Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2020: Penjual, pembeli kurang yakin insentif beli kereta elektrik

Para penjual dan pembeli kereta tidak yakin sepenuhnya dengan langkah-langkah baru yang diumumkan Pemerintah pada Selasa (18 Feb) yang bertujuan menjadikan kenderaan elektrik lebih menarik kepada pembeli.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020: Penjual, pembeli kurang yakin insentif beli kereta elektrik

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 20 Feb 2020 11:03PM Dikemas Kini : 20 Feb 2020 11:10PM

SINGAPURA: Para penjual dan pembeli kereta tidak yakin sepenuhnya dengan langkah-langkah baru yang diumumkan Pemerintah pada Selasa (18 Feb) yang bertujuan menjadikan kenderaan elektrik lebih menarik kepada pembeli.

Kebanyakan penjual dan pembeli yang ditemui Mediacorp berkata rebat yang diumumkan dalam Belanjawan tidak cukup untuk memujuk orang ramai supaya beralih kepada kereta elektrik.

Sebilangan juga kurang pasti jika terdapat prasarana mengecas yang mencukupi untuk kenderaan sedemikian, meskipun Pemerintah mengumumkan rancangan menambah bilangan stesen pengecas.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan negara, mengumumkan beberapa inisiatif untuk menggalak orang ramai beralih kepada kenderaan elektrik.

Dengan langkah-langkah yang diumumkan itu, Pemerintah menyasarkan untuk secara bertahap-tahap menghentikan penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman, dan memastikan semua kenderaan menggunakan tenaga bersih menjelang 2040 sebagai sebahagian usahanya untuk menangani perubahan iklim.

REBAT 'TIDAK CUKUP BESAR'

Pengerusi kumpulan syarikat kenderaan Prime, Neo Nam Heng, berkata beliau tidak menjangkakan "peralihan besar" ke arah pembelian kereta elektrik kerana insentif yang ditawarkan tidak cukup besar.

Pandangan beliau itu disokong pemilik kereta, Raj Rama, Beliau berkata walaupun beliau akur kereta elektrik lebih bersifat mesra alam, rebat yang ditawarkan masih tidak cukup untuk meyakinkannya untuk membeli kereta sedemikian.

Kos kereta elektrik adalah jauh lebih tinggi daripada model hibrid atau petrol. Sebagai contoh, kereta elektrik Hyundai Ioniq, berharga S$151,999, berbanding versi hibrid yang berharga S$106,999. Kereta Hyundai Accent, yang menggunakan petrol, pula hanya berharga S$66,999.

KERETA MESRA ALAM LAIN JUGA KURANG SAMBUTAN

Encik Neo berkata jumlah kereta mesra alam lain seperti yang menggunakan gas asli mampat (CNG) dan kereta hibrid, juga rendah meskipun usaha peniaga kereta berusaha memasarkan jenis kereta mesra alam sepanjang dua dekad yang lalu.

Perangkaan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada tahun lalu menunjukkan bahawa hanya 1,120 (atau 0.2 peratus) daripada 630,596 kereta di jalan raya adalah model elektrik penuh manakala 36,191 (atau 5.7 peratus) adalah kereta hibrid elektrik. Lebih 90 peratus, atau 574,967, adalah kereta menggunakan bahan petrol.

Encik Neo berkata kadar penggunaan kereta CNG dan hibrid kekal rendah meskipun Pemerintah menawarkan rebat lebih tinggi.

ISU KEMUDAHAN CAS KERETA

Para pengguna dan penjual juga memberitahu Mediacorp bahawa kekurangan prasarana awam untuk mengecas menjadi halangan bagi meyakinkan pengguna untuk beralih kepada penggunaan kereta elektrik.

Pemilik dan pengarah syarikat Mayfair Motoring Mike Wee, berkata meskipun mengecas kereta elektrik tidak mahal, stesen mengecas masih susah diakses.

Pemilik kereta Encik Raj berkata beliau akan mempertimbangkan untuk membeli sebuah kereta elektrik apabila terdapat lebih banyak stesen mengecas disediakan. Beliau berpendapat ikrar Pemerintah untuk mengadakan 28,000 stesen sedemikian menjelang 2030 adalah tempoh masa yang masih "jauh lagi".

Beliau yang sering ke Malaysia juga prihatin tidak akan dapat mencari stesen mengecas apabila memandu ke sebarang tambak.

Anggota bomba swasta sepenuh masa dan pemandu sambilan Grab, Shafizan Haneez, 31 tahun, juga menyuarakan kebimbangan serupa.

Menurutnya meskipun dalam jangka panjang lebih murah baginya memandu kereta elektrik, rebat yang ditawarkan masih belum cukup untuk beralih kepada kereta sedemikian.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita