Belanjawan 2019: Pakej Generasi Merdeka bernilai S$8 bilion, termasuk subsidi rawatan pesakit luar
Warga Singapura yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an akan menerima lebih banyak subsidi bagi rawatan pesakit luar seumur hidup, tokokan MediSave dan subsidi bagi premium MediShield Hayat sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Merdeka (MGP).
SINGAPURA: Warga Singapura yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an akan menerima lebih banyak subsidi bagi rawatan pesakit luar seumur hidup, tokokan MediSave dan subsidi bagi premium MediShield Hayat sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Merdeka (MGP). Demikian diumumkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan pada Isnin (18 Feb).
Golongan Generasi Merdeka, akan menerima subsidi khas bagi penyakit-penyakit biasa dan kronik serta prosedur pergigian di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
"Semua warga Generasi Merdeka akan menerima subsidi yang dipertingkat ini, tanpa kira pendapatan mereka, termasuk mereka yang sekarng ini tidak mempunyai kad CHAS," kata beliau.
Encik Heng berkata pemerintah mahu menunjukkan penghargaan dan sokongannya kepada generasi rakyat tempatan yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an.
Generasi itu merupakan dalam kalangan kumpulan-kumpulan awal yang menjalani Perkhidmatan Negara, membangunkan perkhidmatan awam dan memodenkan ekonomi kita.
MGP dianggar melibatkan kos berjumlah S$8 bilion.
Encik Heng menambah, MGP mempunyai lima faedah utama.
Ia akan membantu rakyat Generasi Merdeka menampung kos jagaan kesihatan serta membantu mereka terus hidup aktif dan sihat.
Dalam Belanjawan tahun ini, Encik Heng berkata pemerintah akan memperuntukan S$6.1 bilion untuk Dana Generasi Merdeka.
Pakej Generasi Merdeka mengandungi subsidi tambahan bagi premium MediShield Hayat golongan itu.
Ia bermula lima peratus daripada premium tahunan yang dibayar mereka dan jumlahnya antara sekitar $31 hingga $49.
Kadar subsidi itu naik kepada 10 peratus daripada premium tahunan apabila anggota Generasi Merdeka mencapai usia 75 tahun.
Golongan Generasi Merdeka juga akan menerima tambahan subsidi bagi rawatan pesakit luar.
Ia termasuk subsidi khas Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat atau CHAS bagi penyakit-penyakit biasa dan kronik serta pergigian.
Selain itu warga Generasi Merdeka yang memilih untuk menyertai CareShield Hayat akan mendapat tambahan insentif penyertaan sebanyak S$1,500.
Ia tambahan kepada insentif S$2,500 yang diumumkan sebelum ini.
Ini bermakna warga Generasi Merdeka akan mendapat secara keseluruhannya S$4,000 insentif untuk menyertai CareShield Hayat.
Golongan Generasi Merdeka juga akan mendapat tokokan sekali sahaja sebanyak S$100 dalam Kad PAssion Silver mereka.
Wang itu boleh digunakan untuk membayar tambang pengangkutan awam, kemudahan-kemudahan di Kelab Masyarakat dan masuk ke kolam-kolam renang awam.
Tokokan itu bertujuan menggalakkan warga Generasi Merdeka kekal aktif.
Tokokan Medisave juga akan diagihkan kepada golongan itu selama lima tahun mulai tahun ini.
Jumlah tokokannya sebanyak S$200 setahun.
Menteri Kewangan menambah bahawa rakyat yang berusia 50 tahun dan ke atas tahun ini dan tidak menerima faedah daripada Pakej Generasi Merdeka atau Pakej Generasi Perintis pula akan mendapat tokokan Medisave $100 setahun selama lima tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.