Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: Skim bantuan baru bagi pekerja platform imbangi sebahagian caruman CPF lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Feb 2023 10:49PM Dikemas Kini : 14 Feb 2023 11:30PM
SINGAPURA: Pekerja platform yang berpendapatan rendah akan menerima bantuan untuk membuat caruman lebih tinggi ke Tabung Simpanan Pekerja (CPF), kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa menyampaikan Belanjawan 2023 pada Selasa (14 Feb).

Sokongan itu ialah dalam bentuk skim Bantuan Peralihan CPF Pekerja Platform yang akan mengimbangi sebahagian caruman tambahan CPF bagi pekerja tersebut dan mengurangkan kesan yang akan menjejas gaji yang dibawa pulang, kata Encik Wong.

Pekerja platform Singapura yang berpendapatan S$2,500 atau kurang setiap bulan layak bagi skim tersebut sekiranya mereka dikehendaki membuat caruman CPF atau memilih untuk berbuat sedemikian.

Tahun lalu, Pemerintah menerima beberapa saranan oleh Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform, salah satu daripadanya adalah untuk menyelaraskan kadar caruman CPF bagi pekerja dan syarikat platform dengan pekerja dan majikan dalam tempoh lima tahun.

Pekerja platform berusia di bawah usia 30 tahun dikehendaki membuat caruman ke Akaun Biasa dan Khas CPF mulai lewat 2024. Pekerja platform berusi lebih tua boleh memilih untuk berbuat sedemikian.

Bantuan peralihan akan disediakan bagi empat tahun pertama apabila perubahan tersebut dilaksanakan, kata Encik Wong, yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Perincian mengenai skim tersebut akan diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Jawatankuasa penasihat yang ditubuhkan pada September 2021 untuk mengkaji langkah mengukuhkan perlindungan bagi pekerja platfom online, menyarankan caruman CPF dinaikkan yang beransur-ansur selama lima tahun, melainkan gangguan ekonomi besar-besaran memerlukan tempoh lebih lama.

Jawatankuasa tersebut sebelum ini mengatakan, ia mempertimbangkan kenaikan purata kadar caruman CPF sebanyak 2.5 peratus dan 3.5 peratus setiap tahun, masing-masing bagi pekerja platform dan majikan platform.

"Perubahan tersebut akan membantu pekerja platform meningkatkan pendapatan mereka dan mengukuhkan simpanan perumahan dan persaraan mereka," kata Encik Wong.

"Namun pada jangka pendek, ia akan menjejas gaji yang dibawa pulang."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan