Belanjawan 2019: Tokokan SkillsFuture, lebih banyak bantuan gaji untuk PME, pekerja tua?
Pergerakan buruh ingin lebih banyak latihan dan sokongan gaji bagi para pekerja lebih tua dan golongan Karyawan, Pengurus, Eksekutif (PME) dalam Belanjawan akan datang, menurut Anggota Parlimen (AP) yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC, Patrick Tay, pada Jumaat (1 Feb).
Penolong Setiausaha Agung NTUC, Patrick Tay.
SINGAPURA: Pergerakan buruh ingin lebih banyak latihan dan sokongan gaji bagi para pekerja lebih tua dan golongan Karyawan, Pengurus, Eksekutif (PME) dalam Belanjawan akan datang, menurut Anggota Parlimen (AP) yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC, Patrick Tay, pada Jumaat (1 Feb).
Bercakap semasa Forum Latihan dan Kemahiran Pekerjaan Masa depan NTUC, Encik Tay berkata bahawa NTUC akan mengutarakan tiga saranan.
Saranan yang pertama adalah tokokan semula S$500 ke dalam akaun Kredit SkillsFuture bagi semua rakyat Singapura yang bekerja. SkillsFuture kini memasuki tahun keempat sejak ia dilancarkan pada 2015.
Menurut Encik Tay, sudah tiba masanya Pemerintah menawarkan tokokan kedua, yang selaras dengan dorongan keseluruhan bagi para pekerja meningkatkan kemahiran masing-masing ditengah-tengah landskap pekerjaan yang cepat berubah.
Encik Tay berkata bahawa tempoh hayat kemahiran kini adalah lima tahun. Mereka yang sudah mengambil bahagian dalam latihan itu mungkin sedar keperluan untuk meningkatkan semula kemahiran mereka dari semasa ke semasa, menurutnya.
Bagi mereka yang belum lagi menggunakan kredit mereka, Encik Tay berkata bahawa mereka boleh menyimpannya untuk digunakan kelak.
LEBIH BANYAK BANTUAN GAJI BAGI GOLONGAN PME, PEKERJA LEBIH TUA
Encik Tay turut menyarankan supaya Pemerintah melanjutkan skim sokongan gaji yang akan luput tahun ini.
Yang pertama adalah Kredit Pekerjaan Khas (SEC) yang menawarkan subsidi gaji kepada para majikan yang menggajikan para pekerja yang menerima gaji kurang S$4,000 dan berusia 55 tahun ke atas.
Skim tersebut diperkenalkan pada 2011 untuk menggalak para majikan untuk menggajikan para pekerja lebih tua. Ia melibatkan sekitar 370,000 pekerja, atau sekitar tiga daripada setiap empat pekerja tua Singapura.
Encik Tay mencadangkan supaya SEC dilanjutkan tiga tahun lagi.
Skim kedua menyarankan agar dilanjutkan Program Sokongan Kerjaya (CSP), yang menyasar golongan PME. Encik Tay berkata bahawa NTUC berharap CSP dilanjutkan untuk dua tahun lagi.
Ia menawarkan sokongan gaji jangka pendek untuk menggalak para majikan untuk menggajikan golongan PME dan sebahagian daripada inisiatif Suai-Maju Kementerian Tenaga Manusia, yang membantu PME mengganggur yang mencari kerja agar mendapat kerja dan kekal bekerja.
Belanjawan Singapura 2019 akan dibentangkan pada 18 Feb oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.