Skip to main content

Singapura

Bekas pramugara SIA tuntut ganti rugi S$1.7 juta selepas didakwa terjatuh dalam pesawat

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pramugara SIA tuntut ganti rugi S$1.7 juta selepas didakwa terjatuh dalam pesawat

Pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 13 Mei 2022. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 13 Feb 2024 05:59PM
SINGAPURA: Seorang bekas anak kapal menuntut ganti rugi lebih S$1.7 juta daripada Singapore Airlines.

Ini selepas dia mendakwa tergelincir selepas terpijak minyak di lantai dan terjatuh semasa berada dalam kapal terbang.

Encik Durairaj Santiran, 36 tahun, bertugas sebagai pramugara bagi pesawat A350, dalam penerbangan kira-kira 17 jam dari San Francisco ke Singapura pada 5 September 2019.

Pesawat itu sedang berada dalam perjalanan terakhirnya, kira-kira dua jam setengah dari Singapura ketika Encik Durairaj mendakwa dia terjatuh ke belakang.

Encik Durairaj ingin menuntut sebanyak S$1,775,662.49 sebagai ganti rugi, sebahagian besarnya adalah untuk kehilangan pendapatan selepas dia didiagnos dengan bahagian tulang belakang yang tergelincir di bahagian leher.

Bekas pramugara itu yang berkhidmat dengan Singapore Airlines dari 2016 hingga 2021, hadir di mahkamah pada Selasa (13 Feb) bagi perbicaraan hari pertama memakai pendakap leher.

Kes yang dikemukakannya adalah disebabkan syarikat penerbangan negara itu gagal menyediakan sistem pekerjaan dan ruang yang selamat untuk bekerja.

Ini selepas syarikat itu gagal menangani isu minyak di lantai itu, yang menyebabkan kawasan tersebut menjadi tidak selamat.

Menurut versi kejadian Encik Durairaj, dia sedang membuat rondaan dalam pesawat selepas pekerja pembersihan keluar, dan melihat kesan minyak di lantai kelas ekonomi berhampiran ketuhar.

Dia memaklumkan kepada pegawai atasan tentang minyak di lantai itu sebelum pesawat berangkat, dan diberitahu untuk membersihkannya dengan pembersih pembasmi kuman dan tuala kertas. Ketika itu, pintu pesawat sudah ditutup dan jika pekerja pembersihan dipanggil semula, ia akan menyebabkan penangguhan.

Encik Durairaj kemudian cuba membersihkan minyak itu tetapi gagal dan memaklumkan pegawai atasan perkara yang sama.

Pegawai atasan itu memberitahunya dan anak kapal yang lain supaya berhati-hati dengan minyak di lantai itu, sambil menambah bahawa isu tersebut akan dibangkitkan dalam log kerosakan kabin.

Menjelang tempoh akhir penerbangan, Encik Durairaj sedang memberi layanan kepada penumpang apabila dia tergelincir pada minyak di lantai tersebut, dan jatuh di bahagian belakangnya, sehingga bahagian belakang kepalanya terhentak di atas lantai, kata peguamnya.

Pramugara itu rasa lemah selama baki penerbangan sebelum dia diiringi keluar dengan kerusi roda di Lapangan Terbang Changi. Encik Durairaj menjalani imbasan MRI pada 10 September 2019, dan didiagnosis dengan bahagian tulang belakang yang tergelincir di bahagian leher.

Singapore Airlines, yang diwakili oleh syarikat guaman Niru and Co LLC, berhujah bahawa tiada minyak di lantai, dan jika Encik Durairaj tergelincir dan jatuh, ia bukan disebabkan minyak itu.

Sekiranya Encik Durairaj tergelincir dan terjatuh akibat minyak, ia tidak menyebabkan kecederaan, kerugian dan kerosakan yang dituntutnya.

Dia juga tidak menyediakan bukti mengenai apa yang Singapore Airlines boleh lakukan untuk mengelakkan daripada dipertanggungjawabkan, kata peguam.

Perbicaraan tersebut diteruskan pada Selasa petang, dengan pemeriksaan silang dilaksanakan ke atas Encik Durairaj.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita