Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pesalah sumbang kembali kepada masyarakat; bantu 140 keluarga

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Walaupun kehidupan mereka penuh cabaran dan dibelenggu oleh kesilapan masa lampau, sekumpulan bekas pesalah tidak mahu menjadikannya sebagai satu alasan bagi menghalang mereka menyumbang kembali kepada masyarakat.

Lebih 20 bekas pesalah dari kumpulan Goals Aspiration menyingsing lengan bagi membantu mereka yang memerlukan pada Ramadan ini.

AGIHAN HABUAN KEPADA LEBIH 140 KELUARGA MEMERLUKAN

Dari jam 1.30 tengah hari pada Ahad (24 Apr), mereka sudah mula berkumpul di Rivervale Crescent untuk membungkus beg-beg habuan berisi makanan kering serta kuih-muih.

Mereka kemudian mengagihkan beg-beg itu kepada sekitar 40 keluarga memerlukan di seluruh Singapura sempena Syawal yang akan menjelang.

Sebelum ini pada permulaan Ramadan, mereka telah mengagihkan barangan makanan kepada 100 keluarga memerlukan.

Setiap beg habuan itu bernilai sekitar S$30 setiap satu.

Bagi menjayakan projek tersebut, para pesalah itu mengeluarkan duit dari kocek mereka sendiri serta mengumpul sumbangan dari orang ramai dan berjaya meraih sekitar $3,000.

<p>Gambar: Hakim Irwan&nbsp;</p>

KESALAHAN LALU BUKAN HALANGAN UNTUK BANTU GOLONGAN LEBIH MEMERLUKAN

Kumpulan ini dipimpin Encik Rosezeli Omar yang menubuhkan badan Goals Aspiration pada Januari lalu.

Lebih 10 tahun lalu, Encik Rosezeli terjebak dalam kancah dadah dan berkali-kali keluar masuk penjara.

Kini, selepas sekitar lima tahun sejak kali terakhir bebas dari penjara, Encik Rosezeli, 53 tahun ingin membuka lembaran baru dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Tidak ada apa-apa yang saya buat yang perlu saya banggakan dan dalam usia begini, usia kalau sudah tidak panjang, biar saya dapat mencapai sesuatu," ujar pengerusi badan itu.

<p>Gambar: Hakim Irwan&nbsp;</p>

Lantaran itulah, Encik Rosezeli menubuhkan kumpulan tersebut untuk membawa bersama bekas para penagih dadah untuk sama-sama berbakti kepada masyarakat.

Encik Rosezeli berkata: "Kita tahu asal usul kita. Kita tahu apa yang membuat kita orang sebegitu pada waktu itu. Dalam proses pemulihan sendiri ini dengan secara tidak langsung, kita membantu orang dan selepas itu, kita dapat apa yang kita mahu capai."

Apabila ditanya apakah yang diharapkan untuk para anggotanya, Encik Rosezeli berkata: "Kalau kita ingat kita susah, ada orang lagi susah. Kalau kita sentiasa ingat kita susah, sampai bila kita nak bantu orang yang susah? Jadi walaupun susah macam mana kita pun, kita ada upaya membantu orang yang lebih susah daripada kita."

Walaupun dalam kalangan mereka, ada yang sedang menghadapi masalah kewangan, mereka tetap tampil untuk menyumbang tenaga dan masa bagi kerja amal ini.

<p>Gambar: Hakim Irwan&nbsp;</p>

MANFAATKAN PENGALAMAN SENDIRI UNTUK BANTU KELUARGA TERJEJAS

Daripada sekitar 140 keluarga yang dibantu menerusi pengagihan habuan, sebahagian besar juga merupakan keluarga bekas pesalah ataupun keluarga dengan anggota keluarga yang berada di dalam penjara.

Kesusahan yang ditanggung keluarga-keluarga itu dapat dirasakan sendiri Cik Susanty Yaakop, 43 tahun.

Ini memandangkan Cik Susanty sendiri pernah terjerumus dalam kancah dadah selama lebih 20 tahun sebelum ini.

<p>Gambar: Hakim Irwan&nbsp;</p>

"Saya percaya kebanyakan anggota kumpulan ini datang daripada orang susah juga. Kebanyakan kita bekas pesalah, kita lalui hidup yang susah, kita tahu apa yang susah dan merasakan begini kerana itu pengalaman yang kita ada, itu sebab kita buat inisiatif ini," ujar Cik Susanty yang juga merupakan Naib Pengerusi badan Goals Aspiration.

Apabila ditanya apa yang mendorong Cik Susanty untuk membuka lembaran baru, Cik Susanty berkata: "Titik permulaan untuk berubah adalah anak saya. Dia beri banyak sokongan. Tidak lupa juga kedua orang tua saya. Boleh katakan tak senang. Kalau proses, dari mula sampai akhirnya bukan sampai sekarang atau bila sudah ok, ia akan menjadi proses untuk selamanya."

Cik Susanty juga meluahkan harapan agar lebih ramai bekas banduan akan turut serta dalam badannya itu selepas bulan Ramadan nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan