Belanjawan 2019: Perbelanjaan sosial tertumpu kepada mobiliti sosial
Sokongan bagi keluarga kurang bernaib basik dan jagaan kesihatan akan menjadi tumpuan perbelanjaan sosial dalam Belanjawan tahun ini, yang akan dibentangkan pada bulan depan.
Para pelajar di Sekolah Rendah Lianhua. (Gambar: Deborah Wong)
SINGAPURA: Sokongan bagi keluarga kurang bernasib basik dan jagaan kesihatan akan menjadi tumpuan perbelanjaan sosial dalam Belanjawan tahun ini, yang akan dibentangkan pada bulan depan.
Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah mendedahkan perkara tersebut pada Rabu (30 Jan) semasa lawatannya ke Pusat Jagaan Pelajar Big Heart di Sekolah Rendah Lianhua, yang dikendalikan empat kumpulan bantu diri Singapura - Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Mendaki, Persatuan Serani dan SINDA.
"Bagi aspek sosial, pastinya kami sedang meninjau cara menghulurkan bantuan kepada golongan warga emas, jagaan kesihatan dan mereka daripada latar keluarga kurang bernasib baik. Di samping itu, kami akan memastikan semua usaha ini dapat terus ditampung," kata Cik Indranee.
Beliau menambah bahawa Pemerintah juga akan menimbangkan cara-cara bagi memastikan Singapura terus mengikuti perkembangan semasa dari segi menyenggara prasarana sedia ada dan membangunkan yang baru.
Meskipun Cik Indranee berkata bahawa perinciannya akan didedahkan semasa Belanjawan, beliau akur bahawa perbelanjaan sosial bagi tempoh 10 tahun lalu sudah naik lebih seganda.
Pada 2008, Pemerintah memperuntukkan S$15.9 bilion bagi sektor pembangunan sosial. Jumlah yang diperuntukkan bagi 2018 pula adalah S$36 bilion.
Mobiliti sosial sudah mendapat perhatian sejak seawal 28 Okt tahun lalu, dengan Kementerian Pendidikan (MOE) menubuhkan sebuah pasukan bertindak, Uplift, untuk mengukuhkan lagi sokongan kepada para pelajar daripada latar belakang kurang bernasib baik.
Cik Indranee berkata, tugas pasukan bertindak itu akan dipertimbangkan dari aspek sosial Belanjawan tahun ini. Pasukan bertindak itu akan mengemukakan saranan-saranannya semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) akan datang.
Seperti sekarang, usaha-usaha menyokong kanak-kanak daripada golongan itu sudahpun dijalankan dengan adanya pusat-pusat jagaan pelajar yang dibangunkan di sekolah-sekolah merata Singapura.
"Jika anda memikirkan kembali peranan pusat jagaan sedemikian di bawah inisiatif Uplift, ia bukan sahaja untuk membimbing para pelajar dalam pelajaran mereka yang kurang cemerlang. Ia juga membantu mendidik keluarga dan mengadakan program-program keibubapaan.
"Dalam kes-kes tertentu yang mana para ibu bapa tidak mengutamakan pendidikan, kami akan membantu mereka untuk menyedari bahawa ia penting bagi perkembangan dan pembangunan anak-anak mereka," katanya.
Sekitar 3,021 pelajar berdaftar dalam Pusat Jagaan Pelajar Big Heart di merata Singapura. Pusat terkini dibuka di Sekolah Rendah Lianhua.
Lagi 30 pusat seumpama itu akan disediakan menjelang 2020, yang memenuhi keperluan sekitar 6,000 pelajar.
Di pusat-pusat itu, para pelajar akan melakukan kerja rumah dan mengulang kaji di bawah pengawasan kakitangannya. Mereka juga dapat menyertai program-program pengayaan dan bengkel luar darjah seperti kelas-kelas seni dan jasmani.
Cik Low Yen Ling, pengerusi lembaga Self Help Groups Student Care Limited, memberitahu Mediacorp bahawa beliau melihat sendiri kemajuan yang dicapai para pelajar di bawah program tersebut.
"Selepas menyertai pusat itu, seorang ibu berkongsi bahawa apabila anaknya pulang dari sekolah, dia tidak akan menonton televisyen seperti biasa, tetapi memastikan semua kerja rumah sudah selesai dilakukan.
"Sikap positif ingin belajar inilah yang dapat dilihat sendiri ibunya dan kami amat gembira dengan perkembangan itu," katanya.
Keluarga yang layak bagi skim Bantuan Kewangan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) boleh mendapat sehingga 98 peratus subsidi bagi yuran bulanan S$290 di Pusat Jagaan Pelajar Big Heart.
Pelajar di pusat jagaan pelajar lain juga boleh mendapat subsidi berkenaan.
Menyentuh tentang sama ada lebih banyak subsidi akan diperuntukkan bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah kelak, Cik Indranee berkata ia masih disemak buat masa ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.