Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas timbalan ketua unit data sulit MOH dijel; bocorkan perangkaan kes COVID-19 di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas timbalan ketua unit data sulit MOH dijel; bocorkan perangkaan kes COVID-19 di S'pura

(Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 22 Feb 2022 03:20PM Dikemas Kini : 22 Feb 2022 04:29PM

SINGAPURA: Bekas Timbalan Ketua Unit Pengurusan Data yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menangani pandemik COVID-19 membocorkan perangkaan harian COVID-19 kepada sebuah kumpulan sembang yang dianggotai seramai 50 orang, malah sanggup menawarkan hadiah kecil kepada sesiapa saja yang berjaya meneka jumlah jangkitan harian itu.

Zhao Zheng, warga Singapura berusia 37 tahun, dihukum penjara selama 18 minggu pada Selasa (22 Feb). Dia mengaku bersalah atas 12 tuduhan, kebanyakannya atas kesalahan mengongsi maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Lagi 12 tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Zhao bertugas sebagai seorang penolong pengarah di Cawangan Biostatistik dan Kajian di Divisyen Kesihatan Awam MOH sebelum pandemik melanda.

Zhao menandatangani perjanjian pada Julai 2008 untuk melindungi maklumat rasmi, khususnya OSA. Zhao juga akur bahawa dia memahami dan bersetuju bahawa segala maklumat rasmi dihantar kepadanya dalam menjalankan tugasnya adalah maklumat sulit yang mesti dirahsiakan.

Apabila operasi COVID-19 MOH bermula sekitar Februari 2020, Zhao dikerahkan sebagai Timbalan Ketua Unit Pengurusan Data. Disebabkan oleh tugas yang disandangnya, Zhao diberikan akses kepada fail "SharePoint" dalam Intranet MOH yang mengandungi dokumen-dokumen yang digunakan oleh pihak kementarian bagi operasi COVID-19.

Ini termasuk hamparan dengan tajuk "master" yang mengumpul maklumat termasuk jantina, kerakyatan dan juga maklumat kes-kes COVID-19 di Singapura, serta hamparan bagi setiap kes COVID-19 yang disahkan, yang mengandungi lebih banyak butiran peribadi, pergerakan dan corak kegiatan mereka.

Zhao berupaya mengetahui berapa banyak kes COVID-19 di Singapura setiap hari, sebelum maklumat itu diumumkan kepada orang awam oleh MOH dan dia boleh mengetahui profil setiap kes.

Seawal 16 Mac 2020, Zhao mula mengongsi jumlah kes COVID-19 yang disahkan di sini dengan kumpulan sembang WeChat yang mengandungi 49 lagi anggota, yang terdiri daripada kaum ibu. Dia memberitahu anggota-anggota kumpulan itu supaya jangan menyebarkan maklumat tersebut kerana dia tahu bahawa dia tidak sepatutnya mengongsi maklumat sedemikian.

Zhao juga kadangkala mengongsi maklumat lain, seperti jumlah kes import.

Dia juga akan bermain "permainan teka-teki" bersama dengan para anggota kumpulan sembang itu. Mereka akan meneka jumlah kes COVID-19 yang disahkan pada hari itu dan Zhao akan mengucapkan tahniah kepada individu yang paling hampir dengan perangkaan yang betul. Kadangkala Zhao akan menghantar pemenang 1 yuan (S$0.21) sebagai hadiah "cabutan bertuah".

Zhao juga mendapatkan maklumat untuk salah seorang anggota kumpulan itu, Tang Lin, yang mahukan lebih banyak maklumat tentang kes COVID-19 di kondominiumnya. Tang didenda S$10,000 pada Ogos tahun lalu atas pelibatannya dalam kes tersebut.

Perbuatan Zhao itu menyebabkan agensi-agensi awam yang terlibat dalam perjuangan melawan COVID-19 terpaksa mengalihkan sumber-sumber mereka untuk menangani kesan pembocoran itu, menurut pihak pendakwa.

Disebabkan oleh pembocoran maklumat sulit itu, Perkhidmatan Awam terpaksa membuat perubahan pada pendekatannya dalam menangani pandemik COVID-19, termasuk mengawal proses-proses tertentu, yang turut mengurangkan kelajuan aliran maklumat antara agensi-agensi pemerintah semasa siasatan sedang dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Lim mengusulkan hukuman penjara antara enam hingga sembilan bulan terhadap Zhao, sambil menegaskan bahawa perbuatan Zhao telah mencetuskan pelbagai implikasi.

"Penting sekali bagi maklumat sulit seperti itu dimaklumkan kepada orang awam dengan cara yang tidak akan mencetuskan rasa panik. Rasa cemas seperti itu boleh disaksikan dengan ramai orang bersesak ke pasar raya sebelum langkah-langkah keselamatan diumumkan dan meningkatkan lagi risiko berlaku penularan," katanya.

Bagi setiap kesalahan di bawah OSA, Zhao boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan