Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penuntut politeknik mengaku ceroboh tandas wanita rakam orang buang air

Bekas penuntut politeknik mengaku ceroboh tandas wanita rakam orang buang air

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penuntut politeknik mengaku ceroboh tandas wanita rakam orang buang air

Gambar fail. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 08 Feb 2021 11:18PM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 11:21PM

SINGAPURA: Seorang bekas penuntut Politeknik Republic (RP), yang berusia 19 tahun, hari ini (8 Feb) mengaku bersalah memasuki tandas wanita, termasuk di sekolahnya untuk merakam remaja-remaja perempuan membuang air.

Remaja itu, yang namanya tidak boleh didedahkan kerana bawah usia 18 tahun semasa melakukan kesalahan tersebut, mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan pencerobohan jenayah dan satu tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita.

Satu lagi tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita akan dipertimbangkang semasa menjatuhkan hukuman.

Peguam remaja itu, Chong Xin Yi berkata anak guamnya digantung oleh politeknik RP setelah ditangkap dan sejak itu bersekolah di tempat lain. Namun peguam itu tidak mendedahkan nama sekolah tersebut.

Hakim Daerah May Mesenas sebelum ini mengarahkan agar laporan penilaian dijalankan untuk mengetahui sama ada remaja itu sesuai diletakkan di bawah probesen, yang membolehkan pesalah muda meneruskan pendidikan atau bekerja semasa menjalani hukuman.

Remaja itu kemudian didiagnosis mengalami kemurungan dan ahli psikiatri di Institut Kesihatan Mental (IMH) menyatakan dalam satu laporan perubatan bahawa kemurungan itu menjadi penyebab utama remaja tersebut kurang dapat mengawal keinginan serta kelakuan berisiko negatif semasa melakukan kesalahan.

Mahkamah diberitahu bahawa remaja itu melihat seorang budak perempuan memasuki tandas di kafe Starbucks di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 11 November 2018 sekitar pukul 5.30 petang dan memutuskan untuk mengekorinya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Jia Hui berkata: "Dia berniat untuk mengintip budak perempuan itu tetapi mengubah fikiran semasa dalam tandas kerana bimbang ditangkap."

Dia terus bersembunyi di salah satu bilik tandas sehingga seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun memasuki tandas tersebut sekitar 15 minit kemudian dan menggunakan bilik tandas bersebelahan.

Remaja lelaki itu kemudian meletakkan telefon bimbitnya di bahagian atas tembok pemisah untuk merakam remaja perempuan tersebut.

Dia kemudian ditangkap dan diberikan amaran bersyarat 24 bulan tetapi masih terus melakukan kesalahan sekitar setahun selepas itu.

Amaran bersyarat bermakna pihak berkuasa boleh mendakwa pesalah atas kesalahan pertama, yang mana dia diberi amaran, jika dia mengulangi kesalahannya.

Pada 22 Oktober 2019, remaja itu berada di tingkat bawah bangunan di RP pada sebelah petang, apabila dia ternampak seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun memasuki tandas lalu mengekorinya.

Dia kemudian memasuki bilik tandas bersebelahan dengan remaja perempuan tersebut dan meletakkan jaket pada tembok pemisah untuk mengelak dicurigai, menurut DPP Kang.

Selepas itu, dia meletakkan telefonnya di bahagian atas tembok pemisah tersebut untuk merakam remaja perempuan berkenaan.

Pelajar perempuan itu mengesan perbuatan tersebut sekitar lima saat kemudian, segera membetulkan pakaiannya dan meninggalkan tandas.

Remaja perempuan itu menunggu lima hingga 10 minit untuk lelaki tersebut keluar. Namun dia terus berada di dalam tandas.

Remaja perempuan itu memutuskan untuk terus menunggu di luar tandas dan bersemuka dengan remaja lelaki itu apabila dia keluar.

Remaja lelaki itu bagaimanapun menafikan merakam sebarang gambar atau video remaja perempuan berkenaan dan tiada rakaman dijumpai.

Polis dimaklumkan mengenai insiden itu oleh seseorang yang hanya dikenali sebagai Encik Rayyan, yang menghubungi 999 keesokan harinya.

Menurut Cik Chong, remaja 19 tahun itu menyesali perbuatannya dan sudah menanggung kesan digantung sekolah oleh pihak RP. Keputusan pembelajarannya juga semakin baik di sekolah baru sejak dia mendapatkan rawatan perubatan bagi kemurungan.

Pakar psikiatri IMH yang menyediakan laporan perubatan tersebut mendapati risiko remaja itu untuk mengulangi kesalahnnya rendah, tambah beliau.

Remaja itu akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi untuk dijatuhi hukuman pada 5 April.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan