Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pesalah digalak manfaatkan bakat untuk bina hidup baru

Pahit maung perjalanan hidup empat bekas pesalah yang berjaya membuka lembaran baru kehidupan masing-masing dikongsi dengan hampir 100 bekas pesalah dalam program Siri Inspirasi yang diadakan secara maya pada Jumaat (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pahit maung perjalanan hidup empat bekas pesalah yang berjaya membuka lembaran baru kehidupan masing-masing dikongsi dengan hampir 100 bekas pesalah dalam program Siri Inspirasi yang diadakan secara maya pada Jumaat (4 Jun).

Edisi ketiga program pendampingan anjuran Kempen Dadah Itu Haram (DIH) oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) itu diadakan sempena sambutan Hari Raya dan melibatkan para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah dan Rumah Peralihan Pertapis.

Perkongsian daripada tiga bekas penghuni dan seorang yang masih lagi menghuni di rumah peralihan tersebut adalah usaha DIH untuk menaikkan semangat mereka dan diharap dapat dijadikan sebagai teladan kepada yang lain.

Meskipun acara itu sudah dua tahun diadakan, ini merupakan kali pertama segmen sebegini diterapkan ke dalam Siri Inspirasi.

Ia pertama kali dianjurkan secara fizikal pada 2019.

Namun, ekoran pandemik COVID-19, ia terpaksa beralih ke wadah online.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang hadir sebagai tetamu terhormat turut memuji usaha DIH untuk membantu golongan bekas pesalah pulang ke pangkal jalan.

Dalam ucapannya Dr Faishal berkata, wadah seperti itu membuka ruang interaksi, kerjasama dan peluang untuk terus mendampingi para penghuni rumah peralihan, kakitangannya dan CNB, sekali gus "menambah nilai" proses pemulihan.

"Kita mahu mengukuhkan sokongan yang diberikan kepada rakan-rakan kita di rumah peralihan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan mereka apabila mereka keluar nanti. Dan juga sebagai satu proses perjalanan mereka dalam proses pemulihan yang telah mereka lalui," kata Dr Faishal.

Beliau menambah, menerusi sesi-sesi perkongsian sedemikian, para penghuni dapat memikirkan dan melihat sendiri bagaimana "masyarakat, pemerintah mahu menyokong usaha pemulihan" mereka, di samping saling "berkongsi pandangan tentang proses" pemulihan.

Lebih manis lagi, sesi hari ini merupakan yang pertama dihadiri Dr Faishal selepas menyandang jawatan tersebut dalam Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA).

Duta kempen dan personaliti terkenal, Aaron Aziz turut hadir di acara itu.

Aaron sempat berkongsi detik hitam dalam hidupnya sendiri dan beliau turut memberi kata-kata perangsang kepada para penghuni.

Program dua jam itu turut dipadatkan dengan nyanyian lagu-lagu raya oleh para penghuni, yang cukup berbakat, dari kedua-dua rumah peralihan serta satu sesi soal jawab bersama Dr Faishal dan Aaron.

"Apa yang saya dapat lihat bakat itu banyak dan boleh digunakan apabila rakan-rakan kita keluar dari rumah peralihan. Jadi saya mahu anda semua fokus kepada bakat-bakat anda dan menggunakannya bila anda keluar," tambah Dr Faishal.

Dalam usahanya untuk meniupkan semangat, Dr Faishal turut meluahkan harapan dan memberi jaminan bahawa para penghuni rumah-rumah peralihan itu akan terus dibantu dan disokong dengan sewajarnya.

"Saya doakan kepada semua rakan-rakan kita di rumah peralihan supaya proses pemulihan anda semua akan diteruskan dengan baik dan semoga anda mendapat kehidupan yang lebih baik. Dan saya mahukan anda keluar dan membangunkan kehidupan yang baik dan kuat dengan keluarga-keluarga anda. Kami dari pihak pemerintah dan badan-badan masyarakat akan terus cuba sedaya-upaya memberikan sokongan kepada anda semua," ujar Dr Faishal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan