Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2023: SG 'tidak mungkin' dapat kembalikan dana dikeluarkan daripada rizab disebabkan 'kedudukan kewangan ketat', kata Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2023: SG 'tidak mungkin' dapat kembalikan dana dikeluarkan daripada rizab disebabkan 'kedudukan kewangan ketat', kata Lawrence Wong

(Gambar: Hanidah Amin/CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2023 10:12PM Dikemas Kini : 16 Feb 2023 10:15AM
SINGAPURA: Singapura "kemungkinan tinggi tidak" berupaya mengembalikan dana yang dikeluarkan daripada rizab sejak tiga tahun lalu bagi membiayai langkah sokongan berkaitan pandemik, disebabkan negara ini kekal berada pada "kedudukan kewangan yang ketat", kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (14 Feb).

Kali terakhir Pemerintah memanfaatkan rizab lalu ialah pada tahun kewangan (FY) 2009 apabila ia mengeluarkan S$4 bilion untuk menyokong ekonomi semasa krisis kewangan global. Ia berupaya memulangkan dana yang dikeluarkan dua tahun kemudian disebabkan pemulihan ekonomi dan kedudukan kewangannya.

Namun kali ini, Singapura berada dalam "kedudukan yang berbeza", kata Encik Wong semasa membentangkan Belanjawan 2023.

"Ekonomi kita pulih kepada paras sebelum pandemik, tetapi kita terus berada dalam kedudukan kewangan yang ketat," katanya.

"Justeru, kemungkinan tinggi kita tidak akan dapat memulangkan semula dana yang dikeluarkan daripada rizab lalu."

Sebanyak S$40 bilion dianggar dikeluarkan daripada rizab lalu bagi membiayai langkah tindak balas COVID-19 antara tahun kewangan 2020 hingga 2022, lebih rendah berbanding S$52 bilion yang awalnya Pemerintah mendapatkan persetujuan Presiden Halimah Yacob untuk membiayai perbelanjaan tersebut.

Ini mencerminkan pendekatan cemat Pemerintah dalam menggunakan rizab, kata Encik Wong, sambil menambah, Pemerintah "tidak akan goyah" daripada komitmennya untuk melindungi rizab sebagai aset strategik utama.

Tambah Encik Wong, rizab kewangan membantu Singapura mengharungi kejutan sejagat utama, mengelak kadar pengangguran yang tinggi dan mempertingkatkan keupayaan di tengah-tengah kelembapan ekonomi.

Pemerintah-pemerintah lain juga berbelanja lebih sewaktu pandemik, meskipun "sebahagian besarnya membiayai perbelanjaan tambahan dengan membuat pinjaman, yang perlu dibayar balik oleh generasi-generasi datang."

Sebaliknya, rizab Singapura membolehkan negara ini mengambil tindak balas pantas tanpa membabitkan hutang atau membebankan generasi warga Singapura sekarang atau yang akan datang, kata Encik Wong di Parlimen.

"Justeru, kami akan terus mengambilnya dengan berhati-hati, hanya bagi tujuan yang penting sejajar dengan prinsip untuk melindungi rizab kami," tambah Encik Wong, sambil menarik perhatian kepada sebab perlunya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu dinaikkan untuk memastikan terdapat sumber mencukupi bagi menjaga penduduk yang menua sambil mengekalkan belanjawan yang seimbang pada jangka sederhana.

RIZAB TIDAK AKAN DIMANFAATKAN PADA FY2023

Pemerintah tidak akan menggunakan rizab pada tahun kewangan 2023 sedang "keadaan kembali kepada normal" setelah tiga tahun pandemik, kata Encik Wong.

Membentangkan kedudukan kewangan bagi tahun kewangan akan datang, Pemerintah menjangkakan defisit sekitar S$0.4 bilion, atau 0.1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Pendapatan operasi diunjurkan pada S$96.7 bilion, iaitu S$6.4 bilion atau 7.1 peratus lebih tinggi berbanding anggaran tahun lalu.

Ia sebahagian besarnya disebabkan pungutan lebih tinggi yang dijangkakan daripada cukai korporat dan pendapatan peribadi, serta GST.

Selain itu, perbelanjaan Pemerintah dijangka turun sedikit kepada S$104.2 bilion - S$2.8 bilion atau 2.6 peratus lebih rendah berbanding perangkaan 2022 yang dikemas kini.

Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) yang merupakan penyumbang terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dijangka membawa masuk S$23.5 bilion pada FY2023, iaitu 8.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2022.

Encik Wong berkata kedudukan fiskal yang dianggarkan itu "sesuai" dengan keadaan ekonomi yang diunjurkan buat tahun ini, namun menekankan bahawa terdapat "rancangan" bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas sekiranya keadaan ekonomi menjadi lembap.

Bagi tahun kewangan 2022, Belanjawan dijangka mencatatkan defisit keseluruhan sebanyak S$2 bilion, atau 0.3 peratus daripada GDP.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita