Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2023: Bonus Bayi dinaikkan S$3,000; diagih sehingga kanak-kanak cecah usia 6.5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2023 07:38PM Dikemas Kini : 14 Feb 2023 11:05PM
SINGAPURA: Hadiah Tunai Bonus Bayi akan dinaikkan sebanyak S$3,000 bagi bayi yang dilahirkan mulai Selasa (14 Feb).

Demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa membentangkan Belanjawan.

Jadual agihan itu juga akan disesuaikan untuk menyediakan sokongan kewangan secara berkala setiap enam bulan sehingga kanak-kanak itu mencapai usia 6.5 tahun, kata Encik Wong.

Buat masa ini, ibu bapa menerima Bonus Bayi sebanyak S$8,000 setiap seorang bagi anak pertama dan kedua mereka, dan S$10,000 bagi anak ketiga dan seterusnya. Bayaran itu diagihkan dalam lima ansuran sepanjang tempoh 18 bulan pertama selepas anak itu dilahirkan.

Dengan penyesuaian tersebut, ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan pada 14 Februari dan selepas itu akan menerima S$11,00 bagi setiap seorang anak pertama dan kedua mereka, dan S$13,000 bagi anak ketiga dan seterusnya.

Ibu bapa layak menerima Hadiah Tunai Bonus Bayi sekiranya mereka sah berkahwin dan anak mereka warga Singapura. Skim tersebut kali terakhir dipertingkat pada 2015.

Langkah itu akan meningkatkan sokongan kewangan dengan ketara bagi tahun-tahun awal kanak-kanak, kata Encik Wong, yang juga merupakan Menteri Kewangan.

"Bagi semua pasangan muda yang sudah berkahwin, sama ada anda sudah bersalin atau akan melahirkan anak atau merancang untuk mempunyai anak, kami merancang sesuatu untuk membantu anda dalam perjalanan keibubapaan anda," tambahnya.

Di bawah skim yang disesuaikan itu, ibu bapa yang melahirkan anak pertama atau kedua akan menerima S$7,000 dalam tempoh 18 bulan pertama selepas anak mereka dilahirkan, menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam satu kenyataan berasingan.

Ibu bapa yang melahirkan anak ketiga dan seterusnya akan menerima S$9,000 dalam 18 bulan pertana.

Baki jumlah itu akan diagihkan sebanyak S$400 setiap enam bulan sehingga anak itu mencecah usia 6.5 tahun, menurut NPTD.

Ini akan membolehkan ibu bapa menerima sokongan berterusan sehingga kanak-kanak itu memasuki sekolah rendah, kata Encik Wong.

Hadiah Tunai Bonus Bayi dipertingkat itu akan diagihkan mulai awal 2024.

Geran Bantuan Bayi sebanyak S$3,000, iaitu geran yang diberikan sekali sahaja dan diperkenalkan sewaktu pandemik COVID-19, juga akan diberikan kepada ibu bapa yang melahirkan bayi mulai 1 Oktober 2022 hingga 13 Februari 2023, kata Encik Wong.

Geran tersebut sebelum ini diberikan kepada ibu bapa yang anak-anaknya warga Singapura dan dilahirkan antara 1 Oktober 2020 dengan 30 September 2022 untuk mengalakkan pasangan agar meneruskan rancangan menjadi ibu bapa sewaktu pandemik.

Geran tersebut akan diagihkan pada separuh kedua 2023, menurut NPTD.

AKAUN PEMBANGUNAN KANAK-KANAK

Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) akan dinaikkan daripada S$3,000 kepada S$5,000, umum Encik Wong pada Selasa.

Dana dalam Akaun Pembangunan Kanak-Kanak itu boleh digunakan untuk membiayai pendidikan dan jagaan kesihatan kanak-kanak.

Had jumlah yang akan dipadankan bersama bagi kanak-kanak yang merupakan anak pertama atau kedua juga akan dinaikkan sebanyak S$1,000, masing-masing kepada S$4,000 dan S$7,000, kata Encik Wong.

Anak ketiga dan keempat akan terus menerima S$9,000 dalam dana yang dipadankan daripada Pemerintah, manakala anak kelima dan seterusnya akan menerima sehingga S$15,000.

Ibu bapa perlu memasukkan dana ke dalam CDA anak mereka untuk mendapatkan jumlah yang dipadankan. Perubahan tersebut akan diguna pakai bagi kanak-kanak yang dilahirkan mulai 14 Februari dan akan berkuat kuasa mulai awal tahun depan, menurut NPTD dalam kenyataan medianya.

Ibu bapa masih boleh menabung sehingga had sedia ada tahun ini dan jumlah berlebihan tidak akan dipadankan sehingga perubahan tersebut berkuat kuasa, tambahnya.

"Kami akan memaklumkan kepada ibu bapa apabila mereka boleh membuat tambahan deposit ke dalam CDA anak mereka untuk menikmati pemadanan bersama pemerintah yang dipertingkat," kata Encik Wong.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan bahawa cuti bapa akan dinaikkan seganda bagi bapa kepada anak yang dilahirkan mulai 1 Januari 2024.

Penyesuaian kepada Hadiah Tunai Bonus Bayi dan CDA, serta peruntukan cuti yang baru, bermakna Pemerintah akan berbelanja S$240 juta bagi setiap kohort kanak-kanak, kata Encik Wong.

KIDSTART & COMCARE

Pemerintah juga akan mengambil lebih banyak langkah untuk menyelaraskan fungsi-fungsi antara pelbagai program berbeza yang menyokong keluarga berpendapatan rendah, kata Timbalan Perdana Menteri itu pada Selasa.

ComLink, iaitu inisiatif yang membantu keluarga dengan anak-anak dan menetap di rumah sewa, dilancarkan di seluruh negara kepada 14,000 keluarga, ujar Encik Wong.

Skim bantuan sosial seperti ComCare yang membantu keluarga-keluarga membiayai perbelanjaan harian asas, adalah sumber sokongan yang penting bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah, tambah Encik Wong.

Dana Endowmen ComCare yang sebahagiannya membiayai ComCare, akan menerima tokokan S$300 juta bagi membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah di tengah-tengah inflasi yang tinggi, kata Encik Wong.

"Selain ketidaksamarataan, kami juga perlu mengekalkan mobiliti sosial merentas generasi. Khususnya, kami akur bahawa tahun-tahun pertama seorang kanak-kanak sangat penting dalam menghidupkan potensinya dalam kehidupan," tambah Encik Wong.

Program KidStart, yang menyediakan sokongan bagi ibu hamil dan kanak-kanak kecil dalam keluarga berpendapatan rendah, juga akan dipertingkatkan di seluruh negara, umum Encik Wong.

Program itu dijangka menyokong 80 peratus daripada kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah yang layak, bermula dari kanak-kanak yang dilahirkan pada 2023, tambahnya.

Encik Wong menarik perhatian, hasil awal program tersebut menggalakkan.

"Terdapat beberapa petanda awal bahawa kanak-kanak KidSTART lebih banyak menghadiri prasekolah berbanding rakan-rakan mereka yang mempunyai latar belakang sosioekonomi yang serupa," kata Encik Wong lagi.

"Para ibu bapa dan penjaga di bawah program tersebut turut berkata mereka menerima lebih banyak sokongan dalam perjalanan keibubapaan mereka."

Pemerintah turut membuat pelaburan ketara dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak, kata Encik Wong, dengan perbelanjaan meningkat lima kali ganda daripada 2013 hingga 2022.

"Pelaburan itu memberi kesan," kata Encik Wong, sambil menambah bahawa kadar pendaftaran prasekolah bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun yang menetap di flat sewa kini serupa dengan purata nasional.

Bagi kanak-kanak berusia antara tiga hingga empat tahun yang tinggal di flat rumah sewa, kadar pendaftaran adalah 80 peratus, lebih rendah berbanding purata nasional sekitar 88 peratus, katanya.

"Kami akan terus menyediakan bantuan tambahan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan mendampingi mereka untuk mendaftarkan anak mereka di prasekolah," tambah Encik Wong.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan