Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2022 dijangka catat defisit S$3 bilion; S$6 bilion dikeluarkan dari rizab lalu

Belanjawan Singapura akan terus berkembang untuk tahun kewangan 2022, dengan defisit dijangkakan sebanyak S$3 bilion atau 0.5 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2022 08:57PM Dikemas Kini : 19 Feb 2022 08:46PM

SINGAPURA: Belanjawan Singapura akan terus berkembang untuk tahun kewangan 2022, dengan defisit dijangkakan sebanyak S$3 bilion atau 0.5 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura.

Ini penting untuk terus menyokong ekonomi, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (18 Feb) ketika menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022.

Dalam ucapan Belanjawan beliau yang pertama, Encik Wong menggariskan beberapa bantuan jangka pendek bagi mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19 serta langkah-langkah jangka panjang untuk terus melabur dalam ekonomi dan pekerja selain memperkukuhkan kontrak sosial.

Pendapatan bagi 2022 diunjurkan sebanyak S$81.8 bilion iaitu S$1.1 bilion atau 1.7 peratus lebih tinggi berbanding ramalan yang disemak semula pada tahun lalu.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kutipan tinggi sedikit yang dijangkakan daripada cukai pendapatan korporat, Premium Kuota Kenderaan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta cukai-cukai lain.

Pada masa yang sama, perbelanjaan Pemerintah juga dijangka akan meningkat kepada S$102.4 bilion - S$4 bilion atau 4.1 peratus lebih tinggi berbanding perangkaan 2021 yang disemak semula.

Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC), yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan pemerintah, dijangka akan meraih sekitar S$21.6 bilion pada 2022. Ini akan mencatatkan kenaikan enam peratus berbanding 2021.

Sementara itu bagi Tahun Kewangan (FY) 2021, Belanjawan bersifat pengembangan ini dijangka akan mencatatkan defisit terkumpul sebanyak S$5 bilion atau 0.9 peratus daripada GDP.

KELUARKAN S$6 BILION DARIPADA RIZAB NEGARA

Pemerintah juga akan mengeluarkan rizab buat tahun ketiga berturut-turut sedang ia merancang untuk memperuntukkan S$6 bilion bagi "mengekalkan benteng kesihatan awam pelbagai peringkat".

Ini, menurut Encik Wong, penting untuk negara "bertindak dengan pantas dan tegas terhadap keadaan COVID-19 yang kian berubah-ubah".

“Dengan sifat luar biasa pandemik ini, kita akan memperuntukkan perbelanjaan kesihatan awam COVID-19 ini untuk FY2022 daripada rizab-rizab yang lalu," kata menteri itu.

Pada dasarnya, Presiden Halimah Yacob sudahpun memberikan sokongannya untuk berbuat demikian, Encik Wong memberitahu Dewan.

Singapura pertama kali menggunakan rizabnya pada FY2020 dengan Pemerintah menyatakan ia akan mengeluarkan sehingga S$52 bilion untuk melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi kehidupan dan mata pencarian daripada kesan pandemik COVID-19.

Pemerintah kini menjangkakan akan menggunakan jumlah lebih rendah iaitu S$31.9 bilion untuk tahun kewangan tersebut, kata Encik Wong.

Sebagaimana pada FY2021, Pemerintah telahpun merancang untuk mengeluarkan sehingga S$11 bilion daripada rizab lalu untuk Pakej Daya Tahan COVID-19. Ia kini menjangkakan untuk mengeluarkan jumlah lebih rendah sebanyak S$5 bilion, kata Encik Wong.

Jumlah lebih rendah itu, tambah beliau, terutamanya disebabkan oleh pengurangan perbelanjaan sebanyak S$10 bilion untuk pakej bantuan tersebut, kurang penggunaan perbelanjaan kementerian-kementerian dek kelengahan projek akibat pandemik serta peningkatan pendapatan sekali sahaja daripada premium kuota kenderaan dan cukai setem.

Selain itu, Pemerintah juga memanfaatkan sumber-sumber sedia ada untuk menghulurkan bantuan jangka pendek apabila sekatan-sekatan perlu diperketatkan dari semasa ke semasa pada tahun lalu.

Sebagai contoh, langkah-langkah bantuan ekonomi bernilai S$2 bilion yang diperkenalkan semasa tempoh kewaspadaan dipertingkat tahun lalu yang diperolehi melalui pengagihan semula dana.

Sementara itu, langkah-langkah sokongan bernilai S$1.4 bilion yang diperkenalkan semasa "Fasa Penstabilan" pula disumbangkan melalui pendahulan daripada dana luar jangka.

Oleh demikian, Encik Wong berkata beliau kini akan menggantikan pendahuluan tersebut melalui Belanjawan Tambahan bagi FY2021.

Secara keseluruhannya, jumlah yang dijangka akan dikeluarkan daripada rizab negara dari FY2020 hingga FY2022 kini adalah S$42.9 bilion.

"Pengeluaran terkumpul ini lebih rendah berbanding pengeluaran awal sebanyak S$52 bilion yang telahpun dipersetujui oleh Presiden pada awalnya untuk FY2020. Ia mencerminkan sikap berhemat kami dalam menggunakan rizab lalu," terang menteri itu.

Encik Wong menarik perhatian keperluan perbelanjaan Singapura akan terus berkembang menjangkaui krisis sedang negara menangani peralihan struktur dan melabur lebih banyak lagi untuk memenuhi keutamaan jangka panjang.

“Untuk memenuhi keperluan perbelanjaan baru, selain meningkatkan pendapatan, kami akan terus menguruskan pertumbuhan perbelanjaan kami," ujarnya.

Oleh itu, Encik Wong mengumumkan pemotongan 1 peratus lagi kepada Kementerian dan Badan-Badan Negara untuk FY2023, di samping pemotongan dua peratus yang dilaksanakan sejak FY2017.

Pemotongan itu memastikan Pemerintah berbelanja "secara berhemat dan mencapai pulangan yang berbaloi", tambah beliau sambil menambah bahawa dana daripada penyesuaian ini akan disalurkan kepada keutamaan-keutamaan baru.
 

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa