Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2022: Sejauh mana manfaatnya bagi keluarga besar?

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2022: Sejauh mana manfaatnya bagi keluarga besar?

(Gambar: Suriyani Muhamad Buang)

Diterbitkan : 19 Feb 2022 12:55PM Dikemas Kini : 19 Feb 2022 03:03PM

SINGAPURA: Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, suri rumah Suriyani Muhamad Buang yang berusia 53 tahun terpaksa membuat penyesuaian untuk mengurangkan perbelanjaan keluarga. Ini sedang inflasi menaikkan harga pelbagai barangan, daripada makanan sehingga tenaga elektrik. 

Satu kilogram udang, yang sebelum ini berharga kira-kira S$8.00 sudah naik seganda, katanya. Manakala ssebungkus anggur naik daripada kira-kira S$3.00 kepada S$5.00 di pasar raya. 

Memandangkan harga-harga barangan dijangka terus naik dalam beberapa bulan mendatang menjelang kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan, ibu enam orang anak berusia antara 16 dengan 30 tahun itu sudah mula mengurangkan perbelanjaannya. 

"Saya sekarang cari alternatif-alternatif yang lebih murah. Saya beli barangan seperti barang mandi dan bahan pencuci di kedai-kedai kejiranan dan bukan di pasar raya," kata Cik Suriyani. 

Walaupun sudah mengambil langkah-langkah tersebut, kira-kira setengah daripada gaji suaminya yang bekerja sebagai seorang pemandu lori digunakan bagi perbelanjaan bulanan, yang boleh mencecah sehingga sekitar S$1,000 setiap bulan. Bil api air, yuran penyenggaraan dan bayaran-bayaran lain berhubung kait rumah empat bilik mereka kekal stabil, kira-kira S$800 sebulan. 

Walaupun Cik Suriyani menampung kos sara hidup dengan bantuan empat anak-anaknya yang sudah bekerja dan menyumbang "sedikit" setiap bulan, beliau berkata keluarganya hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan beliau selalunya terpaksa berjimat cermat.

"Memang sukar kebelakangan ini. Kebanyakan harga sudah naik, makanan, tambang bas dan juga COE (Harga Sijil Hak Milik Kenderaan) untuk motosikal," katanya, sambil menambah bahawa kenaikan COE itu menjejas suaminya, Encik Abu Bakar Abdul Rahim yang berusia 57 tahun dan memiliki sebuah motosikal. 

Menteri Kewangan Lawrence Wong yang sedia maklum tentang keprihatinan kos sara hidup mengumumkan sokongan segara bagi keluarga-keluarga dalam kenyataan Belajawan 2022 semalam (18 Feb). Ini termasuk agihan baucar S$100 Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bagi setiap isi rumah. Baucar tersebut boleh digunakan di kedai-kedai dan penjaja di kawasan kejiranan. 

Pengumuman itu dialu-alukan Cik Suriyani, yang berkata bahawa kedai-kedai kejiranan yang kerap beliau kunjungi sudah mula menerima baucar CDC itu. 

"Kedai di kolong blok saya pun menerima baucar itu, jadi ia sangat mudah," katanya. 

Encik Wong juga mengumumkan bahawa GST akan dinaikkan daripada tujuh peratus kepada lapan peratus pada 1 Januari tahun depan, dan kepada sembilan peratus pada 1 Januari 2024. 

Untuk membantu rakyat Singapura dengan kesan kenaikan itu, Encik Wong berkata kesemua rakyat Singapura yang berusia 21 tahun ke atas akan menerima bayaran wang tunai sehingga S$1,600, yang akan diagihkan sepanjang tempoh lima tahun akan datang. 

Agihan wang tunai itu adalah sebahagian daripada tokokan S$640 juta kepada Pakej Jaminan GST, yang kini bernilai S$6.6 bilion. Ia pertama kali diumumkan pada 2020 untuk mengurangkan kesan kenaikan GST. 

"Bagi kebanyakan keluarga rakyat Singapura, keseimbangan daripada Pakej Jaminan GST ini akan menampung tambahan perbelanjaan GST bagi sekurang-kurangnya lima tahun," kata menteri tersebut. 

"Bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah, mereka akan menerima lebih banyak bantuan, yang mengimbangi perbelanjaan tambahan GST kira-kira 10 tahun." 

Cik Suriyani berkata bahawa agihan-agihan tunai sedemikian "seperti bonus tahunan" baginya sebagai seorang suri rumah dan mungkin tidak akan menyerap kos GST yang semakin naik dalam lima tahun akan datang. 

"GST banyak dikenakan dalam perbelanjaan harian kami. Sedikit dari sini, sedikit dari sana. Oleh itu, apabila Pemerintah memberikan kita bayaran sekali sahaja, saya tidak pasti sama ada kebanyakan rakyat Singapura akan mengetepikan jumlah itu khusus untuk membayar GST." 

Encik Wong juga melancarkan skim baru untuk menyokong perniagaan-perniagaan yang ingin menaikkan gaji para pekerja bergaji rendah di Singapura, seperti suami Cik Suriyani. 

Di bawah Skim Kredit Gaji Progresif, Pemerintah akan membiayai bersama 50 peratus kenaikan gaji yang dinaikkan pada tahun ini dan juga pada tahun depan, 30 peratus kenaikan gaji pada 2024 dan 2025 serta 15 peratus pada 2026.

Cik Suriyani berkata meskipun ini merupakan insentif yang baik bagi syarikat-syarikat di sini, ada peluang syarikat di mana suaminya bekerja itu tidak memanfaatkan inisiatif tersebut. 

"Ia bukan sesuatu yang pasti, jadi saya tidak tahu bagaimana ia akan menjejas keluarga saya. Namun, jika syarikat suami saya mengambil keputusan untuk menaikkan gajinya menerusi skim ini, itu sesuatu yang baik, terutama sekali kerana kenaikan gajinya sejak tiga dekad (beliau bekerja) agak kecil," katanya lagi. 

Meskipun terdapat inisiatif-inisiatif tersebut, Cik Suriyani berkata beliau sedang bersiap sedia bagi lebih banyak kenaikan dalam kos sara hidup dan merancang untuk mengira semula perbelanjaan keluarganya sebelum membuat penyesuaian sewajarnya.

"Saya bertuah kerana anak-anak saya sudah bekerja dan boleh membantu sedikit (keadaan kewangan keluarga). Jika mereka semua masih di bangku sekolah, ia tentu suatu cabaran bagi kami." 

BAGAIMANA BELANJAWAN BANTU KELUARGA-KELUARGA DI SINI

Bagi keluarga-keluarga seperti Cik Suriyani, mereka akan menerima beberapa bayaran wang tunai, baucar dan rebat GST, sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan GST yang diumumkan Encik Wong semalam (18 Feb). 

Kementerian Kewangan (MOF) juga sudah memberikan gambaran bagaimana langkah-langkah Belanjawan boleh dimanfaatkan keluarga-keluarga, seperti keluarga tiga generasi dengan dua kanak-kanak bersekolah dan seorang pesara yang tinggal di sebuah flat lima bilik. 

MOF juga menyatakan keluarga tersebut boleh menerima S$6,740 sepanjang lima tahun, sekali gus mengimbangi kenaikan GST bagi kira-kira tujuh tahun. 

Jumlah itu merangkumi:

Agihan wang tunai: S$3,700
Baucar GST tambahan U-Save: S$390
Baucar GST tunai (Bonus Warga Tua): S$900
Tokokan Medisave: S$1,350
Baucar CDC: S$400

Anggaran kenaikan GST yang perlu dibayar oleh keluarga tersebut setahun adalah S$907, menurut MOF. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan