Belanjawan 2020: Manfaat untuk keluarga besar boleh cecah $5,000
BERITAmediacorp bertemu dengan sebuah keluarga besar lapan anggota untuk menghitung manfaat yang bakal diraih daripada Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini.
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan pelbagai bayaran tunai, tokokan dan rebat semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada 18 Feb.
Untuk membantu keluarga mengharungi ketidaktentuan pada masa ini, pemerintah mengumumkan Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$1.6 bilion termasuk bayaran tunai sekali sahaja, baucar GST dan rebat.
BERITAmediacorp bertemu dengan sebuah keluarga besar lapan anggota untuk menghitung manfaat yang bakal diraih.
APA MANFAAT UNTUK KELUARGA?
Keluarga besar pasangan Encik Januri Jasmani dan isterinya Cik Kamisah Ibrahim termasuk enam orang anak yang berusia antara sembilan hingga 30 tahun.
Mereka menetap di flat HDB empat bilik. Hanya dua orang bekerja sepenuh masa iaitu si bapa dan anak sulung mereka Alif Januri.
Pendapatan isi keluarga lapan beranak itu adalah S$4,000 sebulan.
Mereka akur gaji yang dibawa pulang ada kalanya tidak mencukupi.
"Cabarannya adalah untuk membiayai keperluan harian, perbelanjaan anak-anak dan untuk keluarga seperti bil air ke ataupun benda pasar dan untuk anak-anak belanja sekolah. Sebab apa, harga memang semakin naik dan tidak pernah turun," keluh Cik Kamisah.
Lantaran itulah, Belanjawan 2020 yang dianggap 'murah hati' oleh ramai pihak sangat dialu-alukan Encik Alif.
KELUARGA BOLEH RAIH HABUAN SEKITAR $5,000
Keluarga Encik Januri misalnya secara terkumpul akan meraih habuan sekurang-kurangnya S$5,000 dalam pelbagai bentuk bayaran tunai, rebat dan tokokan kredit.
Pertama sekali di bawah Pakej Bantuan Keluarga semua warga Singapura berusia 21 tahun ke atas akan mendapat bayaran tunai sekali sahaja
sehingga S$300 dengan tambahan S$100 diberi kepada ibu bapa yang ada anak berusia 20 tahun dan ke bawah.
Ini bermakna keluarga Encik Januri seramai lapan anggota - akan mendapat S$1,700 kesemuanya, di mana lima daripadanya berusia lebih 20 tahun.
Selain itu, Encik Januri dan isterinya akan mendapat tokokan Kad PAssion S$100 seorang atau berjumlah S$200. Mereka juga akan mendapat Baucar GST U-SAVE berjumlah S$800 pada tahun kewangan 2020 ini.
Mereka juga akan menerima rebat bayaran khidmat dan penyenggaran (S&CC) bernilai S$180 kerana pemerintah memberi pelepasan dua setengah bulan.
Selain itu, Encik Aliff dan kedua-dua ibu bapanya bakal mendapat tokokan kredit SkillsFuture S$500 seorang dengan ibunya mendapat tokokan tambahan S$500 kerana berusia antara 40-60 tahun.
Ini bermakna mereka menerima S$2,000.
Jumlah tersebut belum lagi mengambil kira Pakej Jaminan yang mana rakyat dewasa dan keluarga bakal dapat bantuan mengimbangi kesan kos tambahan akibat cukai GST lebih tinggi selain dermasiswa yang dipertingkat bagi para pelajar.
"Pertama sekali, saya rasa amat berbesar hati kepada pemerintah kerana membentangkan langkah-langkah yang agak membantu kami tampung perbelanjaan dari sudut pengangkutan dan untuk membeli barang di kedai. Dapatlah kami juga jimat sedikit sebanyak pun dapat berjimat," kata beliau.
Beliau turut memuji Belanjawan tersebut sebagai berpandangan jauh.
"Kami berfikir Pemerintah berpandangan jauh. Mereka juga memberikan kredit SkillsFuture kepada pekerja dan rakyat Singapura untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya setelah situasi ini selesai mereka ada kemahiran baru untuk mencari kerja baru," katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.