Skip to main content

Singapura iklan

Belajar sambil bermain di Raikan Ilmu@Heartlands sepanjang Julai ini

Anggaran Waktu Membaca:
 Belajar sambil bermain di Raikan Ilmu@Heartlands sepanjang Julai ini

(Gambar: Mendaki)

Diterbitkan : 01 Jul 2023 07:00AM
BERITAmediacorp: Konsep belajar berasaskan permainan, terutama sekali jika ia dimulakan seawal mungkin, sangat membantu kanak-kanak menimba ilmu dengan cepat dan jelas.

Ia juga membentuk daya pemikiran yang tajam, jati diri yang kental dan juga pemahaman yang mendalam serta luas tentang persekitaran mereka.

Pendekatan itu jugalah yang diterapkan oleh MENDAKI sejak sekian lama untuk memperkasa ibu bapa serta keluarga menjadi lebih terlibat dalam pendidikan anak-anak menerusi program-program seperti KelasMateMatika (KMM) dan PlayFest, yang mengambil pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.

BELAJAR SESUATU YANG “MENYERONOKKAN”

Bagi ibu kepada tiga orang anak, Cik Nur Shazlinda Abdul Zaman, pendekatan sedemikian ternyata berhasil mendorong anak-anaknya lebih berminat untuk belajar kerana di mata mereka apa yang dilakukan adalah sesuatu yang “menyeronokkan”.

Cik Shazlinda pertama kali mendaftarkan anak-anaknya untuk mengikuti program MENDAKI pada 2021. Anaknya Uqasha Mohamed Khairil, 7 tahun dan Qalesha Mohamed Khairil, 5 tahun pada waktu itu mengikuti program KMM. Anak ketiga beliau yang berusia 2 tahun juga bakal mengikuti program KMM.

Program tersebut menguatkan lagi keyakinan Cik Shazlinda terhadap pentingnya pembelajaran menerusi permainan. Ia juga membantu usaha Cik Shazlinda untuk menyokong perjalanan pendidikan anak-anak beliau, di samping memupuk rasa cinta mereka terhadap pembelajaran sekali gus memberikan mereka kelebihan dari segi pendidikan apabila melangkah ke Darjah 1.

“Saya sentiasa percaya dengan konsep belajar sambil bermain kerana ia lebih menyeronokkan untuk anak-anak dan juga untuk saya sebagai ibu. Bagi saya, saya tidak akan berminat jika pelajaran itu setakat memerlukan saya menyelesaikan permasalahan matematik begitu sahaja tanpa sebarang keseronokan untuk melakukannya. Oleh itu saya percaya begitu juga dengan kanak-kanak. Semasa saya masih kecil itulah caranya, pembelajaran mungkin membosankan tanpa apa-apa aktiviti,” kongsi Cik Shazlinda.
Related article image
(Gambar: Mendaki)
DAPAT KENAL PASTI KELEMAHAN DAN KEKUATAN ANAK

Anak-anak Cik Shazlinda juga mengikuti kegiatan-kegiatan lain anjuran MENDAKI seperti PlayFest, pembelajaran di luar, Coding Camp dan kelas persiapan Darjah 1.

“Menerusi program dan kegiatan-kegiatan tersebut, saya dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan anak-anak saya. Bagi anak-anak saya pula, mereka gembira dapat berjumpa kanak-kanak lain dan belajar sesuatu yang baru. Mereka sentiasa menantikan pembelajaran seterusnya,” cerita Cik Shazlinda, 33 tahun.

Lantaran itu, Cik Shazlinda ingin menggalak para ibu bapa Melayu/Islam yang lain supaya memanfaatkan kemahiran belajar sambil bermain dan menjalin hubungan erat dengan anak-anak mereka menerusi kegiatan-kegiatan berunsur pendidikan seperti PlayFest dan Raikan Ilmu.

“Lakukan sahaja! Jangan bimbang sama ada anak-anak masih terlalu kecil atau belum bersedia. Dengan melalui perjalanan pembelajaran ini, saya dapat menjalin hubungan erat dengan anak-anak dan lebih memahami kekuatan dan kekurangan anak-anak saya,” ujar Cik Shazlinda.
Related article image
(Gambar: Mendaki)
RAIKAN ILMU@HEARTLANDS - ONE PUNGGOL, WGS, IMM, KAMPUNG ADMIRALTY

Sepanjang Julai ini, MENDAKI bakal menganjurkan bulan meraikan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dengan Raikan Ilmu@Heartlands. Ia akan diadakan di kawasan kejiranan Punggol (One Punggol) pada 1 Julai, Geylang (Wisma Geylang Serai) pada 8 Julai, Jurong East (IMM) dari 17 hingga 23 Julai dan Admiralty (Kampung Admiralty) pada 29 Julai.

Para penyampai stesen radio WARNA akan berada di lokasi acara di Punggol dan Admiralty. Personaliti Rilla Melati juga akan membuat penampilan khas di Punggol.

Pelbagai kegiatan menarik diadakan bagi setiap lapisan masyarakat dari kanak-kanak prasekolah hinggalah ke belia dan dewasa.

Kegiatan-kegiatannya dibahagikan kepada tiga ruang pameran - PlayFest Pavilion, TinkerSpace Pavilion dan SkillsFuture Pavilion.

PlayFest Pavilion membawa pengunjung meninjau pelbagai laluan kerjaya.

Kegiatan Career Play memberi kanak-kanak prasekolah peluang untuk mengalami pelbagai kerjaya berbeza dan mengaitkan pembelajaran mereka dengan pengalaman dunia sebenar.

Di ruangan ini, kanak-kanak dapat belajar dan meneroka STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan/Persekitaran, Seni, Matematik). Semua kegiatan disediakan untuk kanak-kanak berusia bawah lapan tahun dan ibu bapa mereka untuk meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya permainan bermakna dan pembangunan holistik kanak-kanak.

Ini selain membentuk daya pemikiran yang kritis dan kemahiran membuat pertimbangan.

Di TinkerSpace Pavilion, kanak-kanak dan remaja berusia 9 hingga 18 tahun boleh meneroka, mencipta dan berinovasi menggunakan peralatan sebenar STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Setiap minggu, terdapat tema-tema berbeza bermula dengan Teknologi diikuti dengan Sains, Matematik dan Kejuruteraan. Antara kegiatannya termasuk pengekodan, menerbangkan dron, mencipta sesuatu, membina kereta berkuasa suria dan lain-lain.

Bagi remaja dan orang dewasa, anda boleh ke reruai maklumat berkait laluan kerjaya, menajamkan kemahiran dan peluang kerja.

Ini sebahagian daripada inisiatif MENDAKI untuk menggalak kemajuan diri sendiri dan pembangunan professional, di samping menjadikan mereka sebagai rakyat yang lebih berpengetahuan.

LEBIH 50 KEGIATAN UNTUK SEISI KELUARGA

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Aidaroyani Adam, kegiatan-kegiatan di Raikan Ilmu@Heartlands disesuaikan untuk ibu bapa, kanak-kanak, pelajar, belia, pekerja dan mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Ini untuk menggalak mereka mendakapi pembelajaran sepanjang hayat.
Related article image
(Gambar: Mendaki)
Terdapat lebih 50 kegiatan disediakan dan Raikan Ilmu@Heartlands disokong lebih 30 rakan MENDAKI termasuk para karyawan. Ini lebih ramai berbanding 22 karyawan tahun lalu.

“Di PlayFest Pavilion, kami menyasarkan untuk menggalak pendekatan pembelajaran berasaskan permainan untuk ibu bapa dan mempersiapkan kanak-kanak bagi pendidikan prasekolah.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah langkah pertama yang penting ke arah usaha membangunkan kemahiran asas, dan ia bermula di rumah dan dengan menghantar anak-anak anda ke sekolah pada usia muda. Dengan kemahiran dan kaedah pembelajaran yang betul, MENDAKI akan terus memperjuangkan dan memperkasa ibu bapa untuk menjadi guru, pendidik dan rakan pertama anak mereka,” kata Cik Aidaroyani.

Jangan lepaskan peluang untuk belajar sambil bermain bersama seisi keluarga di Raikan Ilmu@Heartlands anjuran MENDAKI sepanjang bulan Julai ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita