Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2022 kukuhkan pendapatan, bantu tajamkan kemahiran & buka luas peluang kerja rakyat

Penekanan terhadap keadilan dari segi sistem cukai dan rancangan untuk mengukuhkan lagi pendapatan dan peluang pekerjaan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2022, disifatkan oleh pakar ekonomi Profesor Madya Tan Khee Giap sebagai satu langkah yang tepat.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penekanan terhadap keadilan dari segi sistem cukai dan rancangan untuk mengukuhkan lagi pendapatan dan peluang pekerjaan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2022, disifatkan oleh pakar ekonomi Profesor Madya Tan Khee Giap sebagai satu langkah yang tepat.

Ini antara lain merujuk kepada kenaikan kadar cukai pendapatan peribadi bagi mereka yang bergaji besar dan cukai hartanah yang tidak didiami pemilik serta kereta mewah.

Menyentuh tentang pekerjaan pula, Profesor Madya Tan menarik perhatian, kenaikan gaji minimum bagi pemohon baru Pas Pekerjaan dan Pas S boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menjamin pekerjaan kolar putih bagi warga Singapura yang berkelayakan dan berkemahiran.

"Ini adalah untuk menjamin bahawa rakyat yang berkemahiran dapat menguasai pekerjaan-pekerjaan yang dikatakan pekerjaan kolar putih. Ini adalah satu langkah untuk melindungi kelas pertengahan," jelas pakar ekonomi dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

KOMITMEN PEMERINTAH PACU S'PURA KE TAHAP LEBIH TINGGI

Beliau turut menyifatkan Belanjawan tahun ini sebagai komitmen pemerintah untuk membawa seluruh negara maju ke hadapan tanpa mengecualikan mahupun membiarkan sesiapa pun ketinggalan.

Antara usaha tersebut adalah dengan memastikan sokongan yang lebih padu bagi pekerja bergaji rendah melalui Skim Kredit Gaji Progresif yang baru dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja yang dipertingkatkan.

PERALIHAN STRUKTUR EKONOMI PERLUKAN PEKERJA TERUS TAJAMKAN KEMAHIRAN

Di samping itu juga, para pekerja digesa supaya terus menajamkan kemahiran sesuai dengan peralihan struktur ekonomi dan mampu bangkit lebih kukuh pasca pandemik.

"Yang paling khuatir sekali untuk rakyat adalah selepas COVID-19 ini adakah mereka akan hilang pekerjaan sebab kita sedang menghadapi perubahan struktur ekonomi dengan hebat sekali. Kalau kemahiran mereka tidak menjadi lebih mahir, mereka terus akan kehilangan pekerjaan," kata Profesor Madya Tan.

Menurut beliau, belanjawan yang ditampilkan tahun ini merupakan satu langkah yang tepat sekali, lebih-lebih lagi Belanjawan kali ini akan terus menajamkan kemahiran khususnya bagi pekerja kolar putih.

Profesor Madya Tan berpendapat: "Pada zaman ekonomi digital yang sedang berubah dengan hebat sekali, kemahiran untuk menguasai ekonomi digital akan membawa faedah kepada rakyat,"

"Jadi mestilah kita bertungkus lumus macam mana kita boleh menguatkan lagi penguasaan kemahiran dari segi 'Internet of Things' dan juga macam mana kita boleh menggunakan teknologi yang berkaitan dengan digital," tambah beliau.

Bagi memastikan Singapura kekal berdaya saing dari sudut teknologi dan inovasi, pemerintah juga memperuntukkan sebanyak S$200 juta untuk membina keupayaan digital dalam perniagaan dan pekerja.

LANGKAH SAINTIFIK KURANGKAN KESAN KENAIKAN GST

Berhubung kenaikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, Profesor Madya Tan melihat bantuan dalam bentuk baucar GST dan rebat misalnya, akan dapat mengurangkan kesan kenaikan itu.

Beliau menjelaskan: "Bagi rakyat yang misalnya tinggal di flat dua bilik, akan dapat sekurang-kurangnya baucar GST untuk mengurangkan kos sara hidup sekurang-kurangnya 10 tahun."

"Ini adalah langkah saintifik untuk menentukan macam mana mereka akan tidak sengsara atau tidak menghadapi kos sara hidup yang lebih tinggi disebabkan GST dinaikkan kepada 9% dalam dua peringkat," tambah beliau.

Fasa pertama kenaikan GST dari 7 peratus kepada 8 peratus akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023 dan kenaikan kedua pula dari 8 peratus kepada 9 peratus akan dilaksanakan pada 1 Januari 2024.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan