Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2022 akan beri 'keyakinan' kepada rakyat S'pura, sedang kita mencarta hala tuju negara

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2022 akan beri 'keyakinan' kepada rakyat S'pura, sedang kita mencarta hala tuju negara

(Gambar: Lawrence Wong/Facebook)

Diterbitkan : 17 Feb 2022 11:16PM Dikemas Kini : 18 Feb 2022 07:51AM

SINGAPURA: Sedang Singapura terus menempuhi cabaran-cabaran COVID-19 yang kian berubah-ubah, ia juga mesti bersiap sedia menghadapi masa hadapan pasca pandemik. 

Demikian menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (17 Feb), sehari sebelum beliau menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022. 

Belanjawan tahun ini dengan tajuk "Charting Our New Way Forward Together" bermatlamat untuk memberikan "keyakinan kepada seluruh rakyat Singapura untuk mendakapi perjalanan kita seterusnya," menurut Encik Wong dalam catatannya di Facebook. 

Encik Wong akan menyampaikan kenyataan Belanjawan pertamanya di Parlimen esok (18 Feb) pada pukul 3.30 petang.

"Semasa saya membuat penyesuaian terakhir pada kenyataan Belanjawan 2022, saya teringat bagaimana COVID-19 mengubah dan menjejas kehidupan kita, cara kita bekerja, pekerjaan, kontrak sosial kita dan yang paling penting sekali, kesihatan kita," kata Encik Wong. 

"Belanjawan kali ini adalah untuk rakyat kita, keluarga kita dan generasi masa hadapan kita," katanya lagi sambil menambah bahawa ia akan menggariskan bagaimana Singapura boleh berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi cabaran-cabaran dan merebut peluang-peluang pada masa akan datang, di samping mengukuhkan lagi kontrak sosial kita. 

"Sebagai rakyat yang bersatu padu, kita akan mencarta hala tuju kita," kata Encik Wong. 

Encik Wong sebelum ini mengatakan bahawa Belanjawan 2022 akan membantu rakyat Singapura menangani keprihatinan berhubung "isu-isu yang lebih mendesak" seperti kos sara hidup dan sokongan bagi sektor-sektor yang mengalami kesulitan. 

Pembentangan Belanjawan 2022 akan disiarkan secara langsung melalui Saluran 5, CNA, CNA938, Capital 958, laman web CNA, YouTube CNA, Facebook CNA, 8 World News, YouTube 8 World News, Facebook 8 World News, meWATCH dan juga laman Facebook BERITAmediacorp.

Kemas kini pengumuman-pengumuman utama daripada Belanjawan 2022 juga akan dimuat naik ke laman Facebook, Instagram dan Twitter Kementerian Kewangan (MOF).

Orang ramai boleh melungsuri laman web Belanjawan Singapura dan mendapatkan kenyataan lengkap Belanjawan 2022 menerusi emel setelah ia dibentangkan kelak. Permohonan bagi khidmat ini hanya dibuka sehingga pukul 2.00 petang esok (18 Feb). 

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan