Belanjawan 2022 akan bantu rakyat tangani kos sara hidup, sokong sektor perlu bantuan, kata Lawrence Wong
Belanjawan tahun ini akan membantu rakyat Singapura menangani "isu-isu lebih mendesak" seperti kos sara hidup dan menghulurkan sokongan kepada sektor-sektor yang menghadapi kesukaran, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (3 Feb).
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Belanjawan tahun ini akan membantu rakyat Singapura menangani "isu-isu lebih mendesak" seperti kos sara hidup dan menghulurkan sokongan kepada sektor-sektor yang menghadapi kesukaran, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (3 Feb).
Encik Wong akan menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022 di Parlimen pada 18 Februari.
"Kami berbesar hati kerana Belanjawan Negara akan disampaikan sedang ekonomi Singapura menjalani pemulihan yang stabil dan kukuh," kata Encik Wong.
"Di tengah-tengah latar belakang ini, kami sedia maklum bahawa sesetengah sektor masih menghadapi kesukaran. Bagi sektor-sektor ini, kami akan memberikan sokongan. Kami juga akan membantu rakyat Singapura menangani keprihatinan mereka berhubung isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup."
Pemerintah juga perlu "berpandangan jauh" dan menumpukan perhatian kepada langkah-langkah yang akan meletakkan Singapura di "kedudukan yang lebih baik" selepas pandemik COVID-19, kata Encik Wong.
"Kita akan membina keupayaan baru demi masa depan kita. Kita akan terus berkembang dan mengubah ekonomi kita dan mencipta peluang serta mewujudkan pekerjaan yang baik untuk semua rakyat Singapura," katanya.
"Kita akan mengukuhkan sistem sokongan sosial untuk memberikan rakyat Singapura jaminan yang lebih besar untuk menghadapi ketidaktentuan hidup.
"Kami merancang untuk membentuk tempat tinggal yang lebih adil, inklusif dan mesra alam untuk kita semua dan generasi akan datang agar kita semua terus berbangga dengan Singapura sebagai tanah air kita."
Encik Wong berkata demikian semasa berucap di Jamuan Musim Bunga, sebuah acara tahunan yang diadakan secara maya pada tahun ini oleh Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) dan Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA).
Singapura kini "berada di kedudukan yang lebih baik hari ini" berbanding semasa pandemik COVID-19 mula melanda dua tahun lalu.
Encik Wong turut menyingkap kembali bagaimana ekonomi Singapura menguncup lebih 5 peratus disebabkan oleh penguatkuasaan "pemutus rantaian jangkitan" pada 2020 yang menyumbang kepada kemelesetan ekonomi yang paling buruk sejak Singapura merdeka.
Beliau juga menarik perhatian kepada sekatan-sekatan yang diperketatkan apabila varian Delta mula dikesan di Singapura pada 2021 dan gelombang Omicron yang berleluasa sekarang.
"Jumlah kes harian lebih tinggi berbanding sebelum ini. Mujur, sebahagian besar penduduk yang lengkap divaksin hanya mengalami gejala ringan.
"Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mengharungi gelombang Omicron ini tanpa perlu mengetatkan lagi langkah-langkah sedia ada," katanya.
"Dengan setiap gelombang jangkitan, kita mengukuhkan benteng pertahanan kita dan menjadi lebih berdaya bingkas.
"Saya yakin sempena Tahun Harimau ini, kita akan dapat mencapai lebih banyak kemajuan dalam perjalanan kita ke arah meneruskan kehidupan bersama COVID-19."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.