Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: Pembeli kali pertama flat jualan semula terima geran perumahan tambahan S$30,000

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2023 05:36PM Dikemas Kini : 14 Feb 2023 11:16PM
SINGAPURA: Geran perumahan bagi keluarga-keluarga yang membeli flat jualan semula buat kali pertama akan ditambah sehingga S$30,000, dedah Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (14 Feb).

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi keluarga seumpama itu - yang membeli flat empat bilik atau lebih kecil Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) - Geran Perumahan CPF mereka akan naik sehingga S$30,000. Ini bermakna jumlah geran yang diberikan adalah sebanyak S$80,000.

Keluarga-keluarga yang layak, yang membeli flat lima bilik atau lebih besar akan menerima lagi S$10,000 atau S$50,000 secara keseluruhan.

Keluarga pertama kali adalah keluarga yang sebelum ini tidak menerima sebarang subsidi perumahan. Untuk melayakkan diri bagi geran tersebut, gaji mereka tidak harus melebihi $14,000 sebulan dan mereka juga tidak boleh memilik sebarang hartanah privet.

Golongan bujang yang pertama kali membeli rumah, juga akan menerima jumlah geran lebih tinggi, tetapi jumlahnya separuh daripada jumlah yang diberikan kepada keluarga-keluarga, menurut Kementerian Kewangan (MOF). Geran Perumahan CPF bagi golongan bujang yang layak akan naik sehingga S$40,000 bagi flat empat bilik dan lebih kecil, dan S$25,000 bagi flat lebih besar.

Bagi warga bujang yang membeli flat secara bersendirian, had gaji adalah S$7,000.

Geran dipertingkat itu berkuat kuasa mulai Selasa petang bagi permohonan flat jualan semula yang dihantarkan dari pukul 3.30 petang. Jumlah geran tambahan itu akan dimasukkan ke akaun CPF mereka mulai April.

"Dengan Geran Perumahan CPF Dipertingkat dan Geran Perumahan Berhampiran, keluarga yang layak boleh menerima geran sehingga S$190,000 apabila membeli flat jualan semula," kata Encik Wong.

Encik Wong turut mengumumkan, HDB akan memudahkan lagi proses undi bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk membantu golongan-golongan tertentu.

Walaupun HDB memperuntukkan sebahagian besar bekalan flat BTO bagi keluarga pemohon kali pertama, ia meliputi pelbagai jenis pemohon.

Misalnya, mereka yang sudah memiliki rumah sendiri tetapi tidak pernah menerima subsidi perumahan sebelum ini, juga dianggap sebagai pemohon pertama kali.

"Oleh itu, kami akan menumpukan kepada keluarga pemohon kali pertama yang mempunyai anak serta pasangan suami isteri berusia 40 tahun dan ke bawah, yang membeli rumah pertama mereka," katanya.

"Kami akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu keluarga seumpama itu mendapatkan flat BTO mereka dengan cara teratur, termasuk memberikan mereka satu lagi slot undi bagi permohonan flat BTO mereka."

Ini akan berkuat kuasa hujung tahun ini dan perinciannya akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS).

Langkah-langkah tersebut menyasarkan dua isu mendesak - tempoh menunggu flat BTO yang lama dan harga flat jualan semula yang tinggi - yang menurut beberapa pemerhati menghambat pasangan muda yang ingin membina sebuah keluarga.

Kelengahan dalam kerja-kerja binaan sewaktu pandemik COVID-19 menjejas beberapa projek BTO dan HDB kini sedang mempercepat kerja-kerja binaan untuk memenuhi permintaan perumahan yang kian melonjak.

Sementara itu, beberapa bakal pembeli rumah beralih ke pasaran jualan semula, sekali gus menaikkan harga ke paras tertinggi pada tahun lalu.

Pemerintah melaksanakan langkah-langkah meredakan pasaran hartanah sebanyak dua kali, iaitu pada Disember 2021 dan September 2022.

HDB juga menambah bekalan flat BTO sebanyak 35 peratus kepada 23,000 pada 2022 dan akan melancarkan 23,000 lagi flat BTO tahun ini.

"Pelancaran dan penyelesaian pembinaan lebih banyak projek BTO dalam beberapa tahun akan datang akan meredakan permintaan dan harga flat jualan semula," menurut MND.

"Kami sedang memantau situasi dengan teliti dan akan mengambil tindakan yang tegas tetapi berjaga-jaga sekiranya perlu untuk memastikan pasaran hartanah yang stabil."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan