Skip to main content

Singapura

Belanjawan 2020: Peluang lebih luas pelajar raih pengalaman luar negara, tumpuan pada Asia Tenggara, China, India

Demi membantu pelajar memperolehi kemahiran silang budaya dan memahami rantau ini, Pemerintah menetapkan sasaran baru agar 70% graduan tempatan dari Institut Pengajian Tinggi mendapat pendedahan di luar negara. 70% daripada pendedahan itu pula tertumpu di Asia Tenggara, China atau India.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020: Peluang lebih luas pelajar raih pengalaman luar negara, tumpuan pada Asia Tenggara, China, India

Para lulusan NUS. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Feb 2020 05:23PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 05:26PM

SINGAPORE: Demi membantu pelajar memperolehi kemahiran silang budaya dan memahami rantau ini, Pemerintah menetapkan sasaran baru agar 70 peratus graduan tempatan dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) mendapat pendedahan di luar negara. 70 peratus daripada pendedahan itu pula tertumpu di Asia Tenggara, China atau India.

Menetapkan sasaran "70-70" semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Selasa (18 Feb), Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata bahawa Pemerintah akan memperkenalkan program baru Pendedahan Kepada Asia untuk mencapai matlamat ini, menyokong lawatan belia tempatan ke bandar-bandar di Asia Tenggara, China atau India.

Ia juga akan meningkatkan sokongan bagi latihan perantisan di bawah Program Bakat Global, kata DPM Heng.

Program membangunkan bakat yang siap bersaing di peringkat global itu dilancarkan pada Oktober 2019, menggabungkan program-program perantisan luar negara dan tempatan yang sedia ada, dengan lebih banyak sokongan pendanaan untuk para pelajar yang menjalani latihan luar negara dengan firma Singapura.

Syarikat-syarikat Singapura yang menawarkan latihan perantisan atau program bersekutu pengurusan layak mendapat sehingga 70 peratus sokongan pembiayaan untuk elaun atau gaji peserta.

Ketika melancarkan program itu pada Oktober 2019, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, Pemerintah menetapkan untuk menawarkan 5,000 peluang pendedahan luar negara kepada penuntut IHL dan graduan muda.

Program tersebut juga menyokong firma-firma tempatan yang berkembang pantas, untuk menghantar warga Singapura yang mempunyai pengalaman kerja sehingga tiga tahun, untuk bekerja di pasaran-pasaran utama, termasuk Asia Tenggara, China dan India.

Sambil menarik perhatian bahawa sekitar separuh pelajar IHL tempatan mendapat pengalaman di luar negara melalui latihan perantisan, program pertukaran atau lawatan sambil belajar, DPM Heng berkata pelajar tempatan "sudah bersedia untuk berkembang maju" di negara-negara dan budaya lain, termasuk di Asia.

"Dalam dialog praBelanjawan yang saya adakan dengan para pemimpin belia, saya terpegun dengan pemahaman mereka tentang pentingnya mempelajari kemahiran baru dan meneroka peluang-peluang baru. Mereka mengalu-alukan peluang pendedahan dan bekerja di luar negara di rantau ini," katanya.

DPM Heng juga berkata bahawa pihak IHL dan industri mempunyai peranan yang berbeza, dan pelajar dapat memperoleh pekerjaan yang baik jika peranan ini selaras dengan matlamat untuk memastikan "pembelajaran kekal relevan".

"Kadar pekerjaan adalah tinggi, dan gaji permulaan sudah meningkat. Kami membangunkan bakat warga Singapura dengan kerjasama perusahaan di bawah skim Biasiswa Industri Singapura," tambah Encik Heng.

"Ramai di antara mereka telah menamatkan pengajian dan sedang membangunkan kerjaya mereka dengan syarikat-syarikat terkemuka seperti ST Engineering dan Micron."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita