereka yang membawa pulang lebih dari S$34,000 hingga S$100,000 akan mendapat S$200.

Bayaran di bawah Pakej Jaminan itu, akan diagihkan kepada kira-kira 2.5 juta warga dewasa Singapura pada Jun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Semua isi rumah warga Singapura juga akan menerima baucar CDC bernilai S$300 lagi pada Januari 2024. Baucar teresebut boleh digunakan di kedai-kedai runcit dan penjaja di estet kejiranan, serta pasar raya tertentu.

Semasa mengumumkan langkah-langkah tersebut, Encik Wong yang juga berkata, beliau akur bahawa ramai warga Singapura masih bimbang tentang isu kos sara hidup yang mendesak.

Justeru, selain skim baucar GST dan Pakej Jaminan yang dipertingkat, Pemerintah akan menyediakan "bantuan menyeluruh" bagi kebanyakan isi rumah Singapura dalam Belanjawan kali ini, katanya.

Tambah Encik Wong, secara purata, bagi isi rumah bergaji rendah, bantuan yang diberikan akan "menampung sepenuhnya" perbelanjaan yang meningkat disebabkan inflasi dan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih tinggi.

Bagi isi rumah berpendapatan sederhana, bantuan yang diberikan akan "menampung sebahagian besar" peningkatan dalam perbelanjaan mereka.

LEBIH SOKONGAN BUAT WARGA EMAS, KELUARGA BERANAK PINAK

Encik Wong turut menggariskan beberapa langkah bantuan lain di bawah Pakej Jaminan.

"Bonus kos sara hidup bagi warga emas" antara S$200 hingga S$300 akan diberikan kepada warga Singapura berusia 55 tahun dan ke atas yang layak pada Jun.

Untuk melayakkan diri, warga lanjut usia itu harus mempunyai pendapatan tahunan yang ditaksir tidak melebihi S$34,000, tinggal di hartanah dengan nilai tahunan kurang S$21,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Ini akan memanfaatkan sekitar 850,000 warga Singapura dan adalah tambahan kepada bonus warga emas yang sedia ada di bawah Pakej Jaminan, menurut MOF.

Selain itu, rebat U-Save akan dinaikkan seganda menerusi tiga agihan seterusnya pada April, Julai dan Oktober, bagi membantu menampung perbelanjaan api air isi rumah yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Dengan rebat U-Save yang diagihkan di bawah Pakej Jaminan pada Januari, rebat U-Save yang biasa diterima pada 2023 naik seganda.

Isi rumah yang layak bakal menerima rebat U-Save sehingga S$760 tahun ini, kata Encik Wong.

Keluarga yang mempunyai anak juga akan menerima bantuan tambahan. Setiap kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah akan menerima tokokan S$400 dalam Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) mereka, manakala kanak-kanak lebih tua akan menerima tokokan S$300 dalam Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Pos Menengah (PSEA) mereka.

Untuk memberi gambaran sokongan yang dipertingkat itu, Encik Wong berkata, sebuah keluarga bergaji rendah dengan dua anak kecil akan menerima sehingga S$5,500, dalam bentuk wang tunai, tokokan pada CDA dan MediSave, rebat U-Save dan rebat yuran perkhidmatan dan penyenggaraan, serta baucar CDC.

"Dan kami telah memastikan bahawa keluarga-keluarga lebih besar, khususnya mereka yang mempunyai warga emas dan kanak-kanak, akan menerima lebih banyak bantuan.

"Misalnya, keluarga berpendapatan rendah dengan enam anggota, antaranya dua warga emas dan dua kanak-kanak yang masih bersekolah, akan menerima faedah sehingga S$8,400 tahun ini," katanya.

Secara keseluruhan, peningkatan pada Pakej Jaminan bernilai S$3 bilion, meningkatkan perbelanjaan pemerintah bagi pakej tersebut daripada S$6.6 bilion kepada S$9.6 bilion.

TIDAK HANYA BOLEH BERGANTUNG KEPADA PEMERINTAH

Encik Wong berkata, penyesuaian Pakej Jaminan itu mencerminkan komitmen Pemerintah untuk membantu warga Singapura mengharungi tempoh mencabar disebabkan kenaikan harga.

"Namun saya berharap semua warga Singapura faham bahawa dari segi fiskal bantuan sedemikian tidak boleh berkekalan untuk terus bergantung kepada bantuan Pemerintah setiap tahun bagi menangani inflasi," katanya.

Tambah Encik Wong, selepas kenaikan inflasi sekarang ini menjadi lebih sederhana, inflasi mungkin menjadi stabil pada paras lebih tinggi berbanding dekad-dekad sebelum ini, di Singapura dan di seluruh dunia.

"Era globalisasi yang mengekalkan harga barangan pada harga yang berdaya saing di seluruh dunia sudah berakhir," kata Menteri Kewangan itu.

"Negara-negara kini sedang meninjau semula dan membuat penyesuaian pada rantaian bekalan masing-masing. Mereka bersedia untuk menerima kadar kecekapan yang lebih rendah dan kos lebih tinggi untuk mengutamakan kepelbagaian dan daya tahan strategik, berbanding membeli daripada sumber yang paling murah."

Tambah Encik Wong, trend tersebut mendorong inflasi di seluruh dunia, termasuk Singapura, dan negara ini tidak mempunyai pengaruh besar terhadap inflasi sejagat.

"Namun strategi terbaik kami untuk menangani inflasi ialah untuk memastikan kami lebih produktif dan berdaya saing - supaya pekerja kami meraih pendapatan lebih tinggi dan peningkatan pendapatan itu boleh menampung harga yang lebih tinggi."

Encik Wong menarik perhatian bahawa itulah yang berlaku tahun lalu, dengan pendapatan sebenar meningkat dua peratus bagi pekerja dalam sektor media dan 4.7 peratus bagi pekerja di persentil ke-20.

"Justeru, meskipun harga lebih tinggi, kami berada di kedudukan lebih baik sebenarnya."

Beliau turut menekankan peri pentingnya meneruskan usaha penyusunan semula dan transformasi, membantu perniagaan meningkatkan daya penghasilan dan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan