Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: Skim-skim sokongan berpandangan jauh dan membantu keluarga, kata para pemimpin Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Belanjawan 2023 berpandangan ke hadapan dan menunjukkan keprihatinan pemerintah terhadap cabaran-cabaran semasa.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli berkata ini termasuk menyediakan skim-skim yang membantu keluarga-keluarga menangani peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

"Belanjawan ini juga memberikan tanda hala tuju negara pada masa depan dan juga menunjukkan keprihatinan bahawa pemerintah juga faham tentang kepayahan, kesusahan semasa.

"Dalam hal ini di Singapura dan di mana-mana di dunia, kita sedang menghadapi peningkatan kos sara hidup atau inflasi dan ini semua dirangkumi dalam belanjawan tersebut untuk memberi bukan sahaja tumpuan mengatasi masalah-masalah semasa, tetapi sekali gus memberi hala tuju untuk negara kita sampai kepada hala tuju yang kita harapkan," kata Encik Masagos.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim berpendapat belanjawan tahun ini memberi semangat kepada masyarakat untuk maju dan menyeru kepada masyarakat Melayu/Islam untuk memanfaatkan skim-skim sokongan yang disediakan.

"Saya harapkan lebih banyak masyarakat Melayu/Islam kita dapat memanfaatkan ganjaran yang ada supaya ini dapat membantu mereka dan anak-anak mereka. Sebagai seorang anggota masyarakat Melayu Islam, saya amat bangga dengan apa yang telah kita kecapi. Bukan saja sebagai masyarakat tetapi negara kita melalui, mengharungi hiruk pikuk pandemik.

"Kalau belanjawan tahun lepas tentang bagaimana menaikkan GST, belanjawan ini adalah untuk memberikan semangat bagi masyarakat kita untuk terus maju dan mengambil kesempatan yang ada," kata Encik Zhulkarnain.

Encik Zhulkarnain menarik perhatian, banyak sokongan yang diumumkan tahun ini dibina atas belanjawan tahun lepas. Salah satu daripadanya adalah bantuan untuk keluarga-keluarga.

Antara yang diumumkan adalah penambahan bonus bayi dan keutamaan untuk pasangan-pasangan muda memiliki rumah.

Ini, kata Encik Masagos memberi isyarat bahawa pemerintah berusaha mengukuhkan kompak sosial dan dasar-dasar pemerintah yang dikemas kini selaras dengan matlamatnya untuk menyokong keluarga.

"Di Singapura ini selalu kita runsing tentang kos kehidupan dan mendapat rumah, dan sebagainya. Jadi selain daripada mendapat keutamaan dalam memiliki rumah, ini adalah satu hal yang sangat dititikberatkan oleh pasangan yang baru berumah tangga. Selain daripada itu, apabila mendapat anak pula, kami harap jangan melihat anak itu sebagai satu beban tetapi bagaimana pun pemerintah akan menyokong dari segi meningkatkan lagi bonus bayi hingga S$11,000 bagi anak yang pertama, dan kemudian meningkatkan lagi Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) hingga S$5,000.

Encik Masagos turut menarik perhatian kepada tokokan dalam Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) yang akan meringankan pembiayaan keluarga.

Ini selain tokokan Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Pos Menengah (PSEA) mereka.

Setelah melalui tempoh pandemik COVID-19, Encik Zhulkarnain menyifatkan belanjawan tahun ini sebagai permulaan baru bagi generasi lebih muda membina keluarga.

"Anak-anak saya masih kecil jadi saya banyak rasa tentang impaknya kos perbelanjaan bagi keluarga-keluarga yang ada anak yang kecil dan ada banyak sokongan yang telah dibentangkan dalam belanjawan tahun ini," kata Encik Zhulkarnain.

Beliau berkata, belanjawan tahun ini amat membantu dalam mengukuhkan keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan