Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas timbalan pengarah kumpulan LTA didakwa terima wang sogok S$1.24 juta; tipu rakan kerja

Bekas timbalan pengarah kumpulan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) didakwa pada Jumaat (24 Jul) kerana menerima wang sogok sekitar S$1.24 dalam bentuk pinjaman bagi memastikan kontraktor dan subkontraktor tertentu berjaya mendapat kontrak-kontrak LTA.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas timbalan pengarah kumpulan LTA didakwa terima wang sogok S$1.24 juta; tipu rakan kerja

Henry Foo Yung Thye. (Gambar: YouTube/LTA)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 02:59PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 03:15PM

SINGAPURA: Bekas timbalan pengarah kumpulan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) didakwa pada Jumaat (24 Jul) kerana menerima wang sogok sekitar S$1.24 juta dalam bentuk pinjaman bagi memastikan kontraktor dan subkontraktor tertentu berjaya mendapat kontrak-kontrak LTA.

Henry Foo Yung Thye, 46, didakwa dengan 36 kesalahan, termasuk memperolehi atau cuba mendapatkan wang sogok dalam bentuk pinjaman daripada para kontraktor atau subkontraktor dan menipu rakan-rakan sekerjanya.

Sebanyak 22 tuduhan kerana menerima wang suap dalam bentuk pinjaman daripada para kontraktor atau subkontraktor antara 2014 hingga 2019, menurut kenyataan media Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Jumaat (24 Jul).

Dia juga dituduh menipu dan memperdayakan rakan-rakan kerjanya untuk memberikan pinjaman bernilai S$726,500 antara 2008 hingga 2019.

Dengan cara tidak jujur, dia turut merahsiakan daripada rakan-rakan kerjanya bahawa pinjaman itu sebenarnya adalah untuk melunaskan pinjaman dan hutang piutang perjudiannya.

Dengan ini, jumlah keseluruhannya adalah hampir S$2 juta, menurut Timbalan Pendakwa Raya Victoria Ting kepada mahkamah.

Menurut kertas pertuduhan, Foo menerima antara S$1,000 dan S$200,000 daripada beberapa pengarah firma untuk memastikan mereka mendapat kontrak LTA.

Jumlah suapan terbesar bernilai S$200,000 diperolehi daripada pengarah Tiong Seng Contractors, Pay Teow Heng pada Jun 2017 untuk memastikan kontraktor berkenaan mendapat kontrak LTA.

Pendakwa meminta ikat jamin S$500,000 bagi Foo yang tidak diwakili peguam. Foo turut memberitahu mahkamah bahawa dia merancang untuk mengaku bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut dan meminta jumlah ikat jamin yang lebih rendah, sambil menambah dia mahu meluangkan sedikit masa bersama anak-anaknya.

Pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa Foo belum lagi memulangkan wang yang diperolehinya.

Foo dibebaskan dengan ikat jamin S$250,000 dan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi bagi satu persidangan pra-perbicaraan pada bulan depan.

PENGARAH, PENGURUS & SYARIKAT DIDAKWA

Enam individu dan sebuah syarikat turut didakwa berhubung kesalahan-kesalahan tersebut.

Pay, pengarah Tiong Seng Contractors, adalah antara enam individu yang didakwa hari ini, Pengarah Urusan syarikat itu, Pek Lian Guan, juga didakwa.

Pay, 52 and Pek, 55, didakwa berpakat untuk memberikan wang sogok dalam bentuk pinjaman bernilai sekitar S$350,000 kepada Foo untuk mendapatkan kontrak LTA.

Mereka masing-masing dikenakan dua tuduhan menerima rasuah.

Dua warga Korea Selatan yang bertugas di Daewoo Engineering and Construction juga didakwa kerana menyogok Foo.

Pengurus projek Ro Sung-young, 48, dan pengarah projek Kim Young-gyu, 51, dituduh bersekongkol untuk menyuap S$50,000 kepada Foo dalam bentuk pinjaman. Mereka berdua didakwa dengan dua tuduhan setiap seorang.

Warga China, Cai Jungang, pengarah Tritech Engineering and Testing (Singapore), juga didakwa menyuap S$285,000 kepada Foo dalam bentuk pinjaman. Cai 56 tahun berdepan dengan tujuh tuduhan menerima rasuah.

The China Railway Tunnel Group (Singapore Branch) dituduh memberikan rasuah dalam bentuk pinjaman bernilai sekitar S$220,000 kepada Foo. Syarikat itu berdepan dengan tiga tuduhan rasuah.

Salah satu tuduhan itu kerana memberikan rasuah bernilai S$100,000 dalam bentuk pinjaman kepada Foo, yang ketika itu adalah timbalan pengarah kumpulan Laluan Thomson-East Coast dan Laluan Rentas Pulau.

Wakil syarikat tersebut, Encik Mr Fan Peng, meminta perbicaraan ditangguhkan bagi mendapatkan nasihat guaman.

Berhubung kesalahan-kesalahan melibatkan bayaran daripada China Railway Tunnel Group, seorang lelaki berusia 53 tahun didakwa dengan tuduhan memalsukan dokumen.

Chen Xuguang, yang bertugas sebagai seorang pengarah di Tong Sheng Construction and Trading, dituduh berkomplot untuk memalsukan invois-invois Tong Sheng dan dia berdepan dengan dua tuduhan memalsukan dokumen. Tong Sheng adalah subkontraktor China Railway Tunnel Group.

Sebahagian besar tertuduh diwakili oleh para peguam daripada firma-firma guaman termasuk WongPartnership and Rajah & Tann.

Sesiapa yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman penjara maksimum bagi setiap kesalahan rasuah boleh dinaikkan sehingga tujuh tahun jika ia ada kaitan dengan urusan atau kontrak dengan Pemerintah atau badan awam atau subkontrak untuk melaksanakan kerja-kerja yang terkandung dalam kontrak sedemikian.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menipu atau memalsukan akaun boleh didenda dan dihukum penjara sehingga 10 tahun.

"Singapura tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah dan penipuan. Rasuah, penipuan dan pemalsuan akaun adalah kesalahan-kesalahan yang serius," tegas CPIB.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan