Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2023: Bayaran bulanan minimum CPF di bawah Skim Jumlah Persaraan dinaikkan kepada S$350

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2023: Bayaran bulanan minimum CPF di bawah Skim Jumlah Persaraan dinaikkan kepada S$350

(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2023 07:06PM Dikemas Kini : 15 Feb 2023 09:27PM
SINGAPURA: Bayaran bulanan minimum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi warga emas di bawah Skim Jumlah Persaraan akan dinaikkan kepada S$350, daripada S$250 sekarang.

Ia berkuat kuasa mulai 1 Jun, sebagai sebahagian usaha Pemerintah untuk memastikan warga emas mempunyai cukup wang bersara.

"Kami sedang mempertimbangkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk memastikan mereka cukup wang persaraan dalam perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura," kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong ketika menyampaikan kenyataaan Belanjawan pada Selasa (14 Feb).

Di bawah Skim Jumlah Persaraan (RSS), warga emas akan menerima bayaran bulanan sehingga simpanan persaraan mereka habis. Ia adalah salah satu daripada dua skim persaraan di bawah Lembaga CPF.

RSS adalah bagi mereka yang tidak menyertai skim CPF Life, yang secara automatik mendaftarkan mereka yang mencecah umur 65 tahun dari tahun 2023 dan mempunyai sekurang-kurangnya S$60,000 dalam Akaun Persaraan CPF mereka apabila mereka memilih untuk menerima bayaran mereka dan menyediakan bayaran bulanan sepanjang hayat setelah bersara.

Warga emas di bawah RSS boleh membuat pilihan untuk menyertai CPF Life pada bila-bila masa sebelum berusia 80 tahun untuk menerima bayaran sepanjang hayat.

KADAR CARUMAN CPF BAGI PEKERJA LANJUT USIA DITAMBAH

Pada 1 Januari 2024, Pemerintah akan menambah kadar caruman CPF bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia lebih daripada 55 tahun hingga 70 tahun sebanyak 1 hingga 1.5 mata peratusan.

Kadar caruman CPF secara keseluruhan akan dinaikkan sebanyak 1.5 peratusan mata kepada 31 peratus bagi mereka yang berusia lebih 55 tahun hingga 60 tahun; dan 22 peratus bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun hingga 65 tahun.

Dalam pada itu, kadar caruman CPF secara keseluruhan bagi pekerja berusia lebih 65 tahun hingga 70 tahun akan ditambah sebanyak 1 peratusan mata kepada 16.5 peratus.

Diumumkan buat kali pertama pada 2019, kenaikan itu dilaksanakan secara beransur-ansur sehingga sekitar 2030. Dua kenaikan pertama berkuat kuasa pada Januari 2022 dan Januari 2023.

Serupa dengan kenaikan sebelum ini, kenaikan seterusnya akan diperuntukkan sepenuhnya ke Akaun Khas CPF bagi membantu pekerja lebih tua untuk menabung bagi persaraan mereka, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Untuk menangani kos perniagaan yang meningkat disebabkan kenaikan kadar caruman, MOF menyatakan, Pemerintah akan menyediakan majikan dengan imbangan sekali sahaja selama setahun, iaitu sama dengan separuh jumlah kenaikan kadar caruman majikan bagi 2024 buat setiap warga Singapura dan PR yang digajikan dan berusia lebih 55 tahun hingga 70 tahun.

LANGKAH TANGANI PENDUDUK MENUA

Beberapa perubahan diumumkan pada Selasa merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang diperkenalkan pada Belanjawan tahun ini bagi menangani keperluaan penduduk Singapura yang semakin menua.

Buat masa ini, seorang daripada setiap enam warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas, sekali gus menjadikan Singapura salah satu negara yang paling cepat menua di dunia. Menjelang 2030, seorang daripada setiap empat warga Singapura akan berusia 65 tahun dan ke atas.

Encik Wong berkata dengan saiz isi rumah yang lebih kecil, bermakna beban penjagaan yang meningkat bagi keluarga.

Untuk menangani isu tersebut, Encik Wong berkata, lebih banyak sumber akan diperuntukkan bagi menyokong warga emas, khususnya mereka yang bergaji rendah,bagi keperluan penjagaan jangka panjang dan kesihatan mereka.

Beliau mengumumkan tokokan S$500 juta bagi Dana Penjagaan Warga Emas untuk menyokong subsidi ujian kemampuan bagi golongan warga emas yang memerlukan penjagaan di rumah, di pusat atau di institusi.

Dana MediFund juga akan menerima tokokan S$1.5 bilion untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan unutk membayar bil perubatan mereka, walaupun selepas diberi subsidi MediShield Hayat dan Medisave.

Untuk memenuhi keperluaan persaraan warga Singapura, Encik Wong menarik perhatian kepada langkah-langkah seperti menyediakan kadar faedah lebih tinggi bagi baki CPF yang lebih rendah dan menambah pendapatan persaraan bagi warga emas yang menerima gaji lebih rendah semasa bekerja dahulu.

Menteri Kewangan itu menggalakkan anggota keluarga agar menokok CPF orang tersayang mereka menerusi pelepasan cukai dan geran pemadanan jika mampu untuk berbuat sedemikian.

Pemerintah juga sedang mengkaji bagaimana ia boleh mempertingkatkan kepelbagaian pilihan penjagaan dan sokongan dalam masyarakat, sebagai sebahagian proses Melakar Hala Tuju Singapura.

Ia termasuk menyemak semula model operasi Pusat Penuaan Aktif dan mengkaji cara untuk memperkukuhkan dan menyelaraskan para penyedia dalam sektor jagaan warga lanjut usia.

Bulan lalu, Singapura melancarkan pelan induk nasional yang dikemas kini bagi membantu warga emas menua dengan baik, termasuk inisiatif seperti mewujudkan lebih banyak pusat penuaan aktif dan sokongan lebih baik bagi pesakit demensia dan penjaga mereka.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita