Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas tukang masak prasekolah berdepan 3 lagi tuduhan serupa dalam kes cabul kanak-kanak

Seorang bekas tukang masak di sebuah prasekolah yang dituduh mencabul seorang bayi dijangka dikenakan tiga lagi tuduhan serupa, menurut perbicaraan mahkamah hari ini (24 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang bekas tukang masak di sebuah prasekolah yang dituduh mencabul seorang bayi dijangka dikenakan tiga lagi tuduhan serupa, menurut perbicaraan mahkamah hari ini (24 Jan).

Warga Malaysia dan penduduk tetap Singapura berusia 59 tahun itu pertama kali didakwa pada 6 Disember lalu kerana mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang sedang memakai lampin di prasekolahnya pada 9 November lalu.

Setelah didakwa, dia diperiksa di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan didapati menghidapi gangguan paedofilia.

Namanya tidak boleh didedahkan kerana perintah mahkamah bagi mengelakkan penerbitan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan mangsa dikenal pasti.

Perintah mahkamah itu juga dilanjutkan kepada lokasi kejadian, justeru nama prasekolah itu tidak boleh didedahkan.

Tertuduh hadir di mahkamah menerusi pautan video hari ini daripada tempat dia ditahan reman. Dia direman sejak 6 Disember lalu.

Dia disuruh bercakap dalam Bahasa Inggeris.

Pendakwaraya polis berkata kes belum selesai dan lebih banyak masa diperlukan untuk selesai menjalankan siasatan dan berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Lelaki itu akan berdepan tiga lagi tuduhan serupa, menurut pihak pendakwa, yang juga memohon supaya tiada ikat jamin ditawarkan.

Pihak pembela tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Kes akan dibicarakan sekali lagi pada 21 Februari.

Jika sabit kesalahan kerana mencabul kanak-kanak bawah umur, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana berusia lebih daripada 50 tahun.

Dalam kenyataan sebelum ini, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan tertuduh telah dipecat oleh prasekolah itu dan dia tidak dibenarkan bekerja dalam sektor prasekolah sementara siasatan masih dijalankan.

ECDA menyatakan ia menjalankan pemeriksaan latar belakang terhadap kakitangan termasuk kakitangan bukan tenaga pengajar sebelum mereka dikerahkan untuk bekerja di prasekolah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan