Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penyelidik NUS mengaku buat tuntutan palsu bernilai S$40,000 dalam 8 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penyelidik NUS mengaku buat tuntutan palsu bernilai S$40,000 dalam 8 tahun

Gambar: Facebook/ Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan NUS

SINGAPURA: Sepanjang tempoh lapan tahun, seorang zamil penyelidik membuat tuntutan palsu bernilai hampir S$40,000 daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Untuk merahsiakan perbuatannya itu, Thomas Teh Kok Hiong, 42 tahun, memalsukan resit dan invois untuk mewajarkan tuntutan palsu bagi pembelian peribadi dan pembelian yang sebenarnya tidak dibuat sama sekali. 

Pada Selasa (14 Jun), dia mengaku bersalah atas lima tuduhan menipu dan dua tuduhan memalsukan dokumen.

Lagi 20 tuduhan akan dipertimbangkan  apabila hukuman diputuskan pada Julai. 

PEMBELIAN PERIBADI DAN PEMBELIAN PALSU 

Siasatan menunjukkan bahawa Teh menyerahkan laporan yang mengandungi tuntutan palsu atau yang melambung tinggi serta perbelanjaan yang dibuat oleh ahli keluarganya. 

Antara Oktober 2010 dengan September 2018, Teh menyerahkan 22 laporan perbelanjaan dan dia memperdayakan NUS supaya membayar balik hampir S$40,000 untuk perbelanjaan yang kononnya adalah bagi tujuan penyelidikan.

Teh juga mengaku memalsukan dokumen pembayaran untuk mendapatkan tuntutannya diluluskan sebanyak dua kali.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana kesalahan Teh terbongkar. 

Teh yang sebelum ini bekerja di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan NUS semasa melakukan kesalahan-kesalahan itu, tidak lagi bertugas di universiti tersebut, menurut peguam bela kepada mahkamah. 

Dia sudah membayar balik sepenuhnya kepada pihak universiti.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan