Bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann didakwa; ungkap komen perkauman, tidak sensitif terhadap agama lain
SINGAPURA: Bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann pada Selasa (17 Mei) didakwa kerana mengeluarkan komen-komen yang berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum di samping mengungkapkan komen-komen yang tidak sensitif tentang agama lain semasa menyampaikan kuliah dan melalui sebuah forum online.
Tan Boon Lee, 61 tahun, didakwa dengan satu tuduhan menggunakan kata-kata yang berniat untuk menyinggung perasaan kaum lain dan dua tuduhan melakukan perbuatan yang boleh menjejas keharmonian antara kumpulan agama yang berbeza.
Dia juga didakwa dengan tuduhan memiliki 64 filem lucah dalam telefon bimbitnya pada 12 Jun 2021.
Pada 5 Jun 2021, sekitar 8.25 malam di Angullia Park, Tan dipercayai mengeluarkan komen-komen yang berbaur perkauman terhadap Encik Dave Parkash sambil menuduhnya "menjadikan gadis berbangsa Cina sebagai mangsanya".
Tan juga menuduh wanita yang bersama Encik Parkash ketika itu sebagai "memalukannya" dan Tan juga melemparkan komen-komen lain yang turut berbaur perkauman.
Insiden tersebut dirakamkan dalam video yang menjadi tular pada tahun lalu, dengan tindakannya itu menyebabkan Tan digantung kerja dan kemudian dipecat oleh Politeknik Ngee Ann.
KOMEN TIDAK SENSITIF TERHADAP AGAMA LAIN
Tan juga didakwa mengeluarkan komen-komen tidak sensitif tentang agama lain semasa kuliah di Politeknik Ngee Ann pada 28 Jul 2017.
Dia dipercayai memberitahu pelajarnya: "Bapa jenis yang bagaimana akan menyuruh anda bersembahyang lima kali sehari dan mengancam akan memasukkan anda ke dalam neraka jika anda mengingkarinya?"
Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa dia juga membuat komen tidak sensitif semasa kuliah tersebut.
Antara 10 Ogos dengan 13 September 2020, Tan dipercayai memberikan jawapan yang tidak sensitif tentang agama lain di forum online Quora.com.
Semasa menjawab pertanyaan mengenai "individu yang didampingi oleh roh suci", Tan dipercayai mengulas dengan mengatakan "hanya mereka di bawah pengaruh dadah atau terkena sawan mempunyai pengalaman yang sama".
Dalam responsnya mengenai pertanyaan sama ada sesuatu makanan itu halal, dia dituduh membuat komen yang tidak sensitif tentang agama Islam.
Pihak pendakwa pada Selasa mengusulkan penangguhan selama tiga minggu sambil menyatakan bahawa tawaran untuk mengemukakan rayuan belum lagi diputuskan. Pihak pendakwa juga tidak menjangkakan sebarang dakwaan tambahan.
Tan diwakili oleh peguam bela, Johannes Hadi. Dia dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000 dan akan dihadapkan semula ke mahkamah untuk persidangan pra-perbicaraan pada bulan depan.
Jika didapati bersalah kerana sengaja menyinggung perasaan kaum lain, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana melakukan perbuatan yang boleh menjejas keharmonian antara kumpulan agama yang berbeza boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan memiliki filem lucah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$40,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.