Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: SME minta bantuan tangani kos operasi, tenaga kerja & pendigitalan

Kurangkan kos operasi dan tenaga kerja, kembangkan perniagaan dan pendigitalan merupakan antara cabaran-cabaran utama yang dihadapi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kurangkan kos operasi dan tenaga kerja, kembangkan perniagaan dan pendigitalan merupakan antara cabaran-cabaran utama yang dihadapi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Menjelang pembentangan Belanjawan minggu depan, para peniaga SME meluahkan harapan agar pemerintah juga memberikan tumpuan kepada cabaran-cabaran itu.

SINFUL CAKES INGIN KEMBANGKAN PERNIAAGAAN

Salah satu daripadanya adalah syarikat Sinful Cakes.

Ia bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB) pada 2013 sebelum membuka kedai secara fizikal.

Seperti banyak pengusaha makanan dan minuman (F&B) yang lain, perniagaan itu turut terkena tempias COVID-19.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pada Jun tahun lalu, pengasasnya, Encik Muhammad Raimy Ismail memutuskan untuk berpindah ke bangunan City Gate di Beach Road untuk menikmati kadar sewa yang rendah.

Meskipun perniagaannya di situ lebih baik, beliau perlu menyemak semula operasi dan model perniagaannya ini.

"Kos bahan mentah kian naik seperti mentega. Mentega yang paling mahal. Telur sekarang pun mahal. Walaupun dengan kos yang kian naik, kita tidak naikkan harga secara meluas. Contohnya dalam 10 tahun, harga macaron kami daripada S$20 hingga S$25. Kita cuba menyerap seberapa banyak inflasi yang kami boleh," kata Encik Raimy, 29 tahun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Di sebalik suasana ekonomi yang mencabar, beliau yakin masih terdapat peluang untuk mereka meluaskan perniagaan ke wadah online seperti Shopee dan Lazada.

Ini selain meneroka strategi untuk meningkatkan penjualan seperti membuka gerai-gerai 'pop-up' di kawasan-kawasan kejiranan.

"Kita tidak boleh kekal di satu kawasan sahaja. Kita kena keluar, pergi ke sana, sini. Sebab di dalam kawasan ini, cuma ada jumlah orang yang begini sahaja. Jadi kalau kita hendak dekati lebih ramai pelanggan, kita perlu bergerak," tambahnya.

INGIN BINA JENAMA YANG MENJADI KEBANGGAAN NEGARA, INSPIRASI MASYARAKAT

Menjelang pembentangan Belanjawan pada Selasa depan (14 Feb), encik Raimy berharap pemerintah dapat menyediakan perniagaan-perniagaan dengan bantuan kewangan bagi menangani kos sewa, pengambilan pekerja dan operasi yang kian meningkat.

"Sekarang sewa memang mahal. Sekadar ruang kecil begitu boleh beribu-ribu dolar. Kalau pemerintah boleh tolong kita khususnya sewa atau geran yang boleh menolong kita mencari pekerja mungkin memberi mereka manfaat untuk menyertai syarikat F&B," ujarnya, yang kini mempunyai sekitar empat pekerja sepenuh masa.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau turut memegang impian agar syarikatnya akan menjadi jenama Singapura yang dikenali.

"Saya mahu jenama ini untuk menjadi jenama milik Melayu/Islam yang boleh dibanggakan masyarakat kita dan mereka rasa boleh menjadi begitu juga," kata Encik Raimy.

BANTUAN BELANJAWAN SEBELUM INI BANTU RINGANKAN KESAN AKIBAT PANDEMIK

Syarikat yang menawarkan khidmat kreatif dan pemasaran digital DANAMIC pula terjejas teruk apabila banyak projek terpaksa dibatalkan disebabkan COVID-19.

"Apabila kami terkena kesannya tidak lama dahulu, banyak projek yang dibatalkan untuk selama enam bulan. Aliran wang kami terrjejas teruk dan itu sangat mencemaskan kerana kami masih perlu membayar kakitangan, sewa dan utiliti," kata pengasasnya, Encik Muhammad Danish Muhammad Imran.



Bantuan-bantuan yang disediakan Pemerintah - seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan Program Pinjaman Penyambung Sementara membantu DANAMIC tangani cabaran perniagaan pasca pandemik.

Namun usahawan muda berusia 27 tahun itu berharap dalam Belanjawan kali ini pemerintah dapat membantu syarikat sepertinya memanfaatkan pelbagai teknologi masa kini serta tenaga kerja mahir yang diperlukan.

"Kami harap dapat Belanjawan yang boleh membantu dari segi tenaga kerja dan latihan. Kalau boleh juga membantu mendapatkan sumber. Seperti kami perlu membeli barangan dan peralatan," tambah Encik Danish.



AMBIL PELUANG GUNAKAN TEKNOLOGI BARU

Encik Danish mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaannya namun bimbang kerana perlu bersaing untuk mendapatkan tenaga kerja mahir.

"Sukar untuk pastikan siapa yang baik dan siapa yang masih perlukan lebih banyak latihan. Oleh kerana projek-projek yang kami ada sekarang, memang sukar untuk mencari seseorang atau memberi peluang untuk seseorang yang baru sahaja bermula kerana kami sangat kecil. Jadi kami tidak mempunyai orang untuk melatih mereka," tambahnya, yang mempunyai sekitar 15 kakitangan dalam pasukannya.



Beliau merancang untuk meningkatkan keupayaan syarikatnya menerusi penggunaan teknologi agar dapat menguruskan lebih banyak projek dengan lebih efektif.

Antaranya dengan memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) baru seperti ChatGPT.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan