Skip to main content

Singapura

Bekas pentadbir pusat jagaan kanak-kanak dijel 9 bulan; gelapkan S$59,000 yuran sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bekas pentadbir pusat jagaan kanak-kanak menggelapkan sekitar S$59,000 yuran sekolah dan bayaran-bayaran lain dari sekolah tersebut. Dia didapati menggunakan wang tersebut untuk melunaskan hutang tailong dan menampung perbelanjaan peribadi.

Phoong Nyuk Lian Annie, 50 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan pada Khamis (15 Dis). Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah sebagai seorang pekerja, memalsukan penyata kewangan serta tandatangan ibu bapa.

Lagi 35 tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Phoong bekerja sebagai seorang pentadbir pusat di Sweetlands Childcare Yishun 458 dari Jun 2013 hingga Jun 2015, sebelum dia dipecat.

Dia bertanggungjawab menangani urusan pentadbiran dan kewangan pusat tersebut, termasuk berurusan dengan ibu bapa untuk mendapatkan yuran kemasukan, yuran sekolah dan bayaran lain daripada mereka.

Ibu bapa kanak-kanak mempunyai pilihan untuk membayar secara tunai, dengan bayaran sedemikian akan dicatatkan dalam buku nota, yang dikenali sebagai "buku tunai" (atau "cash books"). Resit bagi pembayaran yang dibuat, akan diberikan kepada ibu bapa untuk mengesahkan wang tunai yang diterima.

Wang tunai tersebut kemudiannya, diletakkan dalam sampul surat, dengan maklumat tertera di bahagian atas sampul surat tersebut. Setelah itu, wang tunai tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank pusat jagaan kanak-kanak itu.

Phoong mencuri wang tunai daripada ibu bapa kanak-kanak pusat tersebut, dengan meletakkan wang yang diterima dalam beg tangan atau dompetnya, lalu membawanya pulang selepas kerja.

Dia tidak akan mencatatkan sebarang penerimaan wang tunai dalam buku tunai milik pusat tersebut, sekali gus tidak memberi sampul surat berkenaan kepada bosnya.

Sekiranya dia mampu mendapatkan kembali wang yang digelapkan, dia akan mencatatkan semula jumlah wang tersebut dalam buku tunai itu lalu mengembalikannya.

Pengerusi Sweetlands Yishun, Chan Chew Shia yang membuat aduan polis pada Julai 2015, mendakwa Phoong menggelapkan dana milik Sweetlands Yishun.

Sementara itu, Cik Chan juga didenda S$90,000 pada Januari lalu kerana berpakat dengan beberapa ibu bapa untuk mengeluarkan wang tanpa kebenaran sebanyak lebih S$133,000 tanpa kebenaran daripada Akaun Pembangunan Anak mereka.

Phoong membayar sepenuhnya jumlah wang yang dicuri - berjumlah S$58,948.

Dia dibenarkan menangguhkan hukumannya sehingga Januari tahun depan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita