Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas tapak Raffles Country Club bakal jadi pusat ujian kereta api baru

Sebuah pusat ujian kereta api bersepadu (ITTC) yang baru akan dibina tidak lama lagi di bekas tapak Raffles Country Club.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Apr 2019 03:48PM Dikemas Kini : 24 Apr 2019 10:10PM

SINGAPURA: Sebuah pusat ujian kereta api bersepadu (ITTC) yang baru akan dibina tidak lama lagi di bekas tapak Raffles Country Club. Ia bagi menguji sistem landasan sepanjang hari tanpa mengganggu perkhidmatan penumpang di laluan-laluan utama.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (24 Apr), pusat seluas 50 hektar itu dijangka akan "meningkatkan keandalan kereta api dan pada masa yang sama, meluangkan lebih banyak masa untuk melakukan kerja-kerja kejuruteraan yang sebelum ini terbatas, di samping mengurangkan keperluan untuk menutup laluan kereta api.

Pusat tersebut dilengkapi dengan kemudahan untuk menguji kereta api selain sistem kereta api utama lain - seperti sistem-sistem elektrik, mekanikal serta isyarat - serupa dengan kemudahan-kemudahan di Jerman, Korea dan Jepun.

ITTC juga akan bertindak selaku hab bagi LTA dan industri kereta api tempatan "untuk membangunkan operasi serta kecekapan penyelenggaraan lebih mendalam serta mencapai kecemerlangan dalam aspek kejuruteraan.

Demikian menurut LTA dalam kenyataan medianya.

Misalnya, para kakitangan landasan kereta api boleh menghadiri latihan di mana mereka akan memperolehi pemahaman tentang kerumitan sistem kereta api yang baru sebelum mereka dikerahkan untuk bertugas.

LTA menyatakan, pusat tersebut dengan kemudahan kereta apinya akan dapat menjalankan latihan baik pulih separuh jalan.

Dengan ini, ia akan dapat dijadikan sebagai tapak ujian bagi industri kereta api untuk menilai prasarana keretapi yang baru, membangunkan bukti konsep serta menjalankan kajian dan pengembangan dalam teknologi kereta api.

Pembinaan pusat tersebut dijangka bermula pada pertengahan 2020 dan akan menerima kereta api bagi Laluan Circle 6 menjelang hujung tahun 2022.

Menurut LTA, ia akan membuka tender untuk melakar reka bentuk dan membina pusat berkenaan dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

LTA menambah kemudahan-kemudahan seperti pejabat, pusat kawalan operasi, bengkel penyenggaraan dan bengkel baik pulih akan juga disertakan dalam skop kerja.

Pada 2017, Pemerintah mengumumkan ia akan mengambil alih tapak Raffles Country Club bagi projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Bagaimanapun, projek tersebut ditunda sehingga hujung Mei 2020. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan