Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023 memperkasa pekerja warga emas, bergaji rendah, kata para pemimpin masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Para pemimpin dan Anggota Parlimen Melayu/Islam percaya bahawa bantuan-bantuan dalam Belanjawan tahun ini akan memperkasa golongan-golongan yang disasarkan.

Selain mengatasi kenaikan kos sara hidup, tumpuan kepada pekerja dan warga emas juga dialu-alukan.

Langkah ini dianggap perlu sedang Singapura melangkah ke era baru selepas pandemik COVID-19 dan ekonomi negara beralih ke bidang-bidang pertumbuhan baru sedang persaingan di peringkat global bertambah sengit.

LATIHAN KEMAHIRAN

Seperti diumumkan dalam Belanjawan pada Selasa (14 Feb), para pekerja akan disokong menerusi latihan kemahiran.

Ini akan mempertingkatkan prospek kerjaya dan pendapatan mereka dalam jangka panjang.

Menerusi perantara baru yang dipanggil Penyepadu Pekerjaan dan Kemahiran, individu-individu yang sesuai untuk latihan akan dikenal pasti.

Ia akan bekerjasama dengan pihak perusahaan dan kemudahan latihan.

"Penyepadu Pekerjaan dan Kemahiran dari segi pasaran buruh adalah perantara untuk menolong pekerja-pekerja di dalam sektor-sektor dalam kejuruteraan jitu, runcit dan perdagangan borong dan kebanyakannya adalah pekerja-pekerja Melayu/Islam kita di dalam sektor sektor itu," kata Encik Saktiandi Supaat, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.

Beliau turut menyambut baik Skim Bantuan Peralihan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi Pekerja Platform.

Mulai lewat 2024, para pekerja platform yang berusia di bawah 30 tahun perlu membuat caruman CPF kepada Akaun Biasa dan Akaun Khas mereka.

Bagi membantu mengurangi kesan terhadap pekerja platform berpendapatan rendah yang menerima gaji bulanan S$2,500 ke bawah, pemerintah akan menyediakan bantuan peralihan dalam empat tahun pertama ia dilaksanakan.

Satu lagi yang dialu-alukan adalah langkah memastikan para pekerja mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.

"Kita menaikkan lagi kadar CPF. Bagi saya ini satu skim yang penting oleh kerana ia dapat menolong pekerja matang kita menyumbang kepada CPF supaya mereka dapat mengekalkan simpanan mereka untuk mereka bersara. Dan saya rasa agak penting kepada dari segi jangka panjang di mana kita mahu membolehkan pekerja kita mempunyai simpanan yang cukup," kata Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia.

Sedang pemerintah menyusun strategi jangka pendek dan panjang untuk menyokong rakyat, para pemimpin menyeru masyarakat untuk bersedia mendakap perubahan.

Ini sebagai persediaan untuk sebarang kejutan dan gangguan di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang terus berubah-ubah.

Dalam era pasca pandemik, semangat menyokong antara satu sama lain ditekankan.

"Ini adalah satu titik permulaan bagi dasar-dasar pemerintah yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan beliau juga mengatakan ini sesuatu yang harus diperhalusi setelah perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura diselesaikan," kata Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang.

Para pemimpin juga menyeru semangat 'gotong-royong' untuk mencapai tahap kehidupan yang baik, terutama dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

"Dalam perjalanan masyarakat, dalam apa sejarah pun, terus akan ada golongan masyarakat yang memerlukan bantuan dan mereka yang diperkasakan oleh sistem seperti di Singapura ini bertanggungjawab untuk kembali memberikan sokongan kepada mereka," kata Encik Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Ini kata beliau, menunjukkan ciri yang harus dihidupkan dalam sebuah masyarakat yang berjaya.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan