Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2022 'lebih progresif', tumpukan syarikat & pekerja bergaji rendah - Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad menyifatkan Belanjawan kali ini sebagai "lebih progresif" dengan isu kenaikan GST menjadi pengumuman utama dalam pembentangan kali ini.

"Dalam bulan-bulan yang lalu, ramai yang memberi pandangan dan meluahkan cabaran mereka. Pada masa yang sama Pemerintah juga membentangkan apakah kesan (GST) terhadap sistem kita," ulas Encik Zaqy dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp.

Belanjawan yang dibentangkan, tambah beliau, akhirnya mengambil kira semua pertimbangan-pertimbangan itu.

"Pemerintah mempunyai pendekatan yang lebih progresif melalui Belanjawan ini. Kita memberi bantuan yang disasarkan kepada individu-individu dan syarikat-syarikat yang lebih memerlukan dan pada masa yang sama, kita ingin membantu rakyat Singapura menghadapi kos kehidupan yang lebih meningkat," kata Encik Zaqy merujuk kepada bantuan-bantuan yang bertujuan mengukuhkan lagi kontrak sosial Singapura.

MEMBANTU SYARIKAT & PEKERJA TEMPATAN

Encik Zaqy turut menarik perhatian kepada usaha pemerintah memastikan rakyatnya mendapat pekerjaan. Sebagai contoh adalah menerusi penyesuaian terhadap dasar-dasar pengambilan pekerja hijrahan.

Antara lain, gaji kelayakan minimum bagi pemohon pas pekerja (EP) akan dinaikkan dari S$4,500 kepada S$5,000 bermula September tahun ini. Bagi pemegang Pas S pula, gaji kelayakan minimum untuk pemohon baru akan dinaikkan dari S$2,500 kepada S$3,000.

"Di sini kita mahu menggalak syarikat-syarikat kita supaya membangunkan rakyat teras Singapura ataupun pekerjaan tempatan kita," ujar Encik Zaqy.

Sungguhpun demikian, Encik Zaqy menggesa syarikat-syarikat supaya turut mengorak langkah untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mentelah lagi, beberapa bantuan kini dilanjutkan bagi sektor-sektor yang masih bergelut dengan perubahan ekonomi sejagat. Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) pula boleh menerima $1,000 bagi setiap pekerja yang digajikan, menerusi Geran Pemulihan Perniagaan Kecil.

"Syarikat harus meningkatkan produktiviti dan mereka bentuk pekerjaan supaya pekerja dapat meraih peluang-peluang yang ada, untuk kita menjalani digitalisasi ataupun meraih produktiviti yang lebih tinggi," tekan Encik Zaqy yang akur SME mempunyai peranan yang penting dalam ekosistem ekonomi tempatan.

MENYOKONG PEKERJA BERGAJI RENDAH

Sama penting dalam Belanjawan kali ini adalah usaha Pemerintah menyokong para pekerja bergaji rendah, tambah Encik Zaqy.

Had pendapatan bagi Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) misalnya, dinaikkan dari S$2,300 kepada S$2,500 sebulan. Ini bermakna, lebih ramai akan mendapat pendapatan 'tambahan' asalkan mereka bekerja.

Skim itu sekarang bahkan ditawarkan kepada para pekerja berusia antara 30 hingga 34 tahun, yang boleh menerima bayaran tunai sehingga S$2,100 setahun.

"Kita akan juga memberi bantuan yang paling tinggi bagi mereka yang kurang upaya. Ini memberi isyarat di mana kita lebih inklusif dalam bantuan pekerjaan kita. Ini saya rasa amat penting di mana kita mahu para pekerja tahu, walaupun bergaji rendah, kita mahu menggalakkan mereka bekerja," kata Encik Zaqy lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan