Bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann dipenjara 5 minggu; hambur komen berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum
SINGAPURA: Seorang bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann yang menghamburkan komen berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum dalam satu insiden tular tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara pada Khamis (29 Dis).
Tan Boon Lee, 61 tahun, dikenakan hukuman penjara selama lima minggu dan denda S$6,000. Dia mengaku bersalah bulan lalu atas dua tuduhan mengguris perasaan kaum lain dan memiliki filem lucah.
Dua lagi tuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Tan merupakan seorang pensyarah di jabatan kejuruteraan Politeknik Ngee Ann apabila insiden tersebut berlaku pada 5 Jun 2021.
Tan terlihat Encik Dave Parkash, 26 tahun, dan teman wanitanya, Cik Jacqueline Ho, apabila berada di sekitar Angullia Park.
Sewaktu siasatan, polis menemui 64 video lucah dalam telefon bimbit Tan, menunjukkan wanita yang mengadakan hubungan seks dan aksi-aksi lain.
Tan mendakwa video-video tersebut dirakam dengan izin pihak terlibat, dimuat naik dari sumber-sumber online atau dikirimkan oleh rakan-rakannya.
Tan sedar bahawa rakaman berkenaan bersifat lucah dan memilikinya untuk kesenangan peribadinya, menurut dokumen mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Yeow Xuan mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya empat minggu terhadap Tan atas kenyataan berbaur perkauman dan denda kerana memiliki video lucah.
Beliau memetik kes Amos Yee semasa mengemukakan tempoh hukuman penjara sambil menarik perhatian bahawa komen berbaur perkauman yang diungkapkan Tan itu "kejam dan dibuat secara berterusan".
Yee disabit bersalah pada 2015 atas tuduhan mengganggu dan menghina kumpulan agama berhubung komennya yang dibuat mengenai penganut Kristian.
Peguam bela Eugene Thuraisingam sebelum ini mengatakan anak perempuan kepada anak guamnya itu menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berlainan kaum dan perkara itu menghantui fikiran Tan apabila dia terlihat pasangan tersebut.
Tan dipecat menyusuli insiden tersebut.
Sesiapa saja yang menyinggung perasaan seorang individu daripada kaum atau agama lain dengan sengaja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan memiliki filem lucah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$40,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.